Macam-macam berlaku di atas dunia...
Orang yang dianggap sudah hampir ke tali gantung tiba-tiba bernasib baik dan mungkin terlepas untuk selamanya.
Demikianlah yang berlaku terhadap tiga sahabat di Kota Bharu, kelmarin.
Menurut laporan akhbar, nasib baik menyebelahi tiga sahabat di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, kelmarin apabila mereka terlepas hukuman gantung kerana tuduhan mengedar dadah, September tahun lalu.
Ia gara-gara saksi utama meninggal dunia.
Hakim Azman Abdullah dalam penghakimannya berkata, nasib menyebelahi ketiga-tiga tertuduh, Ahmad Rizal Soh, 22; Mohd Saifuddin Mohd Nor, 29 dan Mohd Fareez Zulkifli, 23, apabila saksi utama kes itu yang juga ejen penyamar sudah meninggal dunia.
Mereka hanya dikenakan hukuman penjara tiga tahun enam bulan dan lima sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh diihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.
Sebelum ini, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman gantung mandatori.
Dalam pertuduhan pilihan, ketiga-tiga penganggur terbabit didakwa memiliki 21.01 gram dadah jenis methamphetamine kira-kira jam 3.45 petang pada 15 September 2009 di tepi jalan besar Peringat ke Pasir Puteh berhampiran stor kayu, Melor, di sini.
Hakim Azman memerintahkan hukuman terhadap semua tertuduh berjalan mulai tarikh tangkapan pada 15 September tahun lalu.
“Nasib menyebelahi kamu kerana kamu bernasib baik apabila ejen penyamar (polis) meninggal dunia.
”Kamu terlepas hukuman gantung atas usaha peguam bela kamu dan doa keluarga selama ini, kamu harus bersyukur walaupun sebelum ini kamu tidak mendengar nasihat ibu bapa dan semua orang,” katanya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Rehan Mohd Aris.
Terdahulu, peguam bela, Datuk Shukri Mohamed memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap ketiga-tiga anak guamnya dengan alasan mereka masih muda ketika melakukan kesalahan itu, tiada rekod jenayah dan mengaku bersalah dengan sukarela.
Bagaimanapun Mohd Rehan membantah kerana ia kes serius dan faktor umur tidak boleh diterima disebabkan dadah jenis pil kuda amat popular di Kelantan.
No comments:
Post a Comment