Saturday, October 30, 2010

FAJARBARU BIDA TENDER KERAJAAN BERNILAI RM2b

Fajarbaru Builder Group Bhd, kini sedang membida projek-projek pembinaan bangunan dan infrastruktur berkaitan Transit Aliran Ringan (LRT) bernilai RM2 bilion.

Kumpulan itu baru-baru ini berjaya memperoleh projek bernilai RM36.5 juta untuk mengendalikan fasa satu Taman Halal Pasir Mas di Kelantan dan RM62.377 juta kerja-kerja tanah dan infrastruktur untuk fasa 2 Taman Perindustrian Automotif di Pekan, Pahang.

Projek itu diberikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

"Kami berada dalam kedudukan baik untuk membida dan mengendalikan lebih banyak projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh. Kami akan membincangkan dan meneruskan beberapa tender," kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Datuk Ir Low Keng Kok kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata pada masa ini, Fajarbaru akan memberi fokus yang lebih kepada projek domestik memandangkan projek-projek di dalam negara mencukupi untuk tempoh dua tahun ini, terutamanya dengan kerajaan giat mempromosikan pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

Low menambah, dengan rekod syarikat yang baik berserta dengan kemahiran dan pengetahuannya dalam sektor pembinaan, syarikat telah bersedia untuk mengendalikan lebih banyak projek kerajaan.

Kumpulan mencapai pendapatan yang rendah iaitu RM165.94 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2010 berbanding RM184.63 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Walaupun pendapatan berkurangan, keuntungan selepas cukai lebih tinggi pada RM24.62 juta berbanding RM14.36 juta sebelumnya.

No comments: