Wednesday, October 27, 2010

PENDUDUK GUA MUSANG MAHU PEMBANGUNAN LEBIH PESAT

Calon Barisan Nasional, Abdul Aziz Yusoff bersama Pengarah Pilihanraya Kecil Barisan Nasional DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah beramah mesra dengan pemilik dan pekerja sebuah restoran milik kaum Cina di Bandar Lama Gua Musang. 27 okt. 2010 - Gambar Utusan
Peniaga di sekitar Gua Musang mahukan bandar itu lebih maju sehingga menjadi sebuah bandar raya bagi memastikan pembangunannya akan berkekalan seperti yang diusahakan oleh Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagi peniaga kedai elektronik, Wan Zaini Abdullah, 46, beliau menceburi bidang perniagaan itu sejak 30 tahun lalu bagi merubah kehidupan keluarganya kerana kawasan Gua Musang itu dilihat strategik.

"Pada ketika itu kawasan ini masih dianggap pedalaman dan mula dibangunkan dalam era 70-an oleh Tengku Razaleigh yang pada waktu itu menteri kewangan.

"Banyak infrastruktur dibawa sehingga menjadikan Gua Musang laluan alternatif bagi Kuala Lumpur ke Kelantan dan ia juga menghubungkan Kelantan dengan Cameron Highlands serta Perak. Jadi tempat ini membangun cepat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penduduk di sini banyak terhutang budi kepada Tengku Razaleigh dalam memajukan bandar Gua Musang selain memberi peluang kepada golongan miskin mencari pekerjaan melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), iaitu agensi pusat yang bertanggungjawab membangunkan kawasan pedalaman Kelantan.

Wan Zaini berkata sejak era BN pada 80-an pembangunan bandar Gua Musang berada di tahap membanggakan kerana banyak kemudahan infrastruktur seperti kawasan perumahan dan lokasi perniagaan diwujudkan pada waktu itu.

"Keuntungan kedai saya peroleh ketika itu boleh mencecah dua kali ganda untung bersih kerana tiada saingan," katanya.

Namun, menurut Wan Zaini, bermula era pemerintahan PAS pada 1990, tidak ada lagi projek perumahan untuk menempatkan penduduk serta rancangan pembangunan yang lebih agresif dilaksanakan.

"Kalau tengok sekarang, kemajuan di bandar ini adalah hasil Tengku Razaleigh sebab itu kita panggil dia Bapa Pembangunan Gua Musang dan sebab itu dia tidak akan kalah.

Pemandu teksi, Napi Harun, 40, berkata Gua Musang terkenal dengan kehijauan hutan tropikanya kerana mempunyai keindahan Taman Negara selain menawarkan pakej percutian homestay di kawasan pedalaman.

"Kita juga banyak kawasan menarik seperti Gua Pintu dan air terjun, dan saya pelancong akan naik teksi saya untuk pergi ke tempat-tempat berkenaan. Dulu memang tempat itu menarik. Sekarang ini disebabkan kurangnya peruntukan kerajaan negeri untuk menjaga selia kawasan itu menjadikan kawasan tumpuan pelancong itu tidak dimajukan.

"Sekarang ini tempat itu masih menjadi tumpuan tetapi jika kerajaan negeri majukan tempat itu seperti yang dilaksanakan di Pantai Barat macam Melaka, saya rasa makin bertambah rezeki rakyat," katanya.

Pemilik restoran makanan tradisi Kelantan, Zaharah Abu Bakar, 63, berkata walaupun kemajuan bandar dan kawasan pedalaman di Gua Musang semuanya usaha Tengku Razaleigh tetapi yang dipaparkan di sempadan Kelantan-Pahang adalah simbol PAS seperti bendera parti dan poster muka pemimpinnya.

Bernama

No comments: