Wednesday, September 1, 2010

KENDERAAN BERAT DILARANG GUNA JAMBATAN SULTAN YAHYA PETRA 1-15 SEPT

Semua kenderaan berat tidak dibenarkan untuk menggunakan Jambatan Sultan Yahya Petra mulai hari ini hingga 15 September ini.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Azman Mohd. Daham berkata, larangan itu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas keluar masuk ke pusat bandar pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Beliau berkata, kenderaan berat yang selalunya dipandu perlahan, dibimbangi akan menambah kesesakan trafik di sekitar laluan keluar masuk menghala ke pusat bandar.

"Sehubungan itu, pemandu kenderaan berat dinasihat menggunakan Jambatan Tendong dan Jambatan Pasir Mas-Salor sebagai laluan alternatif," katanya kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu semalam.

Azman berkata, keputusan itu telah mendapat persetujuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dalam mesyuarat yang diadakan sebelum ini.

"Tiada cara yang dapat mengurangkan kesesakan itu kecuali tidak membenarkan kenderaan berat menggunakan laluan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, katanya, lori-lori kecil dan semua jenis bas masih dibenarkan untuk menggunakan jambatan tersebut.

"Larangan adalah untuk sepanjang masa dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Beliau turut menasihatkan pemandu kenderaan berat yang terlibat dengan projek pembinaan di sepanjang Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra, merancang perjalanan mereka bagi mengelak sebarang kesulitan.

Mengenai kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku di sekitar pusat bandar menjelang hari raya ini berikutan kepulangan anak-anak Kelantan di perantauan, Azman berkata, keadaan trafik akan dikawal oleh anggota polis.

"Seperti tahun sebelumnya, memang akan berlaku kesesakan, tetapi kita yakin pihak polis dapat mengawal keadaan," katanya.

No comments: