Thursday, October 7, 2010

HENTIKAN SOAL SIAPA CALON BN

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta anggota parti supaya tidak mengeluarkan kenyataan berhubung soal siapa yang bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 Nov ini.

Beliau berkata apa yang penting sekarang, setiap jentera dan anggota Umno perlu bekerja keras bagi memastikan BN dapat merampas kembali kerusi DUN berkenaan.

"Saya rasa tidak perlulah kita cakap tentang calon. Lambat lagi (penamaan calon). Cakap-cakap tentang (siapa) calon ini tidak produktif..tiada hasil.

"Saya minta semua pihak berhenti bercakap tentang calon. Sudah pasti Pengarah Pilihan Raya (BN) ada cadangan dan kita akan akur kepada apa juga keputusan," katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya semalam.

Sebelum ini, timbul cakap-cakap bahawa Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan diletakkan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Nov sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN kawasan Galas, jika ada pertandingan, manakala penamaan calon pada 26 Okt.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept. Chek Hashim, 46, daripada PAS, meninggal dunia akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata soal calon terletak kepada keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.

"Yang penting kita bekerja. Calon akan ditentukan oleh Presiden (Umno) setelah berbincang dengan Pengarah Pilihan Raya," katanya.

Mengenai pemilihan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno dan BN pada pilihan raya kecil itu, beliau berkata Badan Perhubungan Umno Kelantan sebulat suara bersetuju dengan keputusan tersebut.

Mustapa yang merupakan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Umno dan BN pada pilihan raya kecil itu, berkata beliau akan berbincang dengan Tengku Razaleigh sebelum merangka program di kawasan Galas.

"Saya hanya akan gerakkan jentera setelah berbincang dengan beliau (Tengku Razaleigh). Yang penting BN dapat mencapai kemenangan, maka kita semua perlu kerja kuat," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata beliau akan berbincang dengan Tengku Razaleigh, yang kini berada di luar negara, sekembali beliau ke tanah air pada Sabtu ini, sebelum menggerakkan jentera penerangan di kawasan Galas.

Katanya antara isu yang akan dibangkitkan pada pilihan raya kecil itu ialah mengenai kegagalan kerajaan Kelantan membangunkan kawasan Galas selepas memerintah negeri itu selama 20 tahun.

"Apa yang kerajaan negeri buat berbanding BN di Galas. Kita yakin BN yang membangunkan kawasan Galas dan Gua Musang.

"Apa jasa Menteri Besar (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) berbanding Ku Li (Tengku Razaleigh), yang saya cukup yakin segala pembangunan di Galas dibawa oleh beliau," katanya.

Mengenai calon BN di Galas, Ahmad berkata secara peribadi beliau menyokong jika Anggota Parlimen Gua Musang itu diletakkan sebagai calon parti itu.

"Tetapi itu terpulang kepada presiden dan persetujuan Ku Li. Yang penting, kita hendak rampas semula DUN Galas," katanya.

No comments: