Saturday, August 21, 2010

12 HUKUMAN SEBAT SEJAK 1987

Pihak berkuasa agama Islam Kelantan telah mengenakan hukuman sebat ke atas 12 pesalah jenayah syariah selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah diperkenalkan di negeri itu pada 1986.

Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Mohamad berkata, hukuman sebat yang pertama dilaksanakan di Penjara Pengkalan Chepa pada 25 Jan 1987 yang melibatkan pesalah mukaddimah zina dengan dikenakan tiga sebatan.

"Sejak itu Mahkamah Syariah menjatuhi hukuman sebat ke atas 12 kes, termasuk dua kes digugurkan," katanya dalam kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Hukuman Sebat Syariah sempena Majlis Sambutan Hari Hududullah peringkat negeri 2010 di Kota Bharu.

Dalam kertas kerja bertajuk "Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah; Realiti Pelaksanaan" Daud berkata setakat ini tiada kes liwat dilaporkan di negeri ini.

Menurut beliau, kes-kes yang boleh dikenakan hukuman sebat itu tertakluk dalam Enakmen Kanun jenayah Syariah Negeri Kelantan Nombor 2 Tahun 1985 yang antara lain meliputi zina, mukadimah zina, liwat dan minum minuman keras yang memabukkan.

Sebagai seorang daripada penggubal enakmen itu, Daud berkata, sebelum melaksanakan hukuman sebat di Kelantan, beliau memberi taklimat kepada pihak penjara di Jabatan Hal-Ehwal Ahgama Islam berhubung cara-cara dan kaedah pelaksanaan sebat dan menunjukkann jenis rotan yang digunakan untuk sebatan.

"Menurut peruntukan hukum syarak di bawah jenayah syariah, pesalah yang disabitkan kesalahan yang didakwa mahkamah syariah boleh dikenakan hukuman sebat,

"(Bagaimanapun) hukuman itu tertakluk kepada jenis-jenis kesalahan yang dilakukan pesalah tersebut seperti kesalahan berzina bagi penzina yang ghair muhsan, menuduh orang lain berzina (qazaf), minum arak, dan lain-lain kesalahan yang boleh dikenakan hukuman takzir yang tidak ditentukan oleh syarak mengenai kadar atau bentuk hukuman itu," katanya.

Beliau berkata, hukuman sebat dalam hudud wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak dan perintah Allah s.w.t.

No comments: