Sunday, July 11, 2010

MUSTAPA MINTA BANYAKKAN CAWANGAN BANK DI LUAR BANDAR

Institusi perbankan tempatan wajar membuka lebih banyak cawangan di luar bandar bagi membolehkan penduduk-penduduk di kawasan berkenaan mendapat akses baik kepada khidmat perbankan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya pada masa yang sama ia akan dapat membantu pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memohon pinjaman yang disediakan bagi memantapkan lagi operasi perniagaan mereka.

Beliau berkata kerajaan sentiasa memberi pehatian serius terhadap PKS terutama dalam usaha menangani masalah mereka mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

"Kerajaan menyediakan peruntukan yang besar kepada sektor tersebut di bawah Rancangan Malaysia ke-10, dan ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk institusi perbankan agar dapat meluaskan operasi ke luar bandar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) cawangan Jeli, semalam.

Mengulas pembukaan Bank Muamalat di sini Mustapa yang juga Anggota Parlimen Jeli berkata ia membuktikan kepesatan ekonomi di Parlimen itu, dan beliau yakin dalam tempoh dua tahun lagi Jeli bakal membangun dengan lebih pesat selaras dengan pembukaan Politeknik dan cawangan Universiti Malaysia Kelantan nanti.

Cawangan Bank Muamalat ke-56 merupakan institusi kewangan ketiga yang beroperasi di daerah ini selepas Affin Bank dan AgroBank.

No comments: