Friday, July 9, 2010

KUMPUL DATA USAHAWAN BUMIPUTERA UNTUK PASARAN LUAS

Program Menjejaki Usahawan Bumiputera Berdaya Saing yang dilancarkan semalam merupakan satu usaha untuk mendapatkan data dan maklumat bagi membawa para usahawan berpotensi ke peringkat pasaran perniagaan antarabangsa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata melalui pangkalan data itu nanti, pelbagai perancangan boleh dilakukan termasuk mengadakan program membantu usahawan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing melalui peluang perniagaan yang boleh dijalankan secara usahasama.

"Melalui data ini juga, para usahawan Bumiputera yang telah berstatus GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) juga boleh membantu mereka yang berpotensi untuk memperluaskan perniagaan masing-masing," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Menjejaki Usahawan Berdaya Saing yang disempurnakan oleh timbalannya, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Selain itu, Mustapa berkata melalui pangkalan data itu juga kementerian akan menggalakkan usahawan yang berpotensi supaya melibatkan diri dalam bidang serta industri pembuatan.

"Ini kerana setakat ini, hanya dua negeri di Malaysia yang terbabit secara aktif dalam industri pembuatan iaitu Kelantan dan Terengganu," katanya.

Program itu merupakan anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Selangor (DPMMS) dengan kerjasama MITI dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di Shah Alam, semalam.

Mustapa berkata melalui pangkalan data itu, kementerian melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) turut bersedia membantu usahawan yang berpotensi untuk melakukan perancangan bagi mengeksport barangan mereka ke luar negara.

Beliau berkata apabila perniagaan itu berkembang, ia juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang mempunyai kemahiran serta kelulusan dalam bidang keusahawanan.

Terdahulu, Mukhriz dalam ucapan perasmiannya berkata program menjejaki usahawan itu bakal membuka peluang dan menjadi platform kepada para usahawan mewujudkan jaringan perniagaan sesama mereka, GLC dan juga MITI.

Beliau berkata dalam usaha menjadi usahawan yang mampu menembusi pasaran antarabangsa, para usahawan Bumiputera perlu memberi tumpuan kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bertujuan menambah nilai lebih tinggi terhadap produk yang dihasilkan.

"Usahawan Bumiputera perlu memberi tumpuan kepada R&D supaya mempunyai kelebihan berbanding pesaing dari segi kualiti, inovasi dan daya tarikan produk serta perkhidmatan," katanya.

Sehubungan itu, Mukhriz berkata adalah amat penting semua usahawan Bumiputera dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada MITI dengan memberikan maklumat berkaitan syarikat masing-masing supaya tindakan dan bantuan susulan dapat dibuat.

No comments: