Wednesday, July 14, 2010

KELANTAN BENARKAN PROJEK ECER DI GUA MUSANG

Kerajaan Kelantan memberi kebenaran kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk membangunkan tanah kerajaan di daerah Galas dan daerah Ciku di Gua Musang sebagai Projek Agropolitan Kelantan Selatan.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kelulusan yang diberi kepada ECERDC itu telah secara tidak langsung membatalkan permohonan daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sebelum ini untuk memiliki tanah seluas 600 hektar di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini Kesedar ada membuat permohonan untuk memiliki dan membangunkan tanah di kawasan berkenaan. Bagaimanapun mengambil kira beberapa faktor melalui hasil perbincangan, pihak kerajaan negeri telah memutuskan untuk membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu.

"Dengan keputusan itu, tanah-tanah berkenaan kekal sebagai tanah kerajaan negeri kerana ECERDC hanya bertanggungjawab membangunkan tanah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata keputusan membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu bermakna bahawa apabila projek berkenaan siap, sebarang keputusan seperti contoh memindah hak milik tanah kepada golongan miskin, dapat dilakukan secara terus oleh kerajaan negeri tanpa melalui banyak pihak.

"Apabila projek ini siap, sebarang keputusan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri lebih mudah, jika tanah berkenaan diberi kepada Kesedar dan Kesedar memberi kepada ECERDC untuk dibangunkan, ianya akan membebankan kerana melibatkan banyak pihak," katanya.

Nik Aziz berkata projek berkenaan yang merangkumi pembinaan pelbagai komponen antaranya kediaman, ruang perniagaan dan utiliti itu telah bermula pada Mei lalu dengan pembinaan 350 unit rumah.

No comments: