Tuesday, August 24, 2010

KOMITED TINGKATKAN EKONOMI IBU TUNGGAL DI KELANTAN

Sebahagian daripada 150 wanita membuat persiapan menunaikan solat sunat tasbih sempena program Nur Ramadan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Kelantan di Pengkalan Chepa, semalam. - Utusan

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) terus komited membantu meningkatkan status ekonomi wanita dan ibu tunggal di negeri ini dengan menyediakan kursus kemahiran percuma kepada mereka.

Pengarah JPW negeri, Asiah Puteh berkata, setakat ini, dua kursus iaitu Inkubator Keusahawanan Wanita (I-Kenita) dan Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-Kit) telah dilaksanakan melibatkan 60 wanita dan ibu tunggal.

Katanya, penganjuran kursus I-Kenita merangkumi pendedahan mengenai teknik dan cara berniaga, penjahit pakaian dan langsir, merupakan sebahagian daripada usaha JPW untuk memperkasakan ekonomi golongan berkenaan.

"I-Kit pula melibatkan kursus membuat roti, pastri dan makanan sejuk beku dan tempuh kursus antara 10 hingga 17 hari," katanya ketika ditemui selepas Program Nur Ramadan di Rumah Nur di Pengkalan Chepa semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) negeri, Datin Bi Samihah Mohd. Salleh.

Menurut Asiah, pelaksanaan kedua-dua kursus itu akan disambung semula selepas Ramadan ini melibatkan penyertaan lebih ramai wanita dan ibu tunggal yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

Selain itu, katanya, JPW juga akan menganjurkan 'Program Imarah Rumah Nur' sepanjang tahun bagi memberi peluang lebih luas kepada golongan berkenaan mendapatkan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang.

"Di bawah program berkenaan, wanita yang mendaftar dengan jabatan berpeluang menyertai kursus jangka pendek seperti jahitan baju wanita, langsir, sulaman, manik dan kraftangan," katanya.

Asiah berkata, selain diberikan kemahiran, peserta juga turut diajar bidang pemasaran bagi membolehkan mereka menjual barangan yang dihasilkan.

Katanya, wanita dan ibu tunggal yang berminat untuk menyertai kursus kemahiran anjuran JPW itu boleh menghubungi Nur Hannani Emran atau Nur Hanini Zawani di talian 7741005 pada waktu pejabat untuk butiran lanjut.

Utusan

No comments: