Laporan penyakit barah payu dara dari 1999 hingga 2002, terdapat 370 kes dilaporkan berlaku di Kelantan dan 167 adalah dari jajahan Kota Bharu dan satu pertiga daripada mereka yang dirawat di peringkat akhir atau terlambat...
Tahap kesedaran pesakit barah di Kelantan untuk menerima rawatan awal dan segera di hospital kerajaan masih rendah kerana mereka lebih percaya kepada bomoh, kata Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Datuk Dr Zaidun Kamari.
Beliau berkata, daripada sejumlah besar penghidap barah yang dikesan, hanya 3,000 mendapatkan rawatan susulan untuk menghalang perebakan barah di HUSM sejak Unit Onkologi kampus hospital itu ditubuhkan pada 1996.
Seramai 700 orang penghidap baru barah dikenalpasti setiap tahun di Kelantan.
"Ini menunjukkan tahap kesedaran penghidap barah di kalangan rakyat Kelantan untuk mendapat rawatan awal masih rendah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program "Cancer Survivor" anjuran Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi HUSM di Tok Bali, dekat Pasir Puteh, semalam.
Ini kali pertama program sempena Mesyuarat Selamatkan Barah ke-6 USM bertemakan "Bersama Meniti Harapan" diadakan di luar hospital itu sebagai pendekatan baru menangani pesakit berkenaan.
Hadir sama, Pakar Unit Onkologi HUSM, Prof Madya, Dr Biswa Mohan Biswal dan Pengerusi Program itu, Hasmat Zakaria.
Pada 12 Februari lalu, Dr Zaidun berkata, kes barah payu dara yang melibatkan wanita Kelantan amat membimbangkan, berikutan mangsa lambat mendapat rawatan dan pengesanan lebih awal.
Katanya, kajian laporan penyakit barah payu dara dari 1999 hingga 2002, terdapat 370 kes dilaporkan berlaku di Kelantan dan 167 adalah dari jajahan Kota Bharu dan satu pertiga daripada mereka yang dirawat di peringkat akhir atau terlambat.
"Keadaan ini amat membimbangkan kerana kes-kes yang datang untuk mendapat rawatan di hospital berada pada tahap 4 iaitu sudah terlewat untuk dirawat," katanya selepas majlis perasmian Pusat Sumber Kanser Payu Dara HUSM, Kubang Kerian.
Dr. Zaidun berkata, kelewatan wanita mendapat rawatan penyakit barah payu dara di hospital adalah disebabkan sikap mereka sendiri yang kurang mendapat maklumat sebenar mengenai penting mencegah penyakit itu di peringkat awal lagi.
"Kadang-kadang mereka mendapat maklumat daripada mereka yang kurang arif mengenai penyakit itu serta takut dan malu kepada masyarakat umum," kata Dr. Zaidun.
Katanya, matlamat kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran di kalangan mereka apabila HUSM menyediakan Pusat Sumber Kanser Payu Dara pertama di Pantai Timur hasil kerjasama syarikat Avon, yang menyediakan peralatan rawatan dan pengesanan di pusat itu.
Sementara itu, Dr. Mafauzy dalam ucapannya berkata, syarikat Avon menyumbangkan sebanyak AS$100,000 kepada HUSM bagi menyediakan segala kemudahan di pusat sumber itu.
No comments:
Post a Comment