Saturday, January 22, 2011

APABILA ADUN PAS MINTA BANTUAN MENTERI UMNO

Entri tiga bahagian Kicikdefella (15,16 dan 22 Januari 2011) Yang Dicantumkan.

Bila Mustapa Mohamed kata dia sudah bersedia, nampaknya ada ADUN veteran PAS segera bertemu Mustapa Mohamed. Apa sudah berlaku?

ADUN Perupok hampir tiga dekad, Dato’ Haji Omar dilihat semalam mengadakan temujanji dan bertemu Mustapa Mohamed di Hotel Sutera Inn Kota Bharu. Pertemuan yang berlangsung selepas Zohor dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu tidak disertai oleh wakil lain dari PAS.

Apakah ADUN Perupok itu membawa amanat dari Menteri Besar Kelantan? Atau beliau bertemu atas kapasiti beliau sendiri untuk menyelamatkan dirinya seandainya benar Kelantan akan tumbang kepada Barisan Nasional pada PRU ke 13?

Apapun yang dibincangkan oleh ahli politik veteran PAS dengan pimpinan UMNO Kelantan itu sudah tentu ‘sesuatu’ yang menarik.

Haji Omar adalah seorang ahli politik licik.

Di dalam pertemuan tersebut, dilaporkan bahawa Haji Omar meminta jasa baik Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan supaya membantu membangunkan kemudahan infrastruktur di dalam DUN Perupok dan jajahan Bachok yang diwakili tokoh PAS tersebut. Di antaranya ialah agar kemudahan jalan kampung dan prasarana lain dapat diadakan.

Syabas kepada Haji Omar kerana sedar bahawa didalam soal-soal pembangunan, bahkan di dalam soal-soal kemudahan asas sekalipun ianya hanya akan diperolehi menerusi usaha wakil-wakil Barisan Nasional di dalam Kerajaan Pusat.

Saya yakin sebelum ini Haji Omar sudah tentu berkali-kali menemui Exco Kerajaan PAS Kelantan untuk Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar. Lantaran sudah tentu Exco PAS itu sendiri tidak berupaya melayan permintaan Haji Omar walaupun setiap tahun Kerajaan Barisan Nasional di Peringkat Persekutuan memberi terus kepada potfolia Exco itu Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri.

Di antara 2006 hingga 2010 Kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan telah memberikan terus kepada Kerajaan Kelantan sejumlah RM327 juta untuk mengurus, menaiktaraf dan menyelenggara jalan-jalan negeri.

Begitu juga dengan Majlis Daerah Bachok yang sepertimana Majlis-Majlis Daerah lain yang menerima geran persekutuan dalam bentuk,

• Geran Tahunan Berasaskan Kaedah Keseimbangan (PBT)
• Bantuan Bayaran Bil Lampu Jalan & Lampu Isyarat PBT


Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan menerima sejumlah lebih RM100 juta sepanjang lima tahun yang lalu daripada Kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan.

Disebalik peruntukan-peruntukan yang besar yang disalur terus oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada Kerajaan PAS Kelantan, nampaknya veteran PAS Dato’ Haji Omar masih terpaksa menjatuhkan air mukanya dan bertemu dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk membangunkan DUN dan jajahannya.

Maka sudah tentulah Haji Omar sendiri tidak percaya Mustapa Mohamed menyekat Kerajaan Pusat daripada membangunkan Kelantan. Kalau benar Mustapa Mohamed begitu, sudah tentu dia tidak akan meminta jasa baik Menteri MITI itu.

Saya suka melihat lebih ramai ADUN PAS Kelantan bertemu dengan Mustapa Mohamed. Atau mungkin Mustapa Mohamed boleh melapangkan masa untuk mengadakan sessi dialog dengan ADUN-ADUN PAS Kelantan untuk mendengar tuntutan pembangunan yang mereka inginkan untuk DUN-DUN mereka.

Namun pertemuan Omar-Mustapa ini tidak berakhir di situ. Dato’ Omar telah memberitahu Mustapa bahawa Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Senator Awang Adek Hussin berpeluang cerah menawan semula kerusi Parlimen Bachok daripada Timbalan Presiden PAS.

Menurut Omar, Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa telah tidak menunaikan tanggungjawabnya seperti yang diharapkan oleh penduduk di Bachok. Ini menyebabkan timbul keraguan PAS mampu memenangi semula kerusi yang dirampas dari Dato’ Awang pada PRU ke 12 lalu.

Berkat sokongan dan usaha Mustapa membawa pembangunan ke DUN Perupok, bukan sahaja akan dapat membantu Omar dari PAS memenangi semula kerusi itu tetapi juga memberi harapan cerah kepada pengundi di Perupok yang merupakan satu dari tiga DUN dalam Parlimen Bachok memberi undi kepada Dato’ Awang.

Ini adalah ‘Win – Win Situation’ buat Omar dari PAS dan buat UMNO Kelantan di Peringkat Pusat.

Bukan itu sahaja, yang paling utama ia juga memenangkan rakyat!

No comments: