Saturday, October 30, 2010

TIADA PELUANG KERJA PUNCA BELIA BERHIJRAH

Kegagalan kerajaan Pas Kelantan menyediakan projek pembangunan, termasuk kawasan perindustrian menyebabkan penduduk terutama belia sukar mencari pekerjaan, sekali gus menimbulkan masalah penghijrahan tenaga mahir tempatan ke negeri lain.

Calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff, berkata masalah itu hanya dapat diatasi jika kerajaan Pusat mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri yang bakal menyediakan pelbagai pembangunan selaras matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

Sehubungan itu, katanya, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dilihat sebagai permulaan kepada gelombang kebangkitan BN di Kelantan. "Jika BN menang di Galas, ia menjadi gelombang untuk rakyat Kelantan berubah dengan menyokong BN dan terus menawan Kelantan. Pembangunan kawasan Parlimen Gua Musang lebih tersusun apabila semua tiga DUN berada di bawah naungan Ahli Parlimen BN," katanya.

Beliau yang ditemui ketika melawat jentera Wanita UMNO Kampung Kerinting dan pengundi berkata penduduk Gua Musang khususnya Galas berdepan masalah perumahan kerana isu setinggan dan kemudahan perumahan gagal ditangani kerajaan negeri.

Ab Aziz berkata, masalah perumahan lebih ketara di bandar dan pelancaran projek perumahan rakyat (PPR) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu memberi harapan kepada 1,500 penduduk.

"Ini projek BN untuk bantu penduduk Galas menyelesaikan masalah perumahan. Insya-Allah saya akan membantu sedaya mungkin untuk menyelesaikan masalah jika diberi mandat," katanya.

No comments: