Dalam memberikan amaran mengenai kemenangan Barisan Nasional berada di tangan pengundi remaja, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang mempunyai tanggapan positif terhadap kepimpinan negara yang ada sekarang.
Beliau meluahkan kebimbangan bahawa kelewatan BN bertindak akan memberi peluang pembangkang memonopoli remaja cukup umur yang menjadi pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
Katanya, golongan remaja yang berjumlah lebih 4 juta di negara ini memberi peluang cerah kepada BN untuk memenangi pilihan raya umum ke-13, jika gerakan secara besar-besaran dilancarkan bagi mendaftarkan mereka sebagai pemilih.
"Ini adalah peluang terbaik untuk kita memenangi pilihan raya umum akan datang, kerana jumlah yang ramai itu sudah tentu mengembalikan kekuatan untuk berdepan dengan pembangkang yang tidak kurang kuatnya," katanya.
Beliau menyatakan demikian merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Gua Musang di Dewan Bukit Chekati semalam,
Laporan Bernama menyebut, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang turut meluahkan kebimbangan mengenai kekuatan Umno sekiranya ada di kalangan ahli parti tidak memahami asas perjuangannya.
Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah meminta Umno dan parti komponen BN memperhebatkan gerakan mendaftar pemilih baru di kalangan generasi muda yangmasih ramai belum berbuat demikian.
Bagaimanapun, Tengku Razaleigh yakin kepimpinan yang ada sekarang, khususnya di peringkat pusat, mampu memulihkan keadaan itu berdasarkan perubahan yang berlaku sejak kebelakangan ini.
"Namun demikian, kita sebagai ahli Umno perlu menghayati perjuangan demi membela bangsa, agama dan negara untuk melahirkan sebuah negara yang mampu berdepan dengan sebarang cabaran.
"Kita juga perlu mengambil iktibar daripada kekalahan lima negeri yang jatuh kepada tangan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu, untuk bekerja lebih kuat bagi merampas semula negeri terbabit dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
Tengku Razaleigh berkata tidak ada sebab kelima-lima negeri tersebut tidak boleh ditawan semula kerana BN adalah sebuah parti yang kuat dan belum pernah tewas dengan mudah di tangan pembangkang.
No comments:
Post a Comment