Friday, November 5, 2010

BN Tidak Boleh Selesa Biarpun Menang 2-0

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu memotong kek Deepavali semasa hadir di Majlis Rumah Terbuka Deepavali di PWTC. 5 Nov. 2010. - Utusan

Barisan Nasional (BN) tidak harus mengambil mudah dengan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas semalam, sebaliknya perlu terus berusaha memastikan kejayaan serupa dicapai pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun kejayaan itu menampakkan adanya perubahan baik dan harapan kepada BN menjelang PRU-13 kelak, tetapi ia tidak boleh diambil mudah.

"Kita tidak boleh ukur kemenangan di Galas dan Batu Sapi. Walaupun ada perubahan besar, perubahan yang baik, tetapi BN tidak boleh ambil sikap mudah dengan perubahan dan kejayaan ini kerana kita masih ada banyak kerja yang perlu dibuat,” katanya kepada pada sambutan Hari Deepavali MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Kira-kira 5,000 tetamu daripada pelbagai kaum dan latar belakang hadir bagi memeriahkan majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC itu.

Dengan pelbagai juadah popular kaum India serta kaum lain yang dihidangkan, majlis rumah terbuka MIC tidak putus-putus menerima kehadiran tetamu, baik di kalangan rakyat jelata mahupun orang kenamaan.

Muhyiddin meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk meraikan Deepavali bersama rakan-rakannya termasuk presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu dan Naib Presiden Datuk Dr S.Subramaniam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan BN untuk menghadapi PRU-13 setelah memperoleh kemenangan berganda semalam.

No comments: