Tuesday, August 24, 2010

DUA KENDERAAN DIBAKAR DIPERCAYAI PERBUATAN KHIANAT

Sebuah keluarga di Kampung Jelawat, di Bachok, dikejutkan dengan bunyi letupan pada awal pagi kelmarin daripada dua buah kereta yang terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.

Api yang marak daripada kenderaan itu turut menyebabkan dinding hadapan rumah dan garaj kereta itu terbakar.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika tujuh anggota keluarga itu sedang tidur.

"Saya terkejut kerana tiba-tiba terdengar satu bunyi letupan yang agak kuat lalu bangun untuk melihat apa yang berlaku di luar rumah...sebuah Toyota Wish dan Perodua Myvi milik ahli keluarga saya sedang hangus terbakar," kata seorang anggota keluarga itu, Siti Nor Farhana Ahmad Fatani.

Siti Nor Farhana, 23, berkata dia kemudian bergegas mengejutkan kesemua anggota keluarganya termasuk suaminya kerana bimbang api itu merebak ke rumah.

Beberapa penduduk kampung turut keluar melihat keadaan itu dan mereka yang menghubungi bomba, katanya semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal keluarganya di kawasan rumah itu menemui bekas petrol dan satu bekas plastik.

Katanya mengesyaki bahawa kejadian itu mungkin perbuatan khianat, mereka membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Yahya Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan.

No comments: