Showing posts with label Larang. Show all posts
Showing posts with label Larang. Show all posts

Thursday, September 22, 2016

Larang Kakitangan Sertai Parti Baharu - Mari Ikut Langkah Kerajaan PAS Kelantan


Semua negeri di Malaysia sewajarnya mengambil contoh Kerajaan PAS Kelantan yang melarang kakitangan atau penjawat awamnya menyertai parti lain, selain daripada parti yang memerintah.

Cara ini hendaklah dijadikan syarat pelantikan, kenaikan pangkat dan pengekalan bagi setiap penjawat awam yang dilantik oleh suruhanjaya perkhidmatan negeri-negeri.

Peraturan dan klausa khusus juga perlu diwujudkan sebagai suatu perjanjian dan perintah yang tidak boleh dicabar kesahihan dan penguatkuasaannya.

Melalui cara itu, sesebuah pemerintah atau kerajaan akan lebih terjamin kekal selagi penjawat awam yang ada terus berkhidmat atau dengan kata lain selagi seseorang itu tidak mati atau bersara.

Jika ada skim pencen, sokongan kepada parti hendaklah diteruskan kalau mahu terus menerima pencen.

Sebelum ini sepucuk surat pekeliling bertarikh 9 September 2015 tersebar di media sosial yang mengarahkan tujuh jawatan pengarah dalam kerajaan negeri menyemak mana-mana kakitangan yang menyertai parti baru.

Gesaan itu ditujukan kepada Pengarah Pusat Kajian Strategik, Pengarah Tabung Amanah Tok Kenali, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan.

Selain itu ia turut dihantar kepada Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Pengarah Urusetia Penghulu dan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato Bentara Setia.

Husam sertai AMANAH
Surat berkenaan sebelum ini dipercayai merujuk kepada parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) yang ditubuhkan September tahun lalu.

AMANAH ditubuhkan selepas sebahagian pemimpin PAS tidak berpuashati dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Terbaru, ADUN Salor yang juga bekas EXCO kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa turut menyertai AMANAH.

Laporan Malaysiakini 15 September lalu, menyebut  Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan Wan Roslan Wan Hamat mengesahkan kerajaan PAS Kelantan mengeluarkan pekeliling bagi melarang kakitangan kerajaan negeri menyertai parti baru kerana bercanggah dasar sedia ada.

Semakan itu dikeluarkan memandangkan jawatan kakitangan berkenaan merupakan lantikan politik dan bukan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Itu surat lama, surat itu asli. Arahan itu dari kita orang. (Dah buat semakan) tak ada kakitangan yang masuk parti baru, mereka laporkan tidak ada.

“Kita cuma nak periksa, kerja dengan kerajaan mestilah ikut kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Wan Roslan berkata, hasil semakan mendapati tidak ada kakitangan jabatan berkenaan yang menyertai parti baru yang ditubuhkan di negeri itu.

Sekiranya pihaknya mendapati terdapat kakitangan tersebut menyertai parti baru, tindakan selanjutnya akan dibincangkan kelak.

“Jangan keliru. Kita buat semakan mana-mana kakitangan itu sebab nak dapatkan maklum balas…keputusan yang kita terima tak ada kakitangan yang masuk parti baru. Kalau ada yang sertai kita akan bincanglah,” katanya.

Wan Roslan kesal dengan penyebaran surat tersebut dan menyifatkannya mempunyai niat tidak baik.

“Itulah, mereka ada niat tak baik. (tapi) itu cerita lama. Saya tak nak cari (pihak sebarkan) nak buat apa.

Azih patut desak Putrajaya ikut Kerajaan PAS Kelantan
Mereka kena bertanggungjawab dengan Allah taala, mereka berniat tak baik. Kalau niat baik, mereka akan tanya kita baik-baik,” katanya.


Berasaskan kedudukan yang diamalkan oleh Kelantan ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia juga patut memperkenalkan cara atau strategi yang sama.

Melalui cara ini dengan kedudukan penjawat awam seramai lebih hampir dua juta (termasuk mereka yang sudah pencen) mungkin boleh mengekalkan kerajaan Barisan Nasional dengan mudah.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda yang selalu dok minta naik gaji, duit raya, bonus dan sebagainya boleh lihat kepada pelaksanaan seperti oleh kerajaan PAS Kelantan ini.

Ini kerana jika dilaksanakan di peringkat persekutuan, ia menjadi sumbangan besar Cuepacs dan Azis sendiri kepada negara.

Bukan begitu?

Wednesday, September 1, 2010

KENDERAAN BERAT DILARANG GUNA JAMBATAN SULTAN YAHYA PETRA 1-15 SEPT

Semua kenderaan berat tidak dibenarkan untuk menggunakan Jambatan Sultan Yahya Petra mulai hari ini hingga 15 September ini.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Azman Mohd. Daham berkata, larangan itu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas keluar masuk ke pusat bandar pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Beliau berkata, kenderaan berat yang selalunya dipandu perlahan, dibimbangi akan menambah kesesakan trafik di sekitar laluan keluar masuk menghala ke pusat bandar.

"Sehubungan itu, pemandu kenderaan berat dinasihat menggunakan Jambatan Tendong dan Jambatan Pasir Mas-Salor sebagai laluan alternatif," katanya kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu semalam.

Azman berkata, keputusan itu telah mendapat persetujuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dalam mesyuarat yang diadakan sebelum ini.

"Tiada cara yang dapat mengurangkan kesesakan itu kecuali tidak membenarkan kenderaan berat menggunakan laluan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, katanya, lori-lori kecil dan semua jenis bas masih dibenarkan untuk menggunakan jambatan tersebut.

"Larangan adalah untuk sepanjang masa dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Beliau turut menasihatkan pemandu kenderaan berat yang terlibat dengan projek pembinaan di sepanjang Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra, merancang perjalanan mereka bagi mengelak sebarang kesulitan.

Mengenai kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku di sekitar pusat bandar menjelang hari raya ini berikutan kepulangan anak-anak Kelantan di perantauan, Azman berkata, keadaan trafik akan dikawal oleh anggota polis.

"Seperti tahun sebelumnya, memang akan berlaku kesesakan, tetapi kita yakin pihak polis dapat mengawal keadaan," katanya.