Thursday, October 21, 2010

PEMBELIAN BANGUNAN UMNO KB - KEMENANGAN MORAL BAGI PAS?

Seronok sangat dapt beli Bangunan UMNO daripada Zaid.

Dewan Pemuda Pas Kelantan menjelaskan wang sebanyak RM4.5 juta yang digunakan untuk membeli Bangunan UMNO Kota Bharu daripada Datuk Zaid Ibrahim adalah hasil kutipan dana yang dilakukan sejak 10 tahun lalu di samping pinjaman bank.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kutipan dana untuk memiliki bangunan tersebut dilakukan sejak Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menerajui kepemimpinan dewan tersebut dan ia diteruskan secara konsisten sehingga sekarang.

Beliau berkata, pemilikan bangunan tersebut juga merupakan satu kemenangan moral kepada Pas apabila berjaya menawan bangunan UMNO selepas genap 20 tahun memerintah Kelantan hari ini.

"Tiga sebab kita membeli bangunan ini, pertama, lokasinya yang strategik, kedua, tawaran yang baik diberikan oleh Zaid dan ketiga, menawan bangunan UMNO adalah kemenangan moral yang besar kepada jentera Pas.

"Proses pembelian bangunan ini bermula sejak setahun lalu selepas Zaid menawarkannya kepada kami, kita juga terpaksa naik turun mahkamah beberapa kali bagi menyelesaikan masalah perundangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Asy Syabab Point di Kota Bharu semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Sebagai simbolik, Nik Abdul Aziz telah menaikkan bendera parti tersebut di hadapan bangunan yang baharu saja 'ditawan' daripada parti lawan itu.

Utusan Malaysia, semalam melaporkan Zaid yang juga Penyelaras Pakatan Pembangkang telah menjual bangunan UMNO Kota Bharu kepada Dewan Pemuda Pas Kelantan dan majlis menandatangani perjanjian tersebut dilakukan di sebuah hotel di Gua Musang semalam.

April lalu, lebih 100 ahli UMNO bahagian tersebut berhimpun secara aman di Jalan Sultanah Zainab di sini bagi membantah sikap Zaid yang cuba menjual bangunan milik parti itu dengan harga berjuta ringgit.

Kesemua ahli terbabit membidas Zaid yang dikatakan bersikap tidak amanah dan melanggar perjanjian apabila premis parti bertukar menjadi miliknya.

Malah sebelum ini Setiausaha UMNO bahagian tersebut, Zulkifli Abd. Ghani telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu terhadap Zaid yang didakwa telah mengambil-alih sebuah syarikat milik parti tersebut, Umbak Baru Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik tanah bangunan itu pada Februari lalu.

No comments: