Showing posts with label Mustapa. Show all posts
Showing posts with label Mustapa. Show all posts

Wednesday, February 1, 2017

Sandiwara Apa Yang Sedang DiMainkan Oleh 'Tok Pa' Di Kelantan?


UMNO memang mahu serang PAS menggunakan faktor kegagalan pentadbiran di Kelantan sejak 1990?

Betul ker tu 'Tok Pa'?

Jadi mana yang kata ada kerjasama UMNO-PAS dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ?

Atau pemimpin UMNO memang sedang ‘main wayang atau sandiwara’ dengan menyerang PAS di depan tetapi ‘bersekongkol’ di belakang.

PAS-UMNO mungkin akan bekerjasama untuk menjamin semua kerusi DUN dan Parlimen di negeri itu dipertandingkan tiga penjuru yang akan memberikan kelebihan sama ada kepada PAS atau UMNO sahaja.

Mungkin pembangkang - AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) - akan menang beberapa kerusi tetapi tidak akan mampu menjadi satu force yang boleh memerintah Kelantan.

Walaupun pada 30 Januari lalu, UMNO Kelantan menegaskan pihaknya akan menggiatkan sesi penerangan mengenai kelemahan pentadbiran PAS, masih diragui apakah Mustapa bercakap benar atau sedang ‘berdailog dalam sebuah sandiwara’ untuk menutup kerajasama PAS-UMNO yang sedang dirangka.

UMNO Kelantan menegaskan usaha menggiatkan sesi penerangan kepada rakyat negeri itu mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan negeri PAS yang memerintah negeri itu sejak tahun 1990 akan dipertingkatkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed (Tok Pa) berkata antara isu yang akan dibangkitkan kepada pengundi termasuklah masalah pemilikan tanah, setinggan dan kurangnya peluang ekonomi.

Rakyat telah beri peluang kepada PAS untuk majukan Kelantan sejak 27 tahun lepas, namun masih tiada perubahan.

“...kalau ada pun (pembangunan) ia jasa kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita.

Husam....kebimbangan PAS memuncak terhadapnya.
Daripada apa yang dicakapkan oleh Mustapa ini menimbulkan banyak pertanyaan, benarkah ini sebagai wadah perjuangan UMNO Kelantan atau ‘wayang’ semata-mata di mana apabila berlangsungnya pilihan raya nanti, UMNO dan PAS akan bergabung membentuk kerajaan.

PAS berusaha mengelak kekalahan dengan kemunculan AMANAH dan PPBM di mana jelas  UMNO boleh menjadi penyelamat untuk PAS terus memerintah.

 Ketika ini di Kelantan, PAS menguasai 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan setelah Datuk Husam Musa keluar menyertai AMANAH, PKR pula memegang 1 kerusi DUN manakala UMNO dengan kawalan dalam 12 kerusi DUN.

Mustapa menyatakan  akan menjadikan faktor kegagalan PAS sebagai bahan bahan kempen UMNO Kelantan selePAS majlis perjumpaan bersama anggota jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Gris, Dabong di Kuala Krai

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman.

Sebagai mempertingkatkan serangannya terhadap PAS, menurut Mustapa, dalam menghadapi PRU14,  UMNO Kelantan akan memperkukuhkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) terutama di luar Kelantan.

Ia  bagi mendekati pengundi muda yang tinggal di luar negeri itu.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata UMNO turut merancakkan program mendekati golongan mahasiswa.


Tujuannya ialah mengelakkan mereka daripada mudah dikelirukan dengan fitnah pembangkang.

Monday, December 19, 2016

Mustapa Minta Kerajaan Kelantan Prihatin Nasib KAFA, Sebenarnya Beliau Pun Mampu Melakukannya....

 

“Sewajarnya selain meminta kerajaan negeri, Mustapa juga boleh sama-sama berusaha melalui  ‘kebijaksanaannya’ mendapatkan sokongan Putrajaya dan pelabur, sekurang-kurangnya untuk musim 2017.”

Sukan bolasepak di Kelantan merentasi parti politik.

Selain penyokong, pegawai Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) juga terdiri daripada pemimpin politik dari parti yang ‘berlawanan sepanjang masa’.

Malah penyokong Kelantan, terutamanya kalangan muda dapat melupakan ‘persengketaan politik mereka’ apabil menyokong pasukan Kelantan yang turut dikenali sebagai The Red Worriors (TRW).

Namun langit tidak selalunya cerah untuk bolasepak Kelantan, khususnya KAFA.

Malah dikatakan, kemenangan Tan Sri Annuar Musa di Parlimen Ketereh pada pilihan raya umum lalu turut disebabkan oleh popularitinya melalui kejayaan TRW.

Orang muda menyokong beliau bukan sahaja di padang tetapi juga di peti-peti undi di seluruh Ketereh yang membolehkan beliau mencapai kemenangan, walaupun agak tipis.

Prestasi TRW musim lalu selepas  menamatkan kempen Liga Super, mereka berada di kedudukan keempat dengan mengumpul 29 mata manakala pada saingan Piala Malaysia pula, mereka tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada kempen Piala FA pula, skuad The Red Warriors itu tewas kepada Kedah pada saingan pusingan kedua.


Selepas ditinggalkan Annuar, KAFA terumbang-ambing seketika dan kini  (KAFA) perlu bekerja keras dalam tempoh dua minggu untuk mencari dana berjumlah RM14.2 juta.

Ia bagi memastikan Kelantan terus kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2017.

Sebelum ini ada laporan mengatakan KAFA mungkin  menarik diri daripada Liga-M jika gagal mendapatkan dana mencukupi sebelum bermula kancah baharu 2017.

Berikutan itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dicadangkan mengambil alih jawatan Presiden KAFA.

Namun dalam kenyataanya sebelum ini, Ahmad menolak cadangan supaya beliau menerajui Kafa kerana faktor liabiliti.


Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah kelmarin mendedahkan, badan induk itu hanya mempunyai dana berjumlah RM800,000 ketika ini.

Afandi berkata, jumlah tersebut jauh daripada mencukupi bagi membolehkan Kelantan terus kekal bersaing di Liga M.

Beliau ulangi, KAFA tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Liga M jika gagal mencari jalan penyelesaian dalam tempoh terdekat ini.

“Keputusan muktamad sama ada Kelantan menarik diri atau tidak bakal diputuskan pada kongres luar biasa KAFA yang akan diadakan pada 29 Disember ini.

“Segala keputusan akan diputuskan dalam kongres tersebut yang bakal diusulkan kepada semua wakil bola sepak jajahan supaya kemelut kewangan dihadapi persatuan diketahui perwakilan yang hadir nanti,” kata Afandi selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan KAFA di Kota Bharu malam kelmarin.

Menteri Besar sebelum ini menjelaskan, kerajaan negeri sudah  memberi bantuan kepada KAFA Sebelum ini termasuk mengurangkan levi dan cukai hiburan.

Semalam Pengerusi Barisan Nasional Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta kerajaan negeri mendahulukan kehendak rakyat Kelantan yang sentiasa menyokong dan meminati The Red Warriors (TRW) sejak sekian lama.

“Ini kehendak rakyat Kelantan, mereka nak TRW terus berjaya dan gah dalam persada bola sepak negara,”katanya.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, sebelum ini KAFA pernah bertemu dengan beliau berhubung masa depan TRW namun masih tiada kata putus dikeluarkan setakat ini.

Namun beliau menegaskan adalah lebih wajar untuk kerajaan negeri mengambil alih tampuk pimpinan KAFA  yang sudah kukuh terbina itu.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata BN Kelantan sangat berharap kerajaan  negeri menimbang semula keputusan untuk tidak melibatkan diri dengan KAFA.

Menurut Mustapa, kerajaan negeri seharusnya mengambil tanggungjawab dan mengikut rentak negeri lain yang mana menteri besar memainkan peranan dalam menerajui badan bola sepak masing-masing.

“Sejak sekian lama bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa memimpin bola dan menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang, sehingga legasi bola sepak sudah terbina begitu baik di negeri ini.

“Maka, sudah tiba masa kerajaan negeri pula mengambil alih kerana asas sudah ada dan amat kukuh, mereka ambil dalam keadaan bola sepak Kelantan sudah melonjak dan cukup hebat. Jadi wajarlah timbang semula untuk tidak terlibat dengan KAFA,”katanya.

Mesyuarat pengurusan KAFA kelmarin diadakan khusus bagi membincangkan hala tuju skuad The Red Warriors yang mengalami masalah kewangan kritikal termasuk kekurangan penajaan.

Musim lepas, Kelantan mendapat tajaan daripada syarikat Vida Beauty milik Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida.

Setakat ini, KAFA hanya menerima tajaan-tajaan kecil termasuk daripada Syarikat Eniqworld Enterprise pengeluar produk kecantikan dan minuman berasaskan kesihatan namun tajaan tersebut masih belum mampu menampung perbelanjaan pasukan.

Sewajarnya selain meminta kerajaan negeri, Mustapa juga boleh sama-sama berusaha untuk mengekalkan kegemilangan bolasepak Kelantan yang sudah pun menemui temponya.

Kerajaan negeri mungkin menghadapi masalah kewangan dan Mustapa yang terkenal kerana ‘kebijaksanaannya’ mendapatkan sokongan Putrajaya dan pelabur, boleh membantu sekurang-kurangnya untuk musim 2017.

Selepas ini, melalui jawatankuasa pengurusan baru KAFA, terserahlah kepada mereka untuk mencari penajaan dan menjamin keputusan perlawanan yang lebih baik daripada musim 2016.

Bantuan Mustapa itu sudah pasti berbaloi bukan sahaja dari segi kemajuan sukan tetapi mungkin mendapat ‘laba politik’ seperti yang pernah dirasai Annuar dan kali ini bukan untuk satu kawasan parlimen sahaja sebaliknya akan tempias ke beberapa kawasan parlimen lain.

Apa ditunggu lagi ‘Tok Pa’, bantu dan rasailah labanya nantI.


Sunday, September 11, 2016

UMNO Kelantan Sokong Migrasi, Rombak AKSB Tingkat Kecekapan


KOTA BHARU (11 SEPTEMBER 2016) : Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan PAS Kelantan dijadual menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri itu di Putrajaya, Rabu ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemeteraian perjanjian itu merupakan khabar gembira kepada rakyat kerana bakal menyelesaikan masalah air di negeri itu yang berlarutan sejak sekian lama.

“Saya sudah menerima jemputan untuk menghadiri majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula ini di Jabatan Perdana Menteri, Rabu ini. Bagaimanapun perincian mengenai perjanjian ini akan dimaklumkan dalam majlis itu nanti.

“Keputusan kerajaan Pusat untuk bersetuju menandatangani perjanjian ini menerima pelbagai reaksi, ada yang setuju ada yang kurang setuju.

Bagaimanapun saya jelaskan, kita buat keputusan ini demi kepentingan rakyat Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO negeri hari ini.

Pentrukturan semula perkhidmatan bekalan air sememangnya ditunggu-tunggu rakyat setelah kira-kira 25 tahun menderita menerima bekalan air yang tidak berkualiti.

Baru-baru ini, Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan (Restorasi) menuntut negeri merombak serta melakukan penyusunan semula dalam pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) kerana dilihat gagal berfungsi dengan baik.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu, mengikut perjanjian, walaupun berlaku penstrukturan semula, urusan untuk membekalkan bekalan air bersih di negeri ini masih kekal di bawah AKSB.

“Dalam mesyuarat sebentar tadi, Badan Perhubungan UMNO Kelantan sedia menerima perjanjian penstrukturan semula ini dengan syarat, pengurusan AKSB perlu dirombak untuk tingkatkan kecekapan.


“Hal ini kerana banyak laporan kita terima terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dalam AKSB. Kalau tidak, bekalan air di Kelantan tidak akan berubah,” katanya.

SOKMO.NET

Friday, July 8, 2016

Ancaman IS: Pelaburan, Pelancongan Malaysia Tidak Terjejas - Mustapa


Sektor pelaburan dan pelancongan Malaysia tidak terjejas walaupun wujud ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata keyakinan pelabur dan pelancong untuk terus datang ke Malaysia masih tinggi kerana negara ini terkenal dengan kestabilan politik dan ekonomi yang dijana menerusi perpaduan serta toleransi penduduknya yang berbilang kaum dan agama.

"Setakat ini, Malaysia tak terjejas (dengan ancaman militan IS). Kita masih terkenal dengan negara yang aman makmur dan kita tak mahu imej ini tercalar dengan tindak tanduk sebuah kumpulan ekstremis yang nak menghancurkan negara kita.

"Kita tak rela negara kita dihancurkan oleh kumpulan ini...setakat ini sektor pelaburan dan pelancongan tak terjejas dan kita doakan supaya keadaan terus terkawal," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Darul Falah, Batu 10 di Tanah Merah, hari ini.


Isnin lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan serangan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor didalangi kumpulan militan IS atas arahan anggota kumpulan pengganas rakyat Malaysia di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.

Siasatan awal polis mendapati dua lelaki tempatan yang ditahan pada 1 Julai lalu berhubung insiden itu memperoleh bom tangan itu dari negara jiran.

Mustapa berkata isu keselamatan tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kerana ia bakal memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara pada masa depan jika tidak dipertahankan.

"Kalau kita porak peranda, kalau negara kita huru hara, kalau kita bertelagah sesama sendiri, kalau kita berperang sesama sendiri maka ini akan melemahkan perpaduan dan ekonomi kita.

"Kita tak mahu negara kita berada dalam satu keadaan yang sukar untuk kita pulihkan. Kita kena jaga sebelum ia berlaku," katanya.

Monday, June 13, 2016

Mustapa Alu-Alukan Perubahan Ingin Dibawa Oleh PAS

MUSTAPA MOHAMED sambil diperhatikan Dr. Mortaza Mohamed (kanan) semasa menyampaikan sumbangan kepada seorang mahasiswa sempena majlis berbuka puasa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, Kelantan, kelmarin.
Pendekatan baharu PAS yang memilih budaya politik matang dan sejahtera mampu menyatukan umat Islam dan menamatkan perpecahan rakyat sekali gus membersihkan tanggapan negatif terhadap Islam dan orang Melayu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, umat Islam di negara ini, khususnya di Kelantan sejak sekian lama bertelagah sesama sendiri hanya kerana tidak sehaluan dalam parti politik.

Sehubungan itu katanya, UMNO mengalu-alukan perubahan yang ingin dibawa PAS dan berharap gagasan tersebut yang diperkenalkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat diterima baik untuk diamalkan di setiap lapisan pemimpin serta pengikut parti itu.

“Kita bersyukur kerana PAS mengambil pendekatan ini demi perpaduan umat Islam. Seperti mana yang sering saya seru, kita boleh berbeza politik namun dalam hal-hal melibatkan Melayu dan Islam, kita tidak harus berpecah.

“Saya juga berharap pendekatan ini dapat membina jambatan antara dua pihak yang bertelagah di Kelantan. Amalan memulau kenduri, memutuskan persaudaraan, sembahyang dua imam dan sebagainya perlu dinyahkan dari bumi Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selePAS menghadiri majlis berbuka puasa serta pe­nyampaian zakat anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli di Jeli kelmarin.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah; Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed serta Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Cawangan Kelantan, Azran Derahman.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-62 di Kota Bharu, baru-baru ini, Abdul Hadi menggariskan hala tuju baharu parti itu yang berteraskan ‘budaya politik matang dan sejahtera’.

Beliau menyeru ahli parti itu menerapkan elemen dakwah dan tarbiah dalam berpolitik serta meninggalkan amalan warisan penjajah Barat yang jauh daripada prinsip berasaskan kebenaran dan ilmu serta halal dan haram.

Dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, sejak mula beroperasi sekitar 2012, UMK Kampus Jeli bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, sebaliknya turut menabur bakti kepada rak­yat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Adalah menjadi harapan kita supaya UMK terus menjadi pelopor kepada pembangunan berkaitan bidang keusahawanan dan asas tani di negeri ini, khususnya di Jeli yang rata-rata penduduknya mencari rezeki sebagai petani,” katanya.

sumber -Utusan

Friday, May 13, 2016

UMNO Perlu Dapat Tempat Di Hati Penduduk Bandar - Mustapa


Walaupun sokongan rakyat di kawasan luar bandar kepada UMNO adalah penting, parti itu tidak sepatutnya terus menjadi  parti luar bandar sahaja.

Sebaliknya ia perlu mendapat tempat di hati rakyat yang tinggal di kawasan bandar.

Satu pemikiran yang bernas untuk diambil tindakan.

Namun, apakah pemimpin lain berfikiran serupa?

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata UMNO yang menjangkau usia 70 tahun semalam (11 Mei) dan kerana itu perlu lebih berusaha untuk memenangi hati rakyat di kawasan bandar agar mereka sayang kepada parti ini.

Walaupun sokongan rakyat di kawasan luar bandar kepada UMNO adalah penting, Mustapa tidak mahu parti itu hanya menjadi parti luar bandar sahaja sebaliknya perlu mendapat tempat di hati rakyat yang tinggal di kawasan bandar.

"Hari ini kita bimbang di Semenanjung, kawasan bandar yang kita menang (pada Pilihan Raya Umum Ke-13) hanya di Parlimen Johor Baharu dan Parlimen Kangar. Manakala bandar lain kita kalah, ini perkara yang serius dan kita tidak boleh biarkan ia berterusan kerana bandar adalah nadi," katanya kepada Bernama di Kota Bharu, semalam.

Mustapa berkata dalam melakukan pembaharuan bagi menarik sokongan rakyat itu, pendekatan seperti bersatu padu, gigih berjuang dan lantang menyuarakan kepentingan rakyat, perlu diberi perhatian oleh anggota dan pemimpin UMNO.

Beliau berkata selain itu, UMNO boleh mempelajari bagaimana kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 pada 7 Mei lepas.

"Ramai tokoh mereka menang dengan mendapat jumlah majoriti undi yang besar seperti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, kita kena cari jalan bagaimana rakyat sayang kepada kita, kita kena bekerja, berjuang, lantang menyuarakan kepentingan mereka.

"Ini iktibar daripada Sarawak di mana Sarawak membuktikan BN masih relevan kerana muafakat, inklusif, bersatu. Ketua menteri bawa pembaharuan baharu kepada rakyat," katanya dan menambah pemimpin masyarakat seperti ketua kampung di negeri itu yang kuat bekerja turut menyumbang kepada kejayaan BN.

BN Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi pada pilihan raya negeri ke-11 itu.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata dalam tempoh 70 tahun itu, UMNO telah berjaya membangun dan memajukan negara ini.

"Kalau tidak ada UMNO rupa bentuk Malaysia ini tentunya banyak berbeza daripada sekarang, UMNO telah menentukan rupa bentuk Malaysia iaitu kita ada perkongsian kuasa, perkongsian ekonomi dan kita ada kaedah untuk memastikan kesamarataan," katanya.

Namun, katanya UMNO tidak boleh leka dengan cabaran masa depan termasuk kecanggihan teknologi khususnya perkembangan media sosial, agar tidak ketinggalan dan setiap isu yang diviralkan perlu segera ditangani.

Beliau berkata selain mengenal pasti kelemahan lain, parti itu perlu mendampingi pelbagai golongan masyarakat terutamanya golongan muda, golongan berpendidikan tinggi dan golongan agama.

Sunday, April 24, 2016

Hutan Simpan Kekal di Kelantan – Audit, Dakwa Segera Dalang & Sindiket

Kerajaan negeri Kelantan perlu mengaudit jumlah keluasan hutan simpan kekal yang masih ada dan yang telah diteroka secara haram di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penerokaan kawasan hutan simpan kekal adalah perbuatan serius sama ada dilakukan oleh individu mahu pun sindiket.


"Kita nak ketelusan, kita nak tahu setiap jajahan hutan simpan kekal berapa masih tinggal, berapa telah diteroka secara haram dan keluasannya yang sudah ditanam semula," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan ladang tanaman kontan di Bukit Perawas, Ayer Lanas di Jeli, semalam.

Mustapa mengulas pendedahan Jabatan Perhutanan Kelantan Rabu lepas, mengenai 7,284 hektar kawasan hutan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket dan individu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dilaporkan berkata lebih 400 hektar Hutan Simpan Kekal Ulu Galas dan Batu Papan, Gua Musang diteroka oleh sindiket yang menggunakan nama Sultan Kelantan dan kerabat baginda.

Sindiket itu memperdaya penduduk agar membeli lot-lot tanah yang diteroka dan menyertai penerokaan tanah bagi tujuan penanaman getah, kelapa sawit dan pisang.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata penerokaan secara haram itu menunjukkan kelemahan dari segi penguatkuasaan dan ia perlu diatasi dengan segera.

Beliau berkata kemusnahan hutan akan memberi banyak kesan kepada alam sekitar dan semua pihak perlu memelihara khazanah alam tersebut.

Sementara itu, kelmarin Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berharap Kerajaan Kelantan perlu mengambil tindakan segera mendakwa di mahkamah dalang dan anggota sindiket yang meneroka hutan simpan kekal di negeri ini terutama di Gua Musang.

Pencerobohan kawasan hutan tidak boleh dipandang ringan kerana dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya banjir besar seperti pada 2014, katanya.

"Kalau kerajaan negeri dapat meluluskan kawasan pembalakan walaupun di pedalaman kenapa dalam masa sama kegiatan penerokaan hutan simpan kekal tidak boleh dikesan dari awal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan yang menghubungkan antara Kampung Limau Nipis Luar dan Kampung Limau Nipis Dalam di Machang.


Ahmad Jazlan mengulas pendedahan Jabatan Perhutanan Kelantan Rabu lepas, mengenai 7,284 hektar kawasan hutan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket dan individu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dilaporkan berkata lebih 400 hektar Hutan Simpan Kekal Ulu Galas dan Batu Papan, Gua Musang diteroka oleh sindiket yang menggunakan nama Sultan Kelantan dan kerabat baginda bagi memperdaya penduduk agar membeli lot-lot tanah yang diteroka dan menyertai penerokaan tanah bagi tujuan penanaman getah, kelapa sawit dan pisang.

Semalam, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sebuah pasukan petugas khas sedang mengumpul pelbagai bukti untuk menangkap dan mendakwa dalang serta anggota sindiket terbabit.

Sunday, November 29, 2015

Mustapa Yakin UMNO Boleh Rampas Kelantan Pada PRU14


UMNO Kelantan yakin mampu merampas kembali negeri ini dari tangan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata ia berdasarkan beberapa faktor utama
antaranya ketiadaan bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan masalah perpecahan dalam Pas.

Selain itu, katanya, faktor perpaduan dalam kalangan pemimpin UMNO yang kukuh mencerahkan lagi peluang tersebut.

‘‘PRU-14 merupakan peluang terbaik UMNO kembali merampas Kelantan. Sebelum ini dengan adanya Tok Guru yang merupakan tokoh hebat selain berjaya menya­tupadukan pemimpin dan ahli Pas menyukarkan UMNO di negeri ini.

"Hari ini kita dapati ada anggota PAS yang nak bersama-sama dengan DAP sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan ada yang masih setia dengan parti itu.

"Selain itu, kita sedia maklum ada beberapa isu nasional yang turut pengaruhi UMNO, namun dengan usaha-usaha yang diambil kita yakin isu-isu berkenaan dapat diselesaikan pada tahun hadapan," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen UMNO 2015 di Kota Bharu, semalam.

Konvensyen selama dua hari yang bermula semalam menghimpunkan lebih 2,000 perwakilan UMNO Kelantan.

Tambah Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, seluruh ahli UMNO di negeri ini telah bersiap sedia lebih awal dalam menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, seluruh kepemimpinan dan ahli parti itu juga menunjukkan semangat perpaduan yang cukup baik.

‘‘Kita akan mengatur pelan-pelan tindakan lebih awal dan momentum kemenangan itu akan diteruskan sehingga pilihan raya akan datang.

‘‘Pada masa sama, kita juga akan menyelesaikan isu-isu berbangkit yang mempengaruhi senario politik di Kelantan dan dijangka dapat ditangani menjelang awal tahun depan,’’ katanya.


Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Hanafi Mamat serta Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Mengulas mengenai konvensyen berkenaan, Mustapa berkata Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan meneliti beberapa usul yang dicadangkan oleh perwakilan sebagai persiapan menghadapi PRU14 nanti.

"Apa yang penting pelan tindakan (pada masa depan). Ada perwakilan yang memberi teguran mengenai cara kita bawa diri, ada yang cadangkan ditubuhkan sebuah institut pemikiran untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda.

"Insya-Allah kita akan perhalusi dan laksanakan cadangan-cadangan berkenaan. Namun apa yang lebih penting, ia menunjukkan UMNO Kelantan masih lagi bersatu," katanya.

Thursday, November 12, 2015

Bukan Bermasalah Dengan Hadi Sahaja, Husam Juga Ada Kes Saman Fitnah Dengan Tok Pa


"Kenyataan itu bermaksud saya seorang pemimpin dan ahli politik yang korup, tidak berkredibiliti dan menyalahgunakan kuasanya bagi kepentingan peribadi dan pemimpin UMNO." 
- Datuk Seri Mustapa Mohamed

Datuk Husam Musa bukan ada hal dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepimpinan PAS Kelantan sahaja.

Dia juga ada kes dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Jika tidak kerana peguam bekas naib presiden PAS  itu cuti sakit, kes perbicaraan kes saman fitnah Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pasti berlangsung hari ini.

Kesian ‘Tok Pa’ (panggilan untuk Mustapa),  beliau hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, seawal 9.15 pagi bagi memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan membabitkan kes samannya yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Berikutan cuti sakit peguamnya, saman terhadap Husam serta empat lagi terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Laporan Bernama itu menyebut, ia saman itu berhubung kenyataan fitnah yang didakwa dikeluarkan Husam terhadap Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkaitan saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Terdahulu, peguam Lew Cho Kang yang mewakili Mustapa memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana cuti sakit bermula semalam.

Lew yang mengemukakan sijil cuti sakit Muhammad Shafee kepada mahkamah turut memohon supaya perbicaraan kes itu ditangguhkan ke tarikh lain.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin berkata perbicaraan kes itu yang beberapa kali tertangguh sebelum ini tidak sepatutnya ditangguhkan lagi kerana plaintif (Mustapa) hadir hari ini untuk memberi keterangan.

"Namun sekiranya peguam mahu kes hari ini ditangguhkan, saya akan mempertimbangkannya," kata hakim itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan penangguhan perbicaraan kes itu dan menetapkan 30 November untuk pengurusan kes manakala 27 Januari tahun depan ditetapkan untuk perbicaraan kes berkenaan.

Perbicaraan kes itu yang dijadualkan bersambung esok turut dilapangkan kerana Muhammad Shafee mempunyai satu kes lain membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Senator Datuk S. Nallakarupan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur esok.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Mohamad Fitri Khalis Ahmad, mewakili Husam.

Pada 7 Oktober lepas, mahkamah menetapkan dua hari bermula hari ini untuk perbicaraan penuh kes itu selepas pihak plaintif dan defendan gagal mencapai penyelesaian.

Pada 22 April 2013, Mustapa memfailkan saman terhadap Husam, yang ketika itu Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, parti PAS, Setiausaha Agung PAS yang juga pemegang permit akhbar Harakah Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang serta Pengarang http:/harakahdaily.net. Zulkifli Sulong dan Azmi Yusof sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan, Mustapa mendakwa Husam, pada 23 Mac 2013, dalam ceramah politiknya di Tapak Expo Machang, Kelantan, mengeluarkan perkataan fitnah terhadap beliau berhubung saham FGVH.

Mustapa, yang juga Anggota Parlimen Jeli, mendakwa bahawa pada 24 Mac 2013, PAS dan defendan lain menyiarkan ucapan Husam yang didakwa berbaur fitnah itu menerusi harakahdaily.net yang boleh diakses berjuta pengguna laman web.

Mustapa mendakwa kenyataan itu bermaksud beliau seorang pemimpin dan ahli politik yang korup, tidak berkredibiliti dan menyalahgunakan kuasanya bagi kepentingan peribadi dan pemimpin UMNO.


Sebelum ini dilaporkan, kes saman fitnah yang difailkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu  terhadap PAS, bekas setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali dan dua yang lain berkemungkinan diselesaikan secara baik.

Peguam C.K Lew, yang mewakili Mustapa, memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas kes disebut di dalam kamar sebelum ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin.

Lew berkata peguam Nadzratun Naim Hammad Azizi yang mewakili keempat-empat defendan itu memberitahu mahkamah  anak guamnya mencadangkan supaya kes saman berkenaan diselesaikan
Namun, Lew berkata kedua-dua pihak masih lagi berbincang mengenai terma penyelesaian.


Monday, November 2, 2015

Mangsa Banjir Enggan Pindah Antara Faktor Pembinaan Rumah Kekal Baharu Lambat Disiapkan


Keengganan mangsa banjir untuk berpindah ke penempatan baharu yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan antara punca kelewatan pembinaan rumah kekal baharu (RKB) untuk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata Jawatankuasa Pasca Banjir Kelantan kini sedang giat mengenal pasti mangsa banjir yang kehilangan rumah dalam kejadian banjir besar tahun lepas itu untuk dipindahkan.

"Setakat ini, kira-kira 300 mangsa di Kuala Nal dan Guchil di Kuala Krai yang tidak mempunyai tanah sendiri, telah bersetuju untuk dipindahkan ke penempatan baharu di Kampung Telekong.

"Mangsa yang lain pula enggan berpindah ke tempat baharu kerana alasan utama mereka adalah akan hilang punca pendapatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan jawatankuasa itu di Kota Darul Naim di Kota Bharu, semalam.


Hadir sama Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua Unit Pemulihan Pasca Banjir (UPPB) Pejabat Perdana Menteri Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Sementara itu, Mustapa berkata berikutan kekangan persetujuan untuk berpindah itu menyebabkan pembinaan RKB akan hanya dapat diselesaikan pada Mac tahun hadapan.

Bagaimanapun beliau berkata setakat ini, sebanyak 822 rumah sedang dalam proses pembinaan, manakala 183 rumah telah siap dibina oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri pula telah menyiapkan 177 daripada 636 rumah yang dijanjikan mereka sebelum ini," katanya.

Jawatankuasa itu sebelum ini mengumumkan hanya 1,729 RKB akan dibina berbanding 1,827 RKB selepas semakan dilakukan.


Sumber - Bernama


Thursday, October 29, 2015

Pengurusan Bencana Banjir DiTambah Baik, RKB Dijangka Siap Sepenuhnya Jun 2016


Kerajaan Persekutuan memberi jaminan pembinaan kesemua 1,759 rumah kekal baharu (RKB) untuk mangsa banjir di Kelantan akan siap sepenuhnya antara Mac dan Jun tahun depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri MustapaMohamed berkata tumpuan sekarang adalah untuk membina rumah yang belum siap.

Ini berikutan kerajaan berjaya menyelesaikan beberapa isu yang melambatkan pembinaan rumah tersebut terutama pemilikan tanah untuk tapak rumah.

"Janji asal sebelum akhir tahun ini (kesemua rumah siap), kita tidak menyangka bahawa isu tanah begitu rumit sekali dan sekarang ini soal tanah untuk pembinaan rumah tersebut di semua jajahan terbabit sudah selesai," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, malam tadi.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata tanah yang disediakan untuk pembinaan rumah tersebut terutama di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai melibatkan tanah milik agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan individu.

Beliau berkata setakat ini daripada 1,759 RKB itu, kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan pembinaan 142 RKB manakala 301 RKB lagi dalam pembinaan dan 218 RKB di peringkat pra pembinaan.

Katanya pada peringkat awal, dianggarkan 1,827 rumah musnah akibat banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas, bagaimanapun selepas semakan dibuat, hanya 1,759 rumah musnah dan layak dibina semula dengan RKB.

Banjir di Kuala Krai tahun lalu.
Sementara menunggu RKB siap, mangsa banjir yang kehilangan rumah ditempatkan sementara di rumah transit.

Mengenai 127 keluarga yang masih tinggal di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di Gua Musang, Mustapa berkata daripada jumlah itu, hanya 94 keluarga adalah mangsa banjir manakala 33 keluarga lagi bukan mangsa banjir.

Beliau berkata pihak PLKN membenarkan 94 keluarga itu tinggal di kem tersebut hingga Mac depan sebelum berpindah mendiami RKB manakala 33 keluarga bukan mangsa banjir diarah kembali ke rumah masing-masing.

Sementara itu 12 keluarga mangsa banjir yang masih tinggal di dalam khemah di Bandar Utama Gua Musang dijangka mendiami RKB selewat-lewatnya Mac depan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Kelantan menambah baik semua aspek pengurusan banjir sebagai langkah persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Pengerusinya Datuk Faudzi Che Mamat berkata penambahbaikan itu dipersetujui bersama melalui mesyuarat pengurusan bencana negeri dan daerah dengan mengambil kira pengalaman banjir tahun lalu.

"Tahun ini kami tambah 86 lagi pusat pemindahan menjadikan jumlahnya 773 berbanding 687 pusat pemindahan pada tahun lepas dan mampu memuatkan 220,290 orang," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, semalam.


Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Faudzi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berkata 175 pangkalan hadapan iaitu tempat menyimpan barang keperluan asas, diwujudkan tahun ini berbanding 170 tahun lepas termasuk tambahan empat mini depo di Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang.

Katanya kekuatan anggota penyelamat turut ditambah kepada 4,269 orang berbading 3,260 tahun lepas selain tambahan aset menyelamat termasuk 108 lori, pacuan empat roda (189), bot (205), enjin sangkut (144) dan jaket keselamatan (2,966 helai).

Beliau berkata 142 lokasi pendaratan helikopter disediakan dengan tambahan 33 lokasi baharu di seluruh negeri itu.

Faudzi berkata jawatankuasa itu juga mempersiapkan 1,786 petugas di Pusat kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan penyelarasan keperluan mangsa banjir di setiap jajahan.

"Semua agensi telah dan sedang melakukan pelbagai persediaan termasuk simulasi bantuan kepada mangsa banjir oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kursus pengendalian bot oleh pihak polis kepada 500 peserta," katanya.

Katanya solat hajat juga turut dilakukan dua kali sebulan di setiap masjid dan surau seluruh negeri ini bagi memohon perlindungan daripada bencana banjir.

"Kami harap dengan persediaan dan kerjasama semua pihak ini pengurusan bencana banjir tahun ini akan berjalan lancar," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat negeri itu dapat membuat persiapan awal bagi menghadapi musim banjir tahun ini selain mengikut arahan pihak berkuasa apabila diarah berpindah.

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya akan memantau kegiatan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan menggunakan akaun bank peribadi bagi menerima sumbangan bantuan kepada mangsa banjir.

Pada majlis itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan menyerahkan tugas pengurusan bencana kepaepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Monday, October 12, 2015

TPPA - Tok Pa Minta Timbang Baik Buruknya Terlebih Dahulu....



"Saya hendak rakyat Malaysia berlaku adil. TPPA ada baik dan buruk dan kita. Kemudian kita bawa pergi ke Parlimen untuk dipertimbang. Jangan kita perlekehkan ahli Parlimen dengan pelbagai tuduhan seperti kena cucuk hidung dan sebagainya."



Daripada Mingguan Malaysia (11 Oktober 2015)

MUKADIMAH:

MALAYSIA tidak memerlukan kelulusan Parlimen sebelum tandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang melibatkan 11 negara lain iaitu Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, dan Vietnam, selain Amerika Syarikat (AS).

Namun, memandangkan isu tersebut begitu kontroversi dan mendapat perhatian ramai, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan membawa perkara itu ke Parlimen untuk dibentangkan, dibahaskan sebelum dijalankan pengundian sama ada bersetuju atau menolak perjanjian dagangan terbesar dunia itu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED ketika diwawancara selama sejam oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMIDAMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan ZUNAIDAH ZAINON bersama jurugambar JEFFRI IRAN di pejabat beliau di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur Khamis lalu.


Dalam pertemuan itu, beliau turut menjawab pelbagai dakwaan yang dilontarkan oleh pihak-pihak yang membantah perjanjian TPPA termasuk kedudukan syarikat bumiputera dalam tender pemerolehan kerajaan, harga ubat-ubatan generik, sijil halal, kesediaan syarikat tempatan bersaing dengan syarikat multinasional asing dan apakah perjanjian ini akan merugikan negara. “Kita jangan tengok orang “makan” kita. Petronas, Khazanah, dan Sime Darby duk “makan” di luar negara. UE ada di Melbourne, Australia. Tan Chong Motor Holdings, Berjaya dan Parkson ada di Vietnam. “Makanlah” itu. Kita perlu tengok kedua-dua belah atau situasi menang-menang bagi semua,” ujar beliau.

MINGGUAN: Banyak pihak mempersoalkan tentang cara rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dijalankan kerana butiran tidak dimaklumkan kepada Parlimen atau umum. Komen Datuk Seri?

MUSTAPA: Perkara ini tidak keluar kerana ia berubah setiap hari. Kalau keluar, nanti kecoh seluruh dunia. Baru hendak bincang, sudah berubah. Macam di Atlanta, Amerika Syarikat (AS), ia sudah berubah kerana di saat-saat akhir macam-macam perkara berlaku. Dokumen ini kita jangka siap pada hujung bulan ini, ada juga bulan hadapan. Kita beri kepada pasukan pengkaji kerana perlu tengok dahulu. Kalau tidak ada dokumen, ia sekadar spekulasi atau rambang sahaja. Ini belum siap lagi kerana rundingan belum selesai. Secara keseluruhannya, sudah hampir selesai tetapi ada tiga isu yang perlu kita maklumkan balik kepada 11 buah negara. Kita sudah beritahu pendirian kita dan ada draf kita, tetapi tertakluk kepada persetujuan kita sendiri. Dalam dua tahun ini, kita sudah beritahu pendirian kita, secara umumlah dan bukan secara terperinci. Macam soal bumiputera, kita beritahu pendirian kerajaan begini. Tentang tekstil AS dan alam sekitar pun kita beritahu tetapi secara umum. Sebab perkara itu belum selesai lagi. Kita sentiasa maklumkan perkembangan terkini kepada ahli Parlimen tetapi tidak secara terperinci. Itupun belum 100 peratus (muktamad) sebab sudah keluar dokumen nanti barulah 100 peratus.


Apakah tiga isu yang masih belum selesai itu?

MUSTAPA: Tiga isu yang kita minta tempoh itu antaranya melibatkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Kementerian Kewangan. Kita minta tempoh kerana Khazanah dan Petronas ada peraturan. Kalau hendak buat sesuatu, mereka perlu bawa ke lembaga pengarah. Itu pun belum selesai lagi, jadi kita minta tempoh. Kita jangka ia akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat. Kalau kita beri kepada Price Waterhouse Coopers (PWC) yang buat kajian tetapi perkara itu belum selesai, tidak ada maknalah. Jadi, sebaik-baik sahaja dokumen itu lengkap, maka kita akan beri kepada Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS) dan PWC. Memang sukarlah. Inilah dalam hidup saya terlibat dalam satu projek begitu lama iaitu lima tahun. Kedua, banyak tekanan seperti jumpa banyak orang, media, media sosial, individu dan organisasi.

Pada pandangan Datuk Seri, kenapa TPPA mencetuskan banyak bantahan dan kontroversi?


MUSTAPA: TPPA menjadi kontroversi kerana ia lebih. Kalau dahulu, barangan, perkhidmatan dan pelaburan. Tetapi sekarang ada pemerolehan kerajaan, buruh, alam sekitar dan hak harta intelek (IPR). Macam IPR ini sudah ada tetapi dalam perjanjian dagangan, ini adalah antara yang utama. Ia kontroversi kerana liputan lebih luas. Tetapi pandangan mengatakan, perjanjian dagangan ini akan meliputi benda-benda lebih besar lagi.

Dalam ASEAN pun, unsur-unsur TPPA pun ada masuk. Sepuluh negara ASEAN dengan enam buah negara iaitu Jepun, Korea Selatan, China, India, Australia dan New Zealand. Antaranya, isu buruh. Kalau amalan buruh itu dilihat sebagai menekan buruh, maka syarikat-syarikat besar tidak akan beli barangan daripada sesuatu negara. Sebelum membeli barangan, syarikat ini juga akan pergi memeriksa apakah ia menepati standard amalan buruh. Kalau kita hendak jadi sebahagian daripada perdagangan antarabangsa, kita perlu ikut standard antarabangsa. Umpamanya beberapa syarikat di Bangladesh dikenakan sekatan sampai sekarang sebab standard amalan buruhnya rendah. Apabila standardnya rendah, mereka boleh hasilkan pada kos murah. Jadi, tidak adil kepada orang lain yang mempunyai kos yang mahal disebabkan perlu mematuhi pelbagai peraturan seperti alam sekitar.

Kita lihat isu Volkswagen. Syarikat itu didapati menipu dalam emisi karbon dan mereka pun sudah mengaku. Walaupun Volkswagen adalah syarikat gergasi dunia, mereka terpaksa memakai standard AS. Ekoran isu itu, harga saham Volkswagen jatuh 40 peratus. Contoh ini menunjukkan bagaimana standard alam sekitar terpaksa kita pakai.

Jadi, isu standard ini isu yang semakin penting. Dalam standard buruh, kita perlu ikut peraturan AS sebab kita hendak jual barang seperti kelapa sawit, getah dan elektronik. Melainkan kita tidak mahu pelaburan AS dan berdagang dengan AS, bolehlah kata tidak mahu ikut peraturan AS. Tetapi hakikatnya, AS merupakan pelabur kedua terbesar selepas Jepun di negara kita. Jadi, kalau kita hendak pelaburan AS, terpaksa kita ikut peraturan negara itu. Pelaburan AS sudah ada di Pulau Pinang, Johor, Kulim dan Shah Alam. Dari segi kesatuan pekerja pun, apa salah kita layan pekerja dengan baik. Apa salahnya umpamanya kalau kita jaga Cameron Highland. Ini termasuk menjaga alam sekitar. TPPA juga bercakap tentang ketelusan. Apa salahnya kalau perkara itu baik.

Apakah perkara-perkara dalam Perlembagaan seperti Artikel 153 tentang hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan agama Islam akan tergugat sekiranya Malaysia menyertai TPPA?

MUSTAPA: Kita ada Perlembagaan dan dasar bumiputera. Kita akan pertahankan. Bukanlah sampai kita hilang kedudukan Islam sebagai agama rasmi atau bukan bermakna kita boleh benarkan perkahwinan sejenis. Walau apa pun kita buat, mesti berdasarkan Perlembagaan. Kita juga teruskan dasar 30 peratus bumiputera dalam pemerolehan kerajaan.

Itu penting dan kalau tidak, kita tidak masuk TPPA dan mereka semua terima. Di negara lain tidak ada. Kalau syarikat kita hendak berniaga di Vietnam, negara itu tidak ada dasar bumiputera. Jadi, mereka faham dan terima dasar bumiputera dalam pemerolehan kerajaan dipertahankan. Cuma, kita hendak pastikan ia benar-benar diterima. Selain itu, dasar kereta kita tidak diganggu dan diteruskan.

Antara isu yang dibangkitkan ialah tentang soal keselamatan makanan negara. Ada dakwaan mengatakan industri beras tempatan akan terancam kerana beras import dari AS akan lebih murah dengan penghapusan duti import?

MUSTAPA: Kita boleh teruskan dasar kita. Sekarang ini duit import beras sebanyak 40 peratus, sudah kita mansuhkan. Dalam TPPA, kita dikehendaki menurunkan duti import beras tetapi sekarang sudah kosong peratus. Kita sudah mansuhkan duti import untuk menjaga harga beras tempatan. Kita ada monopoli beras oleh Padi Beras Nasional Berhad (Bernas). Jadi, dalam beras dan padi, kita teruskan dasar beras yang ada dengan Bernas dan tidak diganggu. Sebab itu, saya rasa kita telah buat yang terbaik dan kita dapat pertahankan beberapa dasar kita. TPPA hendak kita turunkan duti import beras perlahan-lahan kepada kosong. Kita hendak beritahu, sekarang ini pun sudah kosong, tidak ada duti import.

Bagaimana pula kedudukan piawaian sijil halal yang dikeluarkan oleh Malaysia. Apakah selepas menyertai TPPA, kita perlu tunduk kepada piawaian yang ditetapkan oleh AS?

MUSTAPA: Halal diiktiraf sebagai pengiktirafan Malaysia dan mengikut piawaian kita. Itu dari awal lagi rundingan, perkara pertama saya selesaikan adalah halal. Bukan halal AS atau Vietnam tetapi kita teruskan menggunakan sijil halal kita.

TPPA dikatakan menggugat kedaulatan undang-undang negara kerana Malaysia boleh disaman berbilion dolar AS jika mengadakan peraturan baharu yang boleh menjejaskan jangkaan keuntungan syarikat-syarikat gergasi dari AS selepas termeterainya TPPA.

MUSTAPA: TPPA ini antaranya tentang saingan, alam sekitar dan perlidungan hidupan liar. Sesetengahnya tidak ada masalah. Apa salahnya kita jaga alam sekitar dan hidupan liar. Kalau kita pinda undang-undang yang memberikan kebaikan kepada buruh misalnya, kenapa tidak boleh. Kalau soal kedudukan bumiputera, Islam dan semua itu, tidak berbangkit sebab kita pertahankan dan sudah jaga.

Satu lagi tuduhan ialah TPPA ini merugikan negara dan hanya menguntungkan syarikat-syarikat gergasi multinasional dan transnasional terutamanya dari AS yang dikatakan akan “menelan” syarikat-syarikat kecil yang ada di negara ini.

MUSTAPA: Syarikat besar sudah ada di negara ini. Syarikat-syarikat gergasi ini sudah bertapak lama di Malaysia seperti di Pulau Pinang dan Shah Alam. Ini bukan benda baharu. Ada kilang First Solar yang terbesar di Kulim dan ada kilang Western Digital di Pulau Pinang. Kalau hendak kata TPPA ini hendak “makan” kita, sudah 40 tahun syarikat-syarikat gergasi ada di Malaysia. Memang dasar kita tentang perolehan bumiputera sudah ditetapkan. Yang syarikat multinasional ini, itulah kebimbangannya tetapi jawapannya sudah ada di sini. Kita pun hendak mereka kerana peluang pekerjaan dan sebagainya. Macam kita sekarang ini, kita hendak seimbangkan. Dalam pengilangan, jumlah pelaburan langsung asing (FDI) adalah 60 peratus manakala domestik sebanyak 40 peratus. Domestik ini seperti Kumpulan Berjaya dan Kumpulan YTL banyak buat pasar raya dan hartanah. Dalam sektor pengilangan, pelaburan sebahagian besar disumbangkan oleh pelabur asing. Yang pertama adalah Jepun dan kedua, AS. Kena ingat Jepun pun ada dalam TPPA. Kalau hendak kata mereka “makan”, mereka sudah lama “makan”. Bukan kata mereka “makan”, tetapi tugas saya menarik mereka datang melabur ke sini bagi memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat.

TPPA dikatakan bakal menyebabkan kenaikan harga ubat-ubatan sehingga 80 peratus kerana syarat ketat akan dikenakan kepada pengeluar ubat generik. Tindakan ini dibuat bagi menjaga kepentingan syarikat dari AS selaku pengeluar ubat-ubatan terbesar di dunia.


MUSTAPA: Dalam hal ini ada dua perkara. Yang pertama perlindungan paten dan dasar ini tidak berubah iaitu 20 tahun. Ada orang kata TPPA akan menambah lagi, tidak ada. Dasar kita sekarang ini 20 tahun dan akan terus 20 tahun sama ada ada TPPA atau tidak. Yang kedua, ubat ini ada dua jenis iaitu berasaskan kimia dan biologi. Jadi, ubat yang biasa berasaskan kepada kimia. Itu dasar paten kita tidak ubah, tetapi kekal 20 tahun. Perlindungan 20 tahun itu dasar semasa. Bukan kita naikkan sampai 30 tahun selepas TPPA. Satu lagi dipanggil konvensional. Sekarang kita beri lima tahun perlindungan di bawah data eksklusif tetapi perlindungan paten masih 20 tahun. Maknanya, data ini tidak boleh diberikan kepada orang lain (generik) selama lima tahun. Itu dasar kita. Jadi, tidak ada perubahan dalam dasar dan kita pertahankan. Bukan hanya Malaysia tetapi enam buah negara. AS memang hendak tempoh ini dipanjangkan kerana mereka adalah pengeluar utama ubat. Jadi, hendak lagi lama lagi bagus. Tetapi enam buah negara pertahankan. Maknanya, dasar kita tidak berubah dari segi paten dan data eksklusif. Kalau kita tidak masuk TPPA, tidak semestinya harga akan turun atau stabil dan tidak semesti harga akan naik juga. Ubat generik ini benda sensitif dan amat penting bagi kita semua. Kita lawan habis-habisan. Memang syarikat-syarikat besar hendak ditambahkan tempoh tetapi dasar perlindungan paten kita tidak berubah. Jadi, masuk atau tidak masuk TPPA pun, dasar kita tidak berubah.

Bagaimana kesediaan syarikat-syarikat tempatan untuk bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi dari luar negara sekiranya TPPA dimeterai kelak?

MUSTAPA: Sekarang ini, syarikat Malaysia yang melabur di luar negara mempunyai nilai pelaburan sebanyak RM522 bilion. Duit orang luar melabur dalam kilang-kilang dalam negara adalah sebanyak RM470 bilion. Maknanya, kita jangan tengok orang “makan” kita. Petronas, Khazanah, dan Sime Darby duk “makan” di luar negara. UE ada di Melbourne, Australia. Tan Chong Motor Holdings, Berjaya dan Parkson ada di Vietnam. “Makanlah” itu. Kita perlu tengok kedua-dua belah atau situasi menang-menang bagi semua. Kalau kita berpakat dan harmoni, kita boleh buat lebih lagi. Dahulu kita pelabur kecil tetapi sekarang syarikat kita ada banyak pelaburan besar di luar negara. Jadi, jangan ingat hanya AS akan “makan” kita. Jangan ingat hanya orang lain besar. Syarikat kita seperti Petronas pun besar. Orang lain pun fikir macam itu terhadap kita. Kita kena keluar daripada kepompong dan lihat situasi menang-menang. Sebab itu Sabah dan Sarawak masuk Malaysia. Ini bagus untuk kita jadi makin besar. Kita lihat gambaran lebih besar.

Negara-negara yang menyertai rundingan TPPA mengeluarkan 40 peratus jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan ini merupakan perjanjian dagangan terbesar dunia. Apakah ini menunjukkan penyertaan dalam
TPPA memberikan kebaikan kepada negara?

MUSTAPA: Saya hendak tekankan sekali lagi, bukan semuanya bagus. TPPA pun ada banyak buruk tetapi kita seimbangkan. Ada buruk ada baik. Kalau baik lebih banyak daripada buruk, kalau kita tidak buat, rugilah kita. Saya hendak rakyat Malaysia berlaku adil. TPPA ada baik dan buruk dan kita. Kemudian kita bawa pergi ke Parlimen untuk dipertimbang. Jangan kita perlekehkan ahli Parlimen dengan pelbagai tuduhan seperti kena cucuk hidung dan sebagainya.

Apabila dibentangkan dokumen TPPA di Parlimen nanti, apakah kerajaan masih boleh meminda butiran yang telah dipersetujui dalam rundingan perjanjian itu?

MUSTAPA: Secara keseluruhan. Maknanya, sama ada mahu atau tidak. Kita buat pertimbangan. Misalnya, tekstil dan kelapa sawit dapat masuk pasaran. Kita undi mahu atau tidak sahaja. Kalau tolak, maka tolak semualah. Kalau pinda, kita perlu ubah semua, sebab rundingan ini melibatkan 12 buah negara. Umpamanya kalau kita pinda, negara lain pun terlibat dan semua kena pinda. Maknanya, kita kena mula dari awal baliklah.

Andai kata majoriti ahli Parlimen menolak dan Malaysia tidak menyertai TPPA, apakah ini akan memberikan kesan kepada negara kita?

MUSTAPA: Kesannya, pelabur tidak mari. Mungkin pelabur-pelabur yang ada dalam negara cabut lari dan akan memberikan kesan kepada syarikat-syarikat kita yang banyak melabur di luar negara.

Negara-negara lain yang terlibat dalam rundingan TPPA juga dikatakan tidak bersetuju dengan beberapa perkara. Apakah perkara-perkara itu?

MUSTAPA: Di Jepun, Perdana Menteri, Shinzo Abe dan partinya, Demokratik Liberal (LDP) menyokong TPPA. Mengikut kefahaman saya, peringkat awal, orang politik LDP sokong tetapi petani ramai tidak sokong, namun keresahan itu sudah reda sedikit. Cabaran utama Jepun ialah pertanian dan kedua, negara itu mahu pasaran untuk kereta negara itu bertambah baik.

Di New Zealand, negara itu kecil dan eksport utamanya adalah susu. Orang New Zealand amat tidak berpuas hati kerana mereka melihat mereka tidak mendapat akses yang baik untuk tenusu. Mereka sudah dapat tetapi tidak sebanyak seperti yang mereka hendak. Sekarang, sudah puas hatilah. Di Australia, antara isu yang dibangkit adalah kos ubat. Begitu juga dengan Peru dan Chile. Macam Vietnam, dua perkara iaitu buruh dan syarikat-syarikat kerajaan. Singapura tidak ada masalah besar kerana negara itu sudah terbuka.