Saturday, August 21, 2010

GOLDEN PALM GROWERS SASAR KUMPUL RM137j

Golden Palm Growers Bhd (GPGB) menyasarkan untuk mengumpul RM137 juta daripada Skim Golden Palm yang menawarkan pulangan daripada sebuah ladang sawit di Gua Musang, Kelantan.

Pengerusi Eksekutif GPGB, Andrew Phang, berkata harga tawaran awal bagi setiap petak penanam ialah RM7,000 dan syarikat itu telah memperuntuk 7,000 ekar tanah untuk dimasukkan dalam skim pelaburan itu.

"Syarikat pengurusan mungkin juga memasukkan 3,000 ekar tanah tambahan dalam skim itu pada masa akan datang," kata Phang pada majlis pelancaran skim itu di sini Jumaat.

"Untuk memberikan sedikit kepastian kepada pelabur, skim ini akan membayar pulangan minimum sembilan peratus setahun jika harga minyak sawit mentah melebihi RM1,500 setan metrik dan enam peratus setahun jika harga berada pada RM1,000 hingga RM1,500 setan metrik," katanya.

Beliau juga berkata pelancaran skim itu menandakan kemuncak perancangan dan persiapan terperinci selama tiga tahun oleh GPGB, sebuah anak syarikat Sterling Biofuels International Ltd yang disenaraikan di Bursa Saham Australia.

"Apabila skim itu tamat tempoh dalam 23 tahun, pelabur-pelabur akan berkongsi sebarang peningkatan modal ladang itu," tegas Phang.

Di bawah bil jaminan syarikat itu, seseorang pelabur diberikan jaminan meraih pulangan enam peratus bagi enam tahun pertama dan jaminan ini disokong sepenuhnya oleh wang tunai yang didepositkan dengan AmTrustee Bhd, pemegang amanah bagi skim itu.

"Bagi 17 tahun akan datang, seorang pelabur akan berkongsi keuntungan keseluruhan ladang itu kerana 100 peratus keuntungan bersih beraudit akan diagihkan," jelas beliau.

Phang berkata syarikat itu juga berminat untuk menambah tanah ladang baharu.

"Kami berminat terhadap tanah berdekatan dengan petak yang kami ada sekarang," katanya.

Berikutan itu, orang ramai dipelawa melabur dalam sektor perladangan kelapa sawit di bawah skim milik Golden Palm ini yang menjual setiap petak tanah ladang berkeluasan 0.4 hektar atau 1,021.9 meter persegi di Kelantan pada harga RM7,000.

Golden Palm menawarkan 19,600 petak tanah ladang yang terletak di Gua Musang, kesemua seluas 4,000 hektar dengan nilai jualan RM137 juta.

Pelabur tempatan ditawarkan 70 peratus daripada kawasan berkenaan manakala bakinya 30peratus akan dipegang sendiri oleh Golden Palm.

Phang berkata, skim pelaburan berkenaan yang paling awal diperkenalkan di Malaysia atau di dunia, mempunyai tempoh matang sehingga 23 tahun.

Beliau berkata, di bawah skim itu, Golden Palm menjamin keuntungan sebanyak enam peratus setahun untuk tempoh selama enam tahun pertama.

Phang berkata, pokok kelapa sawit biasanya mengambil masa enam tahun untuk mengeluarkan hasilnya.

Beliau berkata, selepas 17 tahun pertama, para pelabur dijamin pulangan sekurang-kurangnya sembilan peratus setahun sekiranya harga minyak kelapa sawit mencecah RM1,500 setan metrik .

Golden Palm ditubuhkan pada 2007 di bawah syarikat induk, Sterling Plantations Sdn. Bhd. yang melaksanakan projek biofuel di Sabah.

Syarikat itu memperoleh geran konsesi untuk memajukan, mengurus dan mengekalkan perladangan kelapa sawit selama 60 tahun dengan konsesi itu boleh dilanjutkan selama 30 tahun lagi daripada sebuah agensi kerajaan negeri Kelantan.

Projek perladangan itu yang akan dibangunkan dalam tiga fasa, menyaksikan fasa pertama kini sedang dilaksanakan.

Fasa pertama perladangan melibatkan kawasan seluas 800 hektar dengan 30 peratus sudah siap ditanam dan bakal memberikan hasil dalam tempoh 30 bulan.

Keseluruhan fasa perladangan itu dijangka disiapkan dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan hasil komersial pertama pada tahun 2016.

Phang berkata, pihaknya menjangka harga minyak sawit tempatan terus meningkat dalam tempoh 20 tahun akan datang, sekali gus pelaburan berkenaan bakal memberikan pulangan baik kepada pelabur.

No comments: