Thursday, January 13, 2011

Banjir Di Kelantan Pulih Sepenuhnya

Banjir gelombang ketiga yang melanda Kelantan sejak minggu lepas pulih sepenuhnya hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata kesemua pusat pemindahan banjir ditutup sejak semalam apabila kesemua 3,579 mangsa banjir di enam daerah pulang ke rumah masing-masing.

"Sehingga malam tadi, kawasan yang terakhir masih dilanda banjir ialah daerah Tumpat," katanya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata kesemua laluan yang dinaiki air sebelum ini dibuka kepada semua kenderaan.

Antara daerah yang dilanda banjir di negeri ini ialah Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Pasir Mas dan tinjauan Bernama mendapati ramai penduduk di sekitar Rantau Panjang dan Tumpat mula membersihkan lumpur yang memenuhi rumah mereka.

Kejadian banjir kali ini turut mengorbankan tiga nyawa iaitu Siti Aishah Kamarul Zaman, 10, yang lemas ketika bermain air di Kampung Limbat, Pasir Tumboh; Mohd Haikal Sobri, 8, juga ketika bermain air di Sungai Lubok Kuing, Gunung; dan Farid Zulkifli, 17, yang ditemui lemas di Sungai Kampung Talak, Chabang Empat, Tumpat.

No comments: