Showing posts with label Sultan Muhammad V. Show all posts
Showing posts with label Sultan Muhammad V. Show all posts

Saturday, November 13, 2010

SULTAN ISMAIL TIDAK SERAH KUASA PENUH?

Mahkamah Persekutuan semalam diberitahu, walaupun Majlis Perajaan Negeri Kelantan melantik Sultan Muhammad V sebagai Pemangku Raja Kelantan, ayahandanya Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra masih kekal sebagai Sultan Kelantan.

Peguam Azhar Azizan Harun berhujah, pelantikan Sultan Muhammad V pada 24 Mei tahun lalu mengikut Perkara 22A(3) Bahagian 2, Perlembagaan Negeri Kelantan disebabkan ayahandanya gering dan hilang upaya, tetapi baginda tidak mengambil alih peranan Sultan secara eksklusif.

Katanya, seseorang pemangku hanya boleh menjalankan tugas seorang Sultan jika Sultan tidak dapat melaksanakan tugas itu disebabkan hilang upaya atau tidak berada dalam negeri bagi sesuatu tempoh.

Bagaimanapun, katanya, pemangku tidak diberikan kuasa penuh oleh Sultan ketika menjalankan tugasnya kerana beliau bukan seorang Sultan, yang berdaulat dan pemerintah negeri.

“Pemangku hanya berhak menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya untuk menjalankan tugas dalam perkara yang terbatas hanya meliputi kepada menghadiri hal ehwal kerajaan negeri.

“Saya berhujah Yang Teramat Mulia Sultan Kelantan tidak menyerahkan seluruh kuasa yang ada padanya kepada pemangku Sultan dan baginda masih memiliki kuasa itu,” katanya.

Beliau berhujah berhubung isu bantahan awal dibangkitkan peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili Sultan Muhammad V yang mempertikaikan bidang kuasa ayahandanya mengemukakan dua petisyen untuk mendapatkan pandangan Mahkamah Persekutuan bagi isu sejauh mana kuasa seseorang pemangku ketika Sultan hilang upaya.

Kedua-dua petisyen itu difailkan pada 5 Mei dan 22 Jun lalu dengan menamakan Sultan Muhammad V dan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden.

Tengku Muhammad Faris Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu dalam satu istiadat di Istana Balai Besar, Kota Baharu dan kini dikenali sebagai Sultan Muhammad V selepas ayahandanya gering sejak Mei tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong akan memberikan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Friday, October 15, 2010

PEMASYHURAN - BERI PENJELASAN ELAK KEKELIRUAN

Timbalan Ahli Majlis Perajaan (MPN) Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah berharap Istana Kelantan dan kerajaan negeri dapat memberi penjelasan kepada rakyat untuk memulihkan kekeliruan yang timbul selepas pemahsyuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Katanya, beliau secara peribadi tidak mempunyai halangan mengenai pemasyhuran itu sekiranya ia dibuat dengan betul, namun berpendapat penjelasan perlu dibuat untuk memperbaiki imej institusi Istana Kelantan.

"Ini terpulang kepada pihak istana dan kerajaan negeri untuk memberi penerangan kepada rakyat (mengenai pemasyhuran berkenaan). Baguslah pemahsyuran itu telah dibuat kalau ia ikut perlembagaan negeri," katanya ketika ditemui semalam.


Tengku Muhammad Faris Petra telah dimahsyurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu dalam satu istiadat di Istana Balai Besar dan kini dikenali sebagai Sultan Muhammad V.

Pemasyhuran baginda telah mendapat persetujuan sebulat suara Ahli MPN yang bermesyuarat sebelum itu, tetapi tanpa kehadiran Tengku Razaleigh.

Baginda sebelum ini dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan sejak 25 Mei lalu berikutan kegeringan yang melanda ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra.

Pemasyhuran baginda bagaimanapun mencetus persoalan di kalangan rakyat jelata memandangkan banyak laporan sebelum ini menyatakan Tuanku Ismail Petra semakin sembuh dan masih merupakan Sultan Kelantan.

Kekeliruan yang timbul semakin terserlah apabila barisan peguam Tuanku Ismail Petra memfailkan petisyen di mahkamah bagi membantah keputusan berkenaan.

Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohamad bagaimanapun dilaporkan berkata, pemasyhuran itu tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah kerana dibuat berdasarkan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Thursday, October 14, 2010

MAJLIS RAJA-RAJA MENGALU-ALUKAN KEBERANGKATAN SULTAN MUHAMMAD V

Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat selama dua hari di Istana Negara di Kuala Lumpur bermula semalam mengalu-alukan keberangkatan hadir Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai anggota penuh Majlis itu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mempengerusikan mesyuarat ke-222itu, bertitah bahawa Majlis itu mendoakan agar Kelantan Darul Naim terus aman dan tenteram serta Sultan Muhammad V dapat memerintah dengan adil dan saksama, agar negeri itu menuju kejayaan, dan bagindasentiasa dikasihi rakyat.

"Paduka Ayahanda bagi pihak diri sendiri dan juga Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda atas pemasyhuran Anakanda," titah Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,hari ini.


Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 yang baru di Istana Balai Besar, Kelantan bulan lepas bagi menggantikan ayahanda baginda Sultan Ismail Petra yang sedang gering sejak lebih dari setahun.

Titah Sultan Sharafuddin, sebagai seorang berpendidikan tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pernah dilantik sebagai Pemangku Sultan Kelantan, serta berjiwa rakyat, Majlis Raja-Raja berkeyakinan penuh bahawa Sultan Muhammad V dapat memberi bantuan, input serta idea-idea baru kepada Majlis Mesyuarat Raja-Raja.

Sultan Sharafuddin turut bertitah, baginda dan semua Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri turut dukacita atas kegeringan Sultan Ismail Petra dan mendoakan semoga kesihatan baginda bertambah baik.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abdidin, hari ini berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berakhir di Kuala Lumpur.

Seri Paduka diiiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mesyuarat itu dihadiri semua Raja Melayu kecuali Pahang, yang diwakili Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Perak, oleh Pemangku Sultan Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, dan Terengganu, oleh Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat, antara lain, membincangkan perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, agama Islam, pelantikan-pelantikan dan Biasiswa Pengajian Tinggi Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri serta Biasiswa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat di Istana Negara bermula semalam dan malam semalam, Yang di-Pertuan Agong meraikan semua Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri dalam satu istiadat santapan malam sempena mesyuarat itu.