Showing posts with label Lojing. Show all posts
Showing posts with label Lojing. Show all posts

Friday, November 19, 2010

TANAH RUNTUH ANCAM 10 KELUARGA DI LOGING

Seorang penduduk melihat tebing yang runtuh mengancam kediaman Orang Asli di Pos Sendrop, semalam.

Seramai 10 keluarga Orang Asli di Pos Sendrop, dekat Lojing, terselamat apabila bertindak pantas menyelamatkan diri setelah berlaku kejadian tebing runtuh berhampiran dengan kediaman mereka malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam ketika hujan lebat itu, tiada kemalangan jiwa berlaku dan penduduk yang keluar rumah untuk menyelamatkan diri, kembali semula setengah jam kemudian setelah mendapati kediaman selamat diduduki.

Kejadian dipercayai akibat pembukaan tanah tidak terkawal oleh syarikat tertentu bagi kegiatan menanam sayur di kawasan tinggi itu dan penduduk Orang Asli kesal dengan sikap pengusaha kebun sayur yang bertindak mengalihkan aliran anak sungai ke kawasan berhampiran penempatan mereka sehingga menyebabkan berlaku hakisan tebing.

Penduduk, Rokiah Angah, 52, berkata ketika kejadian, beliau bersama lima beranak sedang bersiap untuk tidur sebelum kejadian itu dan dikejutkan dengan satu gegaran kuat menyebabkan mereka semua bergegas keluar dari rumah menyelamatkan diri.

Beliau berkata, tidak sampai 10 minit selepas keluar dari rumah, tebing berhadapan rumahnya runtuh dan aliran air sungai melimpahi tebing sebelum mengalir ke kampung berkenaan.

“Walaupun kediaman selamat dalam kejadian malam tadi, namun saya tetap merasa bimbang sekiranya kejadian tebing runtuh itu menjadi lebih serius akan menyebabkan berlaku kemalangan jiwa nanti.

“Apabila sebuah syarikat pengusaha kebun sayur menimbus anak sungai asal dan membina aliran baru berhampiran rumah, saya sudah menjangkakan kejadian ini akan berlaku,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pos Sendrop, Rashid Akoh, berkata, penduduk di sekitar Lojing kini berhadapan dengan pelbagai masalah hakisan apabila pembukaan tanah tinggi di sini semakin tidak terkawal.

Beliau berkata, walaupun sehingga kini belum lagi berlaku kemalangan jiwa, namun pihak berkuasa terbabit seharusnya memandang serius terhadap kemusnahan di penempatan Orang Asli sekarang.

"Saya sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pelbagai peringkat pemimpin sama ada kerajaan negeri atau pusat mengenai masalah ini, namun belum mendapat sebarang jawapan terbaik untuk mengatasinya,” katanya.

Saturday, August 7, 2010

BEKALAN AIR BERSIH RM10J DI LOJING

Sungai Berlumpur Tanah Merah di Lojing - Gambar RTM

Projek bekalan air bersih membabitkan peruntukan RM10 juta sedang dalam pembinaan di sini bagi kemudahan penduduk di Jajahan Kecil Lojing.

Ketua Jajahan Kecil dan Pejabat Tanah Lojing, Nik Abdul Rahman Nik Yusof berkata projek itu dijangka siap awal tahun depan, berupaya membekalkan 5 juta liter air sehari.

"Peruntukan perbelanjaan bagi projek itu dari geran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan ia dilaksanakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB)," katanya kepada media selepas majlis Pengurniaan Zakat kepada Masyakarat Orang Asli beragama Islam�yang disempurnakan Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, di Lojing.

Beliau berkata masalah keperluan air bersih di kawasan itu wujud dua tahun lepas sejak Lojing dibuka untuk projek pertanian tanah tinggi.

"Ini adalah usaha kita bagi mengatasi pelbagai kesulitan yang dihadapi penduduk di Lojing lebih-lebih lagi selepas Perasmian Pelancaran Jajahan Kecil Lojing yang disempurnakan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra semalam," katanya.

Nik Abdul Rahman berkata selain itu, sebuah mini hidro juga sedang dalam pelaksanaan bertempat di belakang SK Pos Brooke, juga dijangka siap awal tahun depan.

Friday, August 6, 2010

KERAJAAN KELANTAN WUJUDKAN DAERAH KECIL LOJING

Tengku Muhammad Faris Petra (dua dari kanan) melihat replika pelan pembangunan Jajahan Kecil Lojing Kelantan di Lojing, semalam. - Gambar Utusan

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra semalam berkenan melancarkan kawasan Lojing yang berkeluasan 1,817 kilometer persegi sebagai Jajahan Kecil Lojing (JKL).

Pada majlis itu, baginda turut meletakkan batu asas bagi pembinaan Masjid Keputeraan Lojing, iaitu masjid pertama dibina di kawasan itu serta bersalaman dengan penduduk.
Lojing mencatat sejarah tersendiri apabila kawasan berkeluasan 1,817 kilometer persegi yang terkenal dengan pusat pertanian itu semalam secara rasminya diisytiharkan sebagai satu daripada 11 jajahan di Kelantan.

Jajahan Kecil Lojing meliputi daerah Hau, Betis dan Sigar dengan jumlah penduduk seramai 5,613 orang yang sebahagian besarnya adalah Orang Asli.

Ia terletak bersempadanan dengan pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang dengan jarak 10 kilometer dan dihubungkan melalui jalan Gua Musang-Cameron Highlands dan turut dihubungkan dari Cameron Highlands ke Simpang Pulai, Perak.

Kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah pusat pentadbiran Jajahan Kecil Lojing bertempat di Pos Sigar bagi menyelaras segala urusan berkaitan pembangunan di jajahan baru itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kawasan itu akan menempatkan pelbagai jabatan kerajaan termasuk Pejabat Tanah dan Jajahan, Majlis Daerah Lojing, Pejabat Agama, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Pertanian, Pejabat Hutan, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Pejabat Kebajikan Masyarakat.

"Ia turut menempatkan agensi kerajaan yang terbabit di peringkat awal ini termasuk Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Air Kelantan Sdn Bhd," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Jajahan Kecil Lojing di Kampung Penangau, di Lojing semalam.


Nik Abdul Aziz berkata projek pembinaan pejabat kerajaan itu akan dilaksana secara berperingkat. Taburan penduduk di situ adalah Orang Asli seramai 4,113 orang; Melayu (200) dan selebihnya terdiri daripada lain-lain bangsa.

Beliau berkata Lojing kini mempunyai jumlah penduduk seramai 5,613 orang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa dan terdapat juga lebih kurang 1,300 pekerja asing yang bekerja di situ.

Lojing yang terkenal dengan pusat pertaniannya dan terletak kira-kira 120km dari bandar Gua Musang berpotensi untuk dijadikan pusat agro-tourism.
Menteri Besar berkata dengan persekitaran semula jadi yang masih lagi terpelihara serta lokasinya yang strategik, jajahan Lojing mampu menarik pengunjung yang ingin mencari kelainan yang ada di Kelantan.

"Saya cukup optimis dengan masa depan Lojing, udaranya masih bersih serta, pengunjung boleh menikmati sayur dan buah-buahan yang masih segar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak perasmian pembukaan Jajahan Kecil Lojing, pada hari kelamrin (Rabu).

Nik Abdul Aziz berkata selain penaiktarafan Lojing, jajahan kecil itu juga mempunyai kemudahan jalan raya yang selesa kerana jajahan itu terletak di antara laluan Gua Musang-Cameron Highland, di Pahang dan laluan itu juga turut menghubungkan negeri-negeri Pantai Barat melalui Tapah, Perak dengan Kelantan.

Beliau berkata Lojing juga mempunyai infrasturuktur yang lengkap.

Bagaimanapun beliau mengharapkan kawasan persekitaran jajahanini kekal dengan alam semula jadi tanpa banyak berlaku penerokaan hutan sebagaimana yang berlaku di sesetengah tempat lain.

"Saya hendak semuanya terpelihara dan saya mahu pegawai daerah cari sungai lebih kurang 10 kilometer untuk pelihara ikan dan kita buka setahun sekali untuk aktiviti memancing, ini semua penting bagi mengekalkan alam semula jadi," katanya.

Thursday, July 29, 2010

SERAH SAHAJA KEPADA PUSAT JIKA TIDAK MAMPU LAKSANA

Serah sahajalah kepada Kerajaan Pusat jika tidak mampu.

Itulah saranan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainudin kepada kerajaan PAS Kelantan.

Menurutnya, kerajaan negeri Kelantan boleh menyerahkan projek-projek yang sesuai kepada kerajaan pusat jika tidak mampu melaksanakan projek berkenaan.

"Kita tidak paksa, tetapi kerajaan negeri boleh menyerahkan projek-projek yang sesuai untuk dilaksanakan oleh agensi di bawah kerajaan pusat jika tidak mampu (melaksanakannya)," katanya di Kuala Krai, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Program Ladang Rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri Kelantan yang dikatakan boleh menjejaskan sistem ekologi dan alam sekitar berikutan pembukaan kawasan hutan bagi projek itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini berkata, kerajaan negeri sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menjalankan siasatan berhubung pencemaran alam ekoran daripada aktiviti penerokaan tanah baru untuk pembukaan ladang dan pembalakan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pencemaran di kawasan tadahan air dan memusnahkan hutan di Hulu Kelantan kini semakin serius ekoran daripada aktiviti yang tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Penduduk Orang Asli di Pos Pasik, dan Aring di Gua Musang serta penduduk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Dabong dikatakan mengalami masalah bekalan air bersih akibat aktiviti tersebut.

Pada 21 Okt tahun lepas, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kerajaan negeri meluluskan 2,200 hektar kawasan hutan simpan kekal dengan ketinggian melebihi 1,000 meter untuk aktiviti pembalakan kepada sebuah syarikat swasta.

Kawasan itu sepatutnya diwartakan sebagai Hutan Perlindungan Sepenuhnya.

Hamzah berkata kementeriannya memastikan setiap projek yang dijalankan di kawasan hutan mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan dan JAS untuk mengelakkan ia menjejaskan penduduk dan alam sekitar.

"Kita juga tidak mengambil kira fahaman politik rakyat dalam melaksanakan sesuatu
projek yang melibatkan kebajikan dan kepentingan kepada mereka," katanya.