Friday, July 9, 2010

Pasukan Khas KPDNKK Rampas 28,000 KG Gula Di Kelantan

Lagi rampasan gula oleh Pasukan Khas yang ditubuh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Kelantan.

KPDNKK bagi memantau pengedaran dan peruncitan gula di Kelantan telah membuat 14 rampasan membabitkan 28,000 kilogram gula bernilai RM46,696.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Iskandar Halim Sulaiman berkata pasukan yang diketuai Timbalan Pengarah KPDNKK Terengganu, Abdul Ghani Harun turut menahan beberapa orang peruncit dan pemborong yang terlibat dalam aktiviti itu untuk siasatan.

"Beberapa buah kenderaan yang diguna bagi membawa gula juga telah dirampas dan dijadikan bahan bukti aktiviti haram itu dilakukan oleh pihak terbabit," katanya di Kota Bharu, semalam.

Pada 28 Jun lepas Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayuddin mengumumkan penubuhkan pasukan khas memantau pengedaran dan peruncitan gula di Kelantan bagi memastikan bekalan gula di negeri itu mencukupi.

Pasukan itu akan berada di Kelantan selama sebulan memantau semua premis pemborong, pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuaratin (CIQ) serta pangkalan haram bagi memastikan bekalan gula tidak diseludup ke negara jiran.

Iskandar Halim berkata beliau berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh pasukan itu dan berharap masalah bekalan gula di Kelantan dapat diatasi dalam masa terdekat.

Beliau berkata kes terbaru semalam membabitkan seorang lelaki berusia 52 tahun dari luar Kelantan menggunakan sebuah lori membawa 65 kampit gula ditahan di Pengkalan Kubor ketika menghala ke sempadan dipercayai untuk diseludup.

Beliau berkata lelaki itu bersama lori dan gula ditahan bagi membantu siasatan dan sekiranya mempunyai cukup bukti akan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
"Gula seberat 3,250 kilogram dengan nilai dianggarkan sebanyak RM5,362 dirampas," katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi maklumat berhubung kegiatan penyeludupan gula.

No comments: