Showing posts with label Gua Musang. Show all posts
Showing posts with label Gua Musang. Show all posts

Friday, April 19, 2013

Ku Li Tak Makan Pujukan Pembangkang, Terus Dalam UMNO Bela Rakyat

"Rakyat sudah merasai pelbagai pembaharuan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan menerusi khidmat wakil rakyat BN terbabit. Kita juga boleh meneruskan agenda pembangunan yang dirancangkan apabila terus kekal mendapat mandat rakyat."
- Tengku Razaleigh Hamzah

Daripada www.teganukini.blogspot.com

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan terus berjuang dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan janjinya untuk membela rakyat tercapai.

Beliau menolak spekulasi yang menuduh beliau akan menyertai pembangkang khususnya Pas menjelang pilihan raya umum Ke-13, pada 5 Mei depan.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah menyimpan hasrat untuk menyertai parti pembangkang khususnya Pas dan akan tetap bersama Umno dan BN sepanjang masa kerana parti itu sudah sebati dalam hidup saya

 "Perjuangan saya dalam parti ini bukan baru, malah sejak saya muda lagi sampai ke tua hari ini masih tetap bersama Umno," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Wangi di Gua Musang hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd Arshad Ismail dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof.

Tengku Razaleigh yang diumumkan calon BN mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang berkata, niatnya berjuang dalam Umno dan BN adalah ikhlas untuk membela nasib hidup rakyat tanpa mengejar jawatan.

"Saya menerima untuk dicalonkan semula bertanding kerusi BN Parlimen Gua Musang kerana saya masih mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat serta keadaan diri saya masih sihat," katanya.

Semalam. beliau menyatakan yakin dapat mempertahankan kerusi kawasan Parlimen Gua Musang berikutan rakyat masih menyokongnya serta kepercayaan yang diberikan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana Menteri mahu saya terus kekal menjadi calon di Parlimen Gua Musang, dengan harapan saya menggunakan pengaruh saya bagi memastikan kemenangan BN di Kelantan," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Star di Gua Musang semalam.

Tengku Razaleigh, 76, yang juga Pengerusi BN Gua Musang berkata pada mulanya beliau merasa mahu menarik diri daripada menjadi calon kerana menganggap usianya sudah tua dan hanya beliau seorang sahaja pemimpin veteran Umno yang bertanding.

Bagaimanapun disebabkan permintaan Perdana Menteri, beliau akan terus memikul tanggungjawab dengan harapan rakyat di Gua Musang terus memberi sokongan kuat kepadanya, katanya.

"Bukan saya sahaja, tetapi juga untuk tiga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Paloh dan Galas.

"Mereka (rakyat) sudah merasai pelbagai pembaharuan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan menerusi khidmat wakil rakyat BN terbabit. Kita juga boleh meneruskan agenda pembangunan yang dirancangkan apabila terus kekal mendapat mandat rakyat," katanya.

Pada majlis hari ini, Tengku Razaleigh berkata rakyat di kawasan itu masih memberi sokongan kuat kepadanya untuk terus memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada pilihan raya umum ini dan berjanji akan memberi khidmat lebih terbaik bagi kemajuan rakyat.

"Terserahlah kepada penduduk sendiri untuk membuat penilaian mengenai segala khidmat yang dicurahkan selama ini dan mungkin selepas ini akan banyak lagi perubahan akan dilakukan untuk mencapai hasrat menjadikan Gua Musang bandar maju," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Tengku Razaleigh menang dengan majoriti 4,394 undi mengalahkan calon Pas Zulkefli Mohamed.

Ahli Parlimen Gua Musang itu yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya kini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Tengku Razaleigh berkata, beliau turut menjangkakan yang positif terhadap tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gua Musang untuk membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Mengenai kempen pada PRU-13, beliau seperti biasa akan menggunakan pendekatan sama yang digunakannya dalam pilihan raya-pilihan raya terdahulu.

"Saya akan bertemu dengan rakyat berdasarkan pemahaman dan keperluan," katanya ketika ditemui di sini, Khamis. Tengku Razaleigh berkata, beliau mempunyai jentera parti BN yang kuat dalam bersama-sama mengadakan kempen pada PRU-13.

"Orang-orang saya (jentera parti) akan turut sama menyertai mereka," katanya mengenai corak kempen beliau yang memperlihat kekuatan sepasukan bagi memenangi hati pengundi sekali gus membantu menyumbang kepada kemenangan BN.

Nyata fokus dan cara berhemah dalam berkempen oleh Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat sebagai wakil rakyat mulai 1969 menerima sokongan kuat rakyat terhadap corak kepimpinan di Parlimen Gua Musang.

Malah ketokohan Tengku Razaleigh sebagai pencetus pembangunan Gua Musang merupakan antara faktor utama kemenangan BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Monday, February 21, 2011

Orang Asli Dakwa Hilang Pendapatan Akibat 'Ladang Rakyat'

Penduduk Orang Asli di Pos Balar dekat sini berkata mereka kehilangan punca pendapatan setelah ladang getah seluas 100 hektar didakwa ditebang oleh syarikat yang dilantik oleh kerajaan PAS Kelantan bagi membangunkan "Ladang Rakyat".

Sugi Alang, 26, berkata kebanyakan tanah yang diusahakan oleh penduduk Orang Asli sejak 20 tahun lepas ditanam dengan getah dan tanaman lain tetapi syarikat yang membangunkan Ladang Rakyat telah menebang pokok getah mereka.

Beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya campur tangan menyelesaikan isu tanah di situ daripada mengutamakan kepentingan syarikat asing.

Seorang lagi penduduk, Samri Talib, 30, berkata beliau bimbang kerana kawasan tadahan air bukit di situ musnah selepas kesemua hutan ditebang untuk tujuan berkenaan.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Galas, Abdul Aziz Yusoff, berkata beliau menerima banyak aduan daripada Orang Asli mengenai kejadian serupa di kawasan Lojing, Pos Brooke, Bihai, Pulat, Pasik dan Kuala Betis.

Katanya beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat Umno bahagian supaya Tengku Razaleigh Hamzah selaku ketuanya boleh mengambil tindakan seterusnya.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pengambilan tanah itu berlaku disebabkan tidak ada batu sempadan dan kerajaan negeri pula meluluskan permohonan syarikat berkenaan kerana beranggapan tanah itu tidak mempunyai pemilik.

Kerajaan Kelantan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat masalah yang berlaku, katanya.

Ketua Eksekutif Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi, pula berkata projek Ladang Rakyat yang dijalankan di Gua Musang tidak melibatkan kawasan penempatan Orang Asli.

Wednesday, December 29, 2010

Sultan Kelantan Sampai Bantuan Kepada 137 Penduduk Miskin Di Gua Musang

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Tuanku Faris Petra (kiri), berkenan menyampaikan replika kunci rumah kepada penduduk miskin pada majlis Pengurniaan Zakat dan Bantuan Tanah Jajahan Gua Musang, di Masjid Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR, Sungai Asap B, di Gua Musang, hari ini.

Seramai 137 penduduk miskin termasuk 29 daripada kalangan Orang Asli di Gua Musang menerima bantuan zakat dan rumah yang disampaikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini.

Daripada jumlah itu, 129 menerima bantuan zakat manakala bakinya menerima bantuan rumah daripada Majlis Agama Islam Kelantan dalam satu majlis di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B.

Selepas penyampaian itu, Sultan Muhammad V turut berkenan melawat seorang peneroka, Sudin Che Ya, 59, yang menghidap asma kronik di RKT itu.

Sudin ketika ditemui Bernama selepas itu meluahkan rasa terharu dengan kunjungan Sultan Kelantan tersebut.

Kunjungan baginda adalah bukti Sultan Muhammad V amat prihatin terhadap rakyat pedalaman, katanya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan rumah, Asiah Ahmad, 57, berkata dengan adanya rumah baru itu dia sekeluarga tidak perlu lagi tinggal dalam keadaan daif.

Wednesday, October 27, 2010

PENDUDUK GUA MUSANG MAHU PEMBANGUNAN LEBIH PESAT

Calon Barisan Nasional, Abdul Aziz Yusoff bersama Pengarah Pilihanraya Kecil Barisan Nasional DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah beramah mesra dengan pemilik dan pekerja sebuah restoran milik kaum Cina di Bandar Lama Gua Musang. 27 okt. 2010 - Gambar Utusan
Peniaga di sekitar Gua Musang mahukan bandar itu lebih maju sehingga menjadi sebuah bandar raya bagi memastikan pembangunannya akan berkekalan seperti yang diusahakan oleh Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagi peniaga kedai elektronik, Wan Zaini Abdullah, 46, beliau menceburi bidang perniagaan itu sejak 30 tahun lalu bagi merubah kehidupan keluarganya kerana kawasan Gua Musang itu dilihat strategik.

"Pada ketika itu kawasan ini masih dianggap pedalaman dan mula dibangunkan dalam era 70-an oleh Tengku Razaleigh yang pada waktu itu menteri kewangan.

"Banyak infrastruktur dibawa sehingga menjadikan Gua Musang laluan alternatif bagi Kuala Lumpur ke Kelantan dan ia juga menghubungkan Kelantan dengan Cameron Highlands serta Perak. Jadi tempat ini membangun cepat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penduduk di sini banyak terhutang budi kepada Tengku Razaleigh dalam memajukan bandar Gua Musang selain memberi peluang kepada golongan miskin mencari pekerjaan melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), iaitu agensi pusat yang bertanggungjawab membangunkan kawasan pedalaman Kelantan.

Wan Zaini berkata sejak era BN pada 80-an pembangunan bandar Gua Musang berada di tahap membanggakan kerana banyak kemudahan infrastruktur seperti kawasan perumahan dan lokasi perniagaan diwujudkan pada waktu itu.

"Keuntungan kedai saya peroleh ketika itu boleh mencecah dua kali ganda untung bersih kerana tiada saingan," katanya.

Namun, menurut Wan Zaini, bermula era pemerintahan PAS pada 1990, tidak ada lagi projek perumahan untuk menempatkan penduduk serta rancangan pembangunan yang lebih agresif dilaksanakan.

"Kalau tengok sekarang, kemajuan di bandar ini adalah hasil Tengku Razaleigh sebab itu kita panggil dia Bapa Pembangunan Gua Musang dan sebab itu dia tidak akan kalah.

Pemandu teksi, Napi Harun, 40, berkata Gua Musang terkenal dengan kehijauan hutan tropikanya kerana mempunyai keindahan Taman Negara selain menawarkan pakej percutian homestay di kawasan pedalaman.

"Kita juga banyak kawasan menarik seperti Gua Pintu dan air terjun, dan saya pelancong akan naik teksi saya untuk pergi ke tempat-tempat berkenaan. Dulu memang tempat itu menarik. Sekarang ini disebabkan kurangnya peruntukan kerajaan negeri untuk menjaga selia kawasan itu menjadikan kawasan tumpuan pelancong itu tidak dimajukan.

"Sekarang ini tempat itu masih menjadi tumpuan tetapi jika kerajaan negeri majukan tempat itu seperti yang dilaksanakan di Pantai Barat macam Melaka, saya rasa makin bertambah rezeki rakyat," katanya.

Pemilik restoran makanan tradisi Kelantan, Zaharah Abu Bakar, 63, berkata walaupun kemajuan bandar dan kawasan pedalaman di Gua Musang semuanya usaha Tengku Razaleigh tetapi yang dipaparkan di sempadan Kelantan-Pahang adalah simbol PAS seperti bendera parti dan poster muka pemimpinnya.

Bernama

Wednesday, October 20, 2010

TENGKU RAZALEIGH TIDAK PERLU UNDUR...

Kenapa mesti berundur sebagai Ketua Umno Bahagian Gua Musang sekali pun Barisan Nasional (BN) kecundang di Galas?

Jika kalah sekalipun, ia bukan kesilapan Tengku Razaleigh Hamzah biarpun beliau menggalas cabaran sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN)Galas.

Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan kelmarin, beliau sama sekali tidak akan berundur untuk terus menerajui Umno bahagian itu sekiranya tanggungjawab yang amanahkan kepadanya pada pilihan raya kecil DUN Galas gagal membuatkan BN mencapai kemenangan.

Kesungguhan Tengku Razaleigh terserlah kelmarin apabila beliau mengadakan perjumpaan dengan petugas peti undi Bandar Lama Gua Musang, kelmarin yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Makhtar Mustapha.

Malah semalam, di Kuala Lumpur, Tengku Razaleigh bertemu pemimpin UMNO Kelantan di TIngkat 38 Menara Dato Onn yang turut disertai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan timbalan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Tiada kenyataan dikeluarkan mengenaim pertemuan itu tetapi difahamkan Tengku Razaleigh mahu agar gerakan kempen diaktifkan segera dan memuncak selepas Pehimpunan Agong UMNO Khamis hingga Sabtu ini.

Tengku Razaleigh berkata, adat pertandingan dalam pilihan raya memang ada yang menang dan dan kalah kerana ia bergantung kepada sokongan pengundi bagi memilih pemimpin kawasan mereka.

"Saya bagaimanapun yakin perubahan besar akan berlaku dalam masyarakat di DUN Galas sejak kebelakangan ini dan BN mampu merampas semula kerusi itu dari tangan PAS.

"Saya cukup yakin dengan apa yang berlaku sekarang di mana pengundi kembali memihak kepada kita (BN) tetapi kita tidak boleh berdiam diri dan hendaklah bekerja kuat lagi bagi mendapat majoriti lebih besar," katanya berucap pada majlis pertemuan dengan petugas peti undi kelmarin.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata pengalamannya lebih 50 tahun dalam Umno membuatnya yakin untuk mengatur strategi terbaik supaya rakyat lebih yakin dengan perjuangan BN.

"Kita tidak mahu lagi rakyat khususnya pengundi di DUN Galas dihantui dengan pelbagai hasutan dan halangan kerana tidak ada apa yang mereka risaukan sekiranya terus menyokong calon BN nanti, katanya.

Katanya, beliau tidak pernah membuat janji dan bercakap kosong kepada rakyat dan mereka akan lihat segala yang di janjikan tetap berjalan untuk faedah rakyat di DUN itu.

Beliau berkata, pengundi juga boleh membuat perbandingan sendiri antara pemimpin BN dengan PAS yang mempunyai konsep perjuangan berlainan tetapi hanya BN sahaja yang mampu memberi kemudahan kepada rakyat sejak dahulu sampai sekarang.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Allahyarham memenangi kerusi DUN Galas itu selepas menewaskan calon BN, Mohamad Saufi Deraman pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti 646 undi.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas itu ditetapkan pada 26 Okt ini dan hari pengundian pada 4 Nov.

Thursday, October 7, 2010

SEWA RUMAH DI GUA MUSANG KINI RM10,000

Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kawasan Galas pada 4 Nov ini telah menyebabkan kadar sewa rumah di sekitar bandar Gua Musang kini melambung manakala gerai makanan mulai tumbuh dengan banyaknya.

Tinjauan Bernama mendapati sewa rumah meningkat berpuluh kali ganda sejak awal bulan ini kerana penduduk mahu mengambil keuntungan besar seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil Manek Urai tahun lepas.

Seorang penduduk, Ismail Dollah, 43, berkata harga rumah sewa yang kebiasaannya RM200 sebulan kini meningkat kepada RM10,000 dan ada rumah banglo disewakan pada harga RM15,000 untuk tempoh pilihan raya kecil itu.

"Harga rumah naik setiap jam kerana kadarnya berubah mengikut siapa yang sanggup membayar harga yang mahal," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS pada 27 Sept lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengumumkan bahawa penamaan calon ialah pada 26 Okt dan pengundian pada 4 Nov.

Tinjauan Bernama juga mendapati kadar sewa hotel turut meningkat disebabkan permintaan yang tinggi.

Jika sebelum ini kadarnya RM150 sehari kini kadarnya ialah RM200 sehari.

Seorang peniaga, Norizan Ibrahim, 45, berkata pilihan raya kecil itu adalah peluang terbaik bagi penduduk mencari rezeki kerana terdapat ramai pengunjung luar.

Katanya walaupun sebelum ini terdapat banyak kedai makan di sekitar Gua Musang tetapi kemungkinan ia tidak mencukupi semasa kempen nanti disebabkan oleh kedatangan ramai pengunjung luar.

"Ini merupakan peluang rezeki kepada kami," katanya.

Saturday, August 21, 2010

GOLDEN PALM GROWERS SASAR KUMPUL RM137j

Golden Palm Growers Bhd (GPGB) menyasarkan untuk mengumpul RM137 juta daripada Skim Golden Palm yang menawarkan pulangan daripada sebuah ladang sawit di Gua Musang, Kelantan.

Pengerusi Eksekutif GPGB, Andrew Phang, berkata harga tawaran awal bagi setiap petak penanam ialah RM7,000 dan syarikat itu telah memperuntuk 7,000 ekar tanah untuk dimasukkan dalam skim pelaburan itu.

"Syarikat pengurusan mungkin juga memasukkan 3,000 ekar tanah tambahan dalam skim itu pada masa akan datang," kata Phang pada majlis pelancaran skim itu di sini Jumaat.

"Untuk memberikan sedikit kepastian kepada pelabur, skim ini akan membayar pulangan minimum sembilan peratus setahun jika harga minyak sawit mentah melebihi RM1,500 setan metrik dan enam peratus setahun jika harga berada pada RM1,000 hingga RM1,500 setan metrik," katanya.

Beliau juga berkata pelancaran skim itu menandakan kemuncak perancangan dan persiapan terperinci selama tiga tahun oleh GPGB, sebuah anak syarikat Sterling Biofuels International Ltd yang disenaraikan di Bursa Saham Australia.

"Apabila skim itu tamat tempoh dalam 23 tahun, pelabur-pelabur akan berkongsi sebarang peningkatan modal ladang itu," tegas Phang.

Di bawah bil jaminan syarikat itu, seseorang pelabur diberikan jaminan meraih pulangan enam peratus bagi enam tahun pertama dan jaminan ini disokong sepenuhnya oleh wang tunai yang didepositkan dengan AmTrustee Bhd, pemegang amanah bagi skim itu.

"Bagi 17 tahun akan datang, seorang pelabur akan berkongsi keuntungan keseluruhan ladang itu kerana 100 peratus keuntungan bersih beraudit akan diagihkan," jelas beliau.

Phang berkata syarikat itu juga berminat untuk menambah tanah ladang baharu.

"Kami berminat terhadap tanah berdekatan dengan petak yang kami ada sekarang," katanya.

Berikutan itu, orang ramai dipelawa melabur dalam sektor perladangan kelapa sawit di bawah skim milik Golden Palm ini yang menjual setiap petak tanah ladang berkeluasan 0.4 hektar atau 1,021.9 meter persegi di Kelantan pada harga RM7,000.

Golden Palm menawarkan 19,600 petak tanah ladang yang terletak di Gua Musang, kesemua seluas 4,000 hektar dengan nilai jualan RM137 juta.

Pelabur tempatan ditawarkan 70 peratus daripada kawasan berkenaan manakala bakinya 30peratus akan dipegang sendiri oleh Golden Palm.

Phang berkata, skim pelaburan berkenaan yang paling awal diperkenalkan di Malaysia atau di dunia, mempunyai tempoh matang sehingga 23 tahun.

Beliau berkata, di bawah skim itu, Golden Palm menjamin keuntungan sebanyak enam peratus setahun untuk tempoh selama enam tahun pertama.

Phang berkata, pokok kelapa sawit biasanya mengambil masa enam tahun untuk mengeluarkan hasilnya.

Beliau berkata, selepas 17 tahun pertama, para pelabur dijamin pulangan sekurang-kurangnya sembilan peratus setahun sekiranya harga minyak kelapa sawit mencecah RM1,500 setan metrik .

Golden Palm ditubuhkan pada 2007 di bawah syarikat induk, Sterling Plantations Sdn. Bhd. yang melaksanakan projek biofuel di Sabah.

Syarikat itu memperoleh geran konsesi untuk memajukan, mengurus dan mengekalkan perladangan kelapa sawit selama 60 tahun dengan konsesi itu boleh dilanjutkan selama 30 tahun lagi daripada sebuah agensi kerajaan negeri Kelantan.

Projek perladangan itu yang akan dibangunkan dalam tiga fasa, menyaksikan fasa pertama kini sedang dilaksanakan.

Fasa pertama perladangan melibatkan kawasan seluas 800 hektar dengan 30 peratus sudah siap ditanam dan bakal memberikan hasil dalam tempoh 30 bulan.

Keseluruhan fasa perladangan itu dijangka disiapkan dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan hasil komersial pertama pada tahun 2016.

Phang berkata, pihaknya menjangka harga minyak sawit tempatan terus meningkat dalam tempoh 20 tahun akan datang, sekali gus pelaburan berkenaan bakal memberikan pulangan baik kepada pelabur.

Wednesday, July 14, 2010

KELANTAN BENARKAN PROJEK ECER DI GUA MUSANG

Kerajaan Kelantan memberi kebenaran kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk membangunkan tanah kerajaan di daerah Galas dan daerah Ciku di Gua Musang sebagai Projek Agropolitan Kelantan Selatan.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kelulusan yang diberi kepada ECERDC itu telah secara tidak langsung membatalkan permohonan daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sebelum ini untuk memiliki tanah seluas 600 hektar di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini Kesedar ada membuat permohonan untuk memiliki dan membangunkan tanah di kawasan berkenaan. Bagaimanapun mengambil kira beberapa faktor melalui hasil perbincangan, pihak kerajaan negeri telah memutuskan untuk membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu.

"Dengan keputusan itu, tanah-tanah berkenaan kekal sebagai tanah kerajaan negeri kerana ECERDC hanya bertanggungjawab membangunkan tanah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata keputusan membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu bermakna bahawa apabila projek berkenaan siap, sebarang keputusan seperti contoh memindah hak milik tanah kepada golongan miskin, dapat dilakukan secara terus oleh kerajaan negeri tanpa melalui banyak pihak.

"Apabila projek ini siap, sebarang keputusan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri lebih mudah, jika tanah berkenaan diberi kepada Kesedar dan Kesedar memberi kepada ECERDC untuk dibangunkan, ianya akan membebankan kerana melibatkan banyak pihak," katanya.

Nik Aziz berkata projek berkenaan yang merangkumi pembinaan pelbagai komponen antaranya kediaman, ruang perniagaan dan utiliti itu telah bermula pada Mei lalu dengan pembinaan 350 unit rumah.