Thursday, October 21, 2010

BANGUNAN UMNO KB - ZAID JUAL HARTA 'ORANG LAIN'?

"Zaid menjual harta ‘orang lain’ manakala kepimpinan Pas pula mengetahui bahawa tanah bangunan tersebut milik UMNO Bahagian Kota Bharu...Biarpun tanah bangunan tersebut atas nama Zaid tetapi ia hanyalah prosedur biasa kerana pada ketika itu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menerajui bahagian berkenaan.Penjualan bangunan ini memang tidak betul, tanah itu hak UMNO." - Datuk Mohd Fatmi Che Salleh



UMNO Bahagian Kota Bharu menyifatkan Dewan Pemuda Pas Kelantan dan penyelaras pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim sebagai tidak bermoral kerana terlibat dalam penjualan Bangunan UMNO Kota Bharu.

Ketuanya, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh berkata, ini kerana Zaid menjual harta ‘orang lain’ manakala kepimpinan Pas pula mengetahui bahawa tanah bangunan tersebut milik UMNO Bahagian Kota Bharu.

Beliau berkata, biarpun tanah bangunan tersebut atas nama Zaid tetapi ia hanyalah prosedur biasa kerana pada ketika itu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menerajui bahagian berkenaan.

“Penjualan bangunan ini memang tidak betul, tanah itu hak UMNO. Kalau tengok syarat kegunaan tanah pun untuk kegunaan UMNO, separuh daripada bangunan ini dibina oleh Tengku Ahmad Rethaudeen tetapi UMNO diharamkan ketika itu, jadi ia terbengkalai sehinggalah Zaid menyiapkannya, itu pun hanya 30 peratus.

“Dia (Zaid) jual harta orang, atas kertas memang nama dia tetapi dari segi semangat ia hak UMNO dan kerajaan Pas pun tahu ini bukan hak Zaid tetapi suka hendak tunjuk UMNO teruk, sebenarnya dari segi perangai Pas tidak Islamik langsung dan rampas harta orang lain,” katanya dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman bahawa mereka telah mendapat kemenangan moral kerana dapat membeli bangunan milik parti lawan.

Semalam akhbar melaporkan Zaid telah menjual bangunan UMNO Kota Bharu kepada Pas Kelantan dengan nilai jualan RM4.5 juta.

Perjanjian jual beli bangunan itu ditandatangani antara Zaid dengan Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, Mohd. Zaki Ibrahim dan juga kepimpinan Pemuda Pas negeri diketuai, Abdul Latif Abdul Rahman dan disaksikan Pesuruhjaya Pas negeri yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sebuah hotel di Gua Musang semalam.

Berikutan itu UMNO Bahagian Kota Bharu meminta kerajaan negeri menjelaskan status tanah dan bangunan UMNO bahagian itu yang telah dijual oleh Zaid kepada Pas Kelantan dengan nilai RM4.5 juta.

Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian berkenaan, Datuk Kamarudin Abdullah berkata, kerajaan negeri perlu membuat penjelasan berkenaan memandang mengikut keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri pada tahun 80-an telah memutuskan bahawa tanah berkenaan hanya untuk didirikan premis bangunan UMNO dan premis perniagaan.

‘‘Berdasarkan kepada keputusan itu kerajaan negeri pada masa tersebut mengeluarkan geran atas nama pemiliknya Umbak Baru Sdn.Bhd dengan meletakkan syarat yang sama.

‘‘Oleh itu kita hairan bagaimana Pas Kelantan boleh membeli bangunan itu dan lebih aneh ia dijual atas nama bangunan UMNO Kota Bharu,’’ katanya.

Menurut Kamarudin, beliau kecewa dengan sikap kerajaan negeri dan Pas Kelantan yang sewenang-wenangnya melakukan pembelian tersebut tanpa mempedulikan sama ada ‘ia halal atau haram.’

‘‘Ia disebabkan pembinaan bangunan berkenaan adalah hasil usaha UMNO Kota Bharu pada tahun 80-an yang memohon sebidang tanah daripada kerajaan negeri bagi tujuan tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata, selepas kerajaan negeri meluluskan permohonan itu, UMNO Kota Bharu telah menubuhkan syarikat Umbak Baru Sdn. Bhd. dengan tujuan yang mana AJK bahagian menjadi pemegang amanah kepada ahli-ahli.

‘‘Hasil daripada derma dan sumbangan kita mendirikan bangunan berkenaan tetapi ia terhenti pada tahun 1988 apabila UMNO diharamkan,’’ katanya.

Kamarudin berkata, masalah pembinaan berlanjutan sehinggalah 2001 apabila Zaid mengambil alih jawatan ketua bahagian.

‘‘Beliau menyudahkan proses pembinaan, tetapi kami tidak tahu status ahli UMNO bahagian sama ada sebagai pemegang amanah atau pemilik syarikat Umbak Baru Sdn Bhd,’’ katanya.

Beliau berkata, keadaan sebenar mengenai bangunan itu hanya diketahui apabila Zaid digantung keahlian oleh Lembaga Disiplin UMNO dan jawatan ketua bahagian dipangku oleh Datuk Fatmi Che Salleh.

‘‘Kita dimaklumkan bahawa ahli UMNO Kota Bharu bukanlah bertaraf pemegang amanah dalam Umbak Baru Sdn. Bhd. malahan syarikat itu sudah menjadi miliki individu dengan diketuai oleh Zaid,’’ katanya.

Berikutan rentetan itu, Kamarudin hairan bagaimana kerajaan negeri yang dipimpin oleh Nik Abdul Aziz sebagai ulama tidak tahu kedudukan sebenar mengenai status bangunan tersebut.

‘‘Sebab itu kita mahu penjelasan terutamanya status bangunan berkenaan yang sudah termaktub dalam minit mesyuarat negeri dan geran, apakah ia sudah diubah kerana sudah jelas sebelum ini bahagian tanah itu hanya untuk pembinaan bangunan UMNO dan premis perniagaan sahaja,’’ katanya.

Beliau berkata, sebagai kerajaan negeri yang menguar-uarkan slogan membangun bersama Islam adalah aneh apabila mereka bersedia membeli harta yang tidak tahu pangkal hujung sumbernya.

‘‘Tak kanlah Menteri Besar tidak mendapat maklumat sebenar, ini zaman teknologi, beliau berupaya mendapat semua itu supaya kerajaan negeri dan Pas Kelantan tidak terlibat dalam satu pembelian harta yang diragui,’’ katanya.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, UMNO sememangnya berusaha membeli semula bangunan itu dengan bersedia membayar kos yang dikeluarkan oleh Zaid bagi menyiapkan pembinaannya.

‘‘Tetapi ia ditolak oleh Zaid, beliau sebaliknya mahu menjualnya dengan harga pasaran semasa yang harganya jauh lebih tinggi,’’ katanya.


Daripada Utusan Malaysia

1 comment:

Penyokong said...

Mohon promosi blog kami. Terima kasih.

- Galas untuk BN -