Thursday, August 5, 2010

RON 97 DI MALAYSIA TERUS JASI PILIHAN WARGA THAILAND

DUA rakyat Thailand mengisi minyak petrol Ron 97 di dalam motosikal mereka di sebuah stesen minyak berdekatan pekan Rantau Panjang, Kelantan, semalam.

Jualan petrol jenis RON 97 di beberapa kawasan sempadan dengan Thailand didapati meningkat sejak petrol jenis RON 95 dilarang dijual kepada kenderaan asing hujung bulan lepas.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, Fauzi Harun berkata peningkatan kuantiti jualan minyak petrol RON 97 di beberapa stesen minyak di tiga pintu masuk utama ke negeri ini jelas menunjukkan Malaysia tetap menjadi pilihan rakyat dari negara jiran untuk membeli bahan api berkenaan berbanding membelinya di negara mereka sendiri.

"Mengikut pemerhatian kita di beberapa stesen minyak di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga, berlakunya peningkatan mendadak penjualan minyak petrol RON 97 terutama dalam tempoh dua hari selepas larangan itu dikuatkuasakan.

"Pada 30 dan 31 Julai lalu, jumlah yang terjual ialah 23,205 liter dan dua hari selepas berkuatkuasanya larangan itu pada 1 dan 2 Ogos lalu, jualan minyak meningkat kepada 63,265 liter," katanya kepada pemberita selepas turun padang memantau penjualan minyak di kawasan sempadan Rantau Panjang semalam.

Fauzi berkata peningkatan sebanyak 40,060 itu menunjukkan Malaysia tetap menjadi destinasi pilihan kepada rakyat asing untuk mendapatkan bekalan minyak petrol biarpun hanya minyak petrol RON 97 yang dibenarkan dibeli.

Difahamkan, harga minyak petrol RON 97 di negara ini jauh lebih murah, iaitu RM2.10 berbanding di negara jiran iaitu RM3.60.

Fauzi berkata jualan petrol RON 95 pula menunjukkan penurunan sebanyak 94,277 liter iaitu daripada 304,390 liter yang dicatatkan pada 30 dan 31 Julai kepada 210,113 liter selepas dua hari larangan itu berkuatkuasa.

Seorang rakyat negara Thailand, Mohd Yan Abdul Hanan, 50, berkata beliau masih mampu membeli bahan api RON 97 biarpun ianya agak mahal berbanding RON 95 yang dijual di negara ini.

"Bagi rakyat Malaysia mungkin rasa mahal minyak petrol RON 97 itu, tetapi bagi saya tiada masalah kerana ia masih jauh lebih murah dari minyak petrol yang dijual di negara kami. Jadi kami tetap akan beli minyak di sini, ianya lebih berbaloi," katanya.

No comments: