Friday, October 15, 2010

PEMASYHURAN - BERI PENJELASAN ELAK KEKELIRUAN

Timbalan Ahli Majlis Perajaan (MPN) Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah berharap Istana Kelantan dan kerajaan negeri dapat memberi penjelasan kepada rakyat untuk memulihkan kekeliruan yang timbul selepas pemahsyuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Katanya, beliau secara peribadi tidak mempunyai halangan mengenai pemasyhuran itu sekiranya ia dibuat dengan betul, namun berpendapat penjelasan perlu dibuat untuk memperbaiki imej institusi Istana Kelantan.

"Ini terpulang kepada pihak istana dan kerajaan negeri untuk memberi penerangan kepada rakyat (mengenai pemasyhuran berkenaan). Baguslah pemahsyuran itu telah dibuat kalau ia ikut perlembagaan negeri," katanya ketika ditemui semalam.


Tengku Muhammad Faris Petra telah dimahsyurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu dalam satu istiadat di Istana Balai Besar dan kini dikenali sebagai Sultan Muhammad V.

Pemasyhuran baginda telah mendapat persetujuan sebulat suara Ahli MPN yang bermesyuarat sebelum itu, tetapi tanpa kehadiran Tengku Razaleigh.

Baginda sebelum ini dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan sejak 25 Mei lalu berikutan kegeringan yang melanda ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra.

Pemasyhuran baginda bagaimanapun mencetus persoalan di kalangan rakyat jelata memandangkan banyak laporan sebelum ini menyatakan Tuanku Ismail Petra semakin sembuh dan masih merupakan Sultan Kelantan.

Kekeliruan yang timbul semakin terserlah apabila barisan peguam Tuanku Ismail Petra memfailkan petisyen di mahkamah bagi membantah keputusan berkenaan.

Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohamad bagaimanapun dilaporkan berkata, pemasyhuran itu tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah kerana dibuat berdasarkan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

No comments: