Tuesday, August 3, 2010

KADA ATASI MASALAH PETANI DENGAN BERNAS

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan membantu petani di bawah seliannya mengatasi masalah yang dihadapi mereka dengan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) dengan membawa aduan mereka kepada kementerian berkenaan.

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata isu itu harus diselesaikan segera kerana dibimbangi akan menjejaskan hasrat kerajaan untuk melihat pengeluaran padi di negara ini dipertingkatkan.

"Antara aduan yang dibawa ialah berkaitan pemberian subsidi dan pembelian padi. Petani mengadu mereka berjaya meningkatkan pengeluaran padi sehingga enam tan metrik tapi insentif subsidi yang diberi jauh lebih rendah.

"Saya lihat aduan petani ada asasnya dan saya akan cuba bawa masalah petani ini ke peringkat kementerian agar masalah itu diberi perhatian segera," katanya selepas melawat sawah padi di Kampung Tegayong, hari ini.

Selain itu, Annuar berkata KADA juga akan membentuk sebuah pasukan pemantau bagi memastikan isu berkenaan tidak berulang.

"Apa yang saya mahu setiap masalah mesti sampai kepada saya dan bukannya di peringkat masalah yang semakin memburuk baru nak disampaikan," katanya.

Mengulas perkembangan berkaitan, Annuar berkata KADA akan memberi penerangan kepada petani berhubung krisis air yang semakin buruk ketika kemarau melanda Kelantan.

"Mereka perlu diberi kefahaman kerana sering kali kita dipersalahkan apabila berlakunya krisis air sedangkan ia berpunca daripada banyak sebab," katanya.

Beliau berkata KADA juga akan berusaha untuk mengubah jadual penanaman jika keadaan kemarau semakin buruk.

No comments: