Saturday, September 25, 2010

SYARAT BARU SUKAN TOMOI TIDAK JEJAS PELANCONGAN

Kerajaan Kelantan memberi jaminan syarat baru yang ditetapkan dalam sukan tomoi tidak akan menjejaskan mahupun menjatuhkan industri pelancongan di negeri ini sebagaimana yang dibimbangi beberapa pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata langkah kerajaan negeri menetapkan syarat baru, iaitu memakai pakaian menutup aurat bagi pemain sukan berkenaan harus dipandang positif kerana ia memberi banyak kebaikan daripada keburukan.

"Masyarakat perlu ada pemikiran yang baru dan cuba menerimanya dalam aspek positif.

"Ia baik dalam Islam dan dalam soal pelancongan, ia dijangka lebih hebat kerana adanya satu kelainan pada sukan tomoi di negeri ini berbanding di negeri dan negara lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong, Kota Bharu, semalam.

Sambil menyifatkan tindakan beberapa pihak yang cuba mempertikaikan syarat baru itu sebagai perkara biasa, beliau berkata kerajaan negeri bertegas untuk melaksanakan syarat baru itu dan yakin ia pasti akan diterima kelak.

"Memang setiap perkara yang dicadangkan kerajaan negeri tidak diterima pada peringkat awal, tetapi lama-kelamaan, apabila sudah dilaksanakan, ia tetap akan menjadi ikutan.

"Dalam sukan renang sebelum ini contohnya, kerajaan negeri turut mengenakan syarat pemakaian renang menutup aurat dan ia juga tidak dapat diterima pada awalnya, tetapi sekarang menjadi ikutan di Kuala Lumpur dan beberapa negara luar," katanya.

Abdul Fattah berkata syarat baru sukan tomoi pula hampir sama dengan sukan renang iaitu perlu menutup aurat sekurang-kurangnya memakai baju-T dan seluar labuh dan tidak mendatangkan masalah untuk diikuti oleh pemain sukan tomoi.

Katanya, sewaktu meluluskan sukan tomoi sebelum ini, pihaknya telah mengenakan prasyarat iaitu memastikan permainan tersebut tidak ada unsur judi dan mengikut ajaran Islam tanpa ada unsur azimat.

"Selain itu, pihak kami juga sudah membuat syarat dan memberi tempoh selama tiga tahun kepada persatuan berkenaan supaya menutup aurat dan kedudukan penonton diasingkan lelaki juga perempuan, malahan perkara ini dipersetujui.

"Sepatutnya ia berkuat kuasa sejak 2007 lalu, tetapi atas sebab beberapa perkara, tahun hadapan syarat ini diperketatkan dan berharap ia tidak dipandang negatif sebab niat kerajaan negeri ikhlas," katanya.

Di bawah peraturan baru itu, semua peserta sukan tomoi disyaratkan memakai seluar sehingga melepasi paras lutut dan berbaju T.

No comments: