Showing posts with label Banjir. Show all posts
Showing posts with label Banjir. Show all posts

Thursday, October 29, 2015

Pengurusan Bencana Banjir DiTambah Baik, RKB Dijangka Siap Sepenuhnya Jun 2016


Kerajaan Persekutuan memberi jaminan pembinaan kesemua 1,759 rumah kekal baharu (RKB) untuk mangsa banjir di Kelantan akan siap sepenuhnya antara Mac dan Jun tahun depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri MustapaMohamed berkata tumpuan sekarang adalah untuk membina rumah yang belum siap.

Ini berikutan kerajaan berjaya menyelesaikan beberapa isu yang melambatkan pembinaan rumah tersebut terutama pemilikan tanah untuk tapak rumah.

"Janji asal sebelum akhir tahun ini (kesemua rumah siap), kita tidak menyangka bahawa isu tanah begitu rumit sekali dan sekarang ini soal tanah untuk pembinaan rumah tersebut di semua jajahan terbabit sudah selesai," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, malam tadi.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata tanah yang disediakan untuk pembinaan rumah tersebut terutama di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai melibatkan tanah milik agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan individu.

Beliau berkata setakat ini daripada 1,759 RKB itu, kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan pembinaan 142 RKB manakala 301 RKB lagi dalam pembinaan dan 218 RKB di peringkat pra pembinaan.

Katanya pada peringkat awal, dianggarkan 1,827 rumah musnah akibat banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas, bagaimanapun selepas semakan dibuat, hanya 1,759 rumah musnah dan layak dibina semula dengan RKB.

Banjir di Kuala Krai tahun lalu.
Sementara menunggu RKB siap, mangsa banjir yang kehilangan rumah ditempatkan sementara di rumah transit.

Mengenai 127 keluarga yang masih tinggal di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di Gua Musang, Mustapa berkata daripada jumlah itu, hanya 94 keluarga adalah mangsa banjir manakala 33 keluarga lagi bukan mangsa banjir.

Beliau berkata pihak PLKN membenarkan 94 keluarga itu tinggal di kem tersebut hingga Mac depan sebelum berpindah mendiami RKB manakala 33 keluarga bukan mangsa banjir diarah kembali ke rumah masing-masing.

Sementara itu 12 keluarga mangsa banjir yang masih tinggal di dalam khemah di Bandar Utama Gua Musang dijangka mendiami RKB selewat-lewatnya Mac depan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Kelantan menambah baik semua aspek pengurusan banjir sebagai langkah persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Pengerusinya Datuk Faudzi Che Mamat berkata penambahbaikan itu dipersetujui bersama melalui mesyuarat pengurusan bencana negeri dan daerah dengan mengambil kira pengalaman banjir tahun lalu.

"Tahun ini kami tambah 86 lagi pusat pemindahan menjadikan jumlahnya 773 berbanding 687 pusat pemindahan pada tahun lepas dan mampu memuatkan 220,290 orang," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, semalam.


Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Faudzi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berkata 175 pangkalan hadapan iaitu tempat menyimpan barang keperluan asas, diwujudkan tahun ini berbanding 170 tahun lepas termasuk tambahan empat mini depo di Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang.

Katanya kekuatan anggota penyelamat turut ditambah kepada 4,269 orang berbading 3,260 tahun lepas selain tambahan aset menyelamat termasuk 108 lori, pacuan empat roda (189), bot (205), enjin sangkut (144) dan jaket keselamatan (2,966 helai).

Beliau berkata 142 lokasi pendaratan helikopter disediakan dengan tambahan 33 lokasi baharu di seluruh negeri itu.

Faudzi berkata jawatankuasa itu juga mempersiapkan 1,786 petugas di Pusat kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan penyelarasan keperluan mangsa banjir di setiap jajahan.

"Semua agensi telah dan sedang melakukan pelbagai persediaan termasuk simulasi bantuan kepada mangsa banjir oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kursus pengendalian bot oleh pihak polis kepada 500 peserta," katanya.

Katanya solat hajat juga turut dilakukan dua kali sebulan di setiap masjid dan surau seluruh negeri ini bagi memohon perlindungan daripada bencana banjir.

"Kami harap dengan persediaan dan kerjasama semua pihak ini pengurusan bencana banjir tahun ini akan berjalan lancar," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat negeri itu dapat membuat persiapan awal bagi menghadapi musim banjir tahun ini selain mengikut arahan pihak berkuasa apabila diarah berpindah.

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya akan memantau kegiatan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan menggunakan akaun bank peribadi bagi menerima sumbangan bantuan kepada mangsa banjir.

Pada majlis itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan menyerahkan tugas pengurusan bencana kepaepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Thursday, January 13, 2011

Banjir Di Kelantan Pulih Sepenuhnya

Banjir gelombang ketiga yang melanda Kelantan sejak minggu lepas pulih sepenuhnya hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata kesemua pusat pemindahan banjir ditutup sejak semalam apabila kesemua 3,579 mangsa banjir di enam daerah pulang ke rumah masing-masing.

"Sehingga malam tadi, kawasan yang terakhir masih dilanda banjir ialah daerah Tumpat," katanya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata kesemua laluan yang dinaiki air sebelum ini dibuka kepada semua kenderaan.

Antara daerah yang dilanda banjir di negeri ini ialah Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Pasir Mas dan tinjauan Bernama mendapati ramai penduduk di sekitar Rantau Panjang dan Tumpat mula membersihkan lumpur yang memenuhi rumah mereka.

Kejadian banjir kali ini turut mengorbankan tiga nyawa iaitu Siti Aishah Kamarul Zaman, 10, yang lemas ketika bermain air di Kampung Limbat, Pasir Tumboh; Mohd Haikal Sobri, 8, juga ketika bermain air di Sungai Lubok Kuing, Gunung; dan Farid Zulkifli, 17, yang ditemui lemas di Sungai Kampung Talak, Chabang Empat, Tumpat.

Sunday, January 9, 2011

Banjir Di Kelantan Bertambah Buruk

Keadaan banjir di Kampung Pasar Lama, Pasir Tumbuh dekat Tumpat, hari ini dipenuhi banjir sedalam hampir satu meter berikutan limpahan air Sungai Pengkalan Datu dan menyebabkan beberapa rumah ditenggelami serta laluan ke kampung itu terpaksa di tutup dan kebanyakkan penduduk menggunakan sampan dan bot gentian kaca menjalankan aktiviti harian mereka.

Keadaan banjir di Kelantan malam semalam semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat dan meragut satu nyawa.

Bandar Rantau Panjang kini lumpuh apabila semua premis perniagaan ditutup setelah ditenggelami air sedalam satu meter dan jumlah mereka yang dipindahkan sehingga pukul 8 malam ialah 2,777 orang.

Banjir yang melanda pantai timur itu, t mengorbankan nyawa kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Siti Aisyah Kamarulzaman yang lemas ketika bermain air di kawasan rumahnya di Kampung Belukar Limat, Peringat di sini.

Kanak-kanak itu dilapor lemas pada pukul 11.15 pagi dan mayatnya ditemui pada pukul 1.30 petang.

Sehingga kini 19 sekolah ditutup membabitkan 9,782 pelajar dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Perol mulai ditutup esok manakala 16 Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas di Rantau Panjang juga ditutup Ahad.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata sehingga kini 25 pusat pemindahan dibuka di enam daerah iaitu Bachok, Kota Baharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.

"Daerah Pasir Mas dan kawasan Rantau Panjang yang paling teruk terjejas," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata enam laluan masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di Kilometer (KM) 3 Jalan Pengkalan Rakit (Pasir Mas), KM9 Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Pasir Mas), Jalan Pohon Tanjung-Meranti (Pasir Mas), KM3 Jalan Tendong-Bunut Susu-Gelang Mas (Pasir Mas), KM10 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu (Pasir Mas) dan KM9 Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti (Tumpat).

Jurucakap itu berkata Sungai Golok kini melebihi paras bahaya dengan 10.32 meter (bahaya 9 meter) manakala sungai utama lain di Kelantan berada pada paras berjaga-jaga.

Perancangan 'Lebih Kurang' Tidak Akan Mengatasi Punca Banjir

Kerajaan PAS Kelantan diminta supaya membuat perancangan yang teliti dalam membangunkan sesuatu kawasan terutama di bandar ini bagi mengelakkan berlakunya banjir akibat kelemahan sistem perparitan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perancangan yang 'lebih kurang' telah menyebabkan sistem perparitan tidak berfungsi dengan sempurna.

Beliau berkata, masalah itu sewajarnya diberikan perhatian serius oleh Kerajaan PAS Kelantan kerana ia berada di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan.

"Hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di Kota Bharu ditenggelami air tetapi ia sepatutnya tidak berlaku kalau sistem perparitan diuruskan dengan baik malah ada di antaranya mengambil masa selama seminggu atau dua minggu untuk kering sepenuhnya.

"Dahulu ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk menyelesaikan masalah banjir di pekan Pasir Mas sekiranya menang.

"Ia terbukti selepas menang, Kerajaan Pusat memberi peruntukan RM10 juta untuk sistem perparitan, hari ini masalah banjir di Pasir Mas telah berkurangan berbanding dahulu," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Taman 13th Avenue semalam.

Sebanyak 70 buah rumah di kawasan taman tersebut serta kampung berhampiran ditenggelami air disebabkan sistem perparitan yang tidak baik.

Taman perumahan dan kampung itu hanya dinaiki air sejak empat tahun lalu apabila kawasan berkenaan dibangunkan secara mendadak tanpa perancangan yang baik.

16 TABIKA di Rantau Panjang Ditutup Hari Ini

Sebanyak 16 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) KEMAS di Rantau Panjang akan ditutup esok berikutan keadaan banjir di Kelantan, terutama daerah Pasir Mas yang semakin teruk.

Penyelia Kanan KEMAS Rantau Panjang, Mukhtar Mustafa, berkata 16 TABIKA itu terdiri daripada TABIKA di Serungga, Tok Derpah, Siram, Bonggor, Bakong, Meranti, Pohon Tanjung, Lubok Setol, Kampung Rahmat, Gual Sitok (1), Gual Sitok NKRA, Taman Rantau Mas (1), Taman Rantau Mas NKRA, Komplek UPP Lubok Gong, Tok Deh dan Gua Periok.

Beliau berkata, penutupan TABIKA berkenaan membabitkan 500 murid. "Sesetengah TABIKA, atau laluan ke arah tabika itu, mula dinaiki air kira-kira satu meter sejak malam tadi. Kami ambil keputusan untuk menutup TABIKA berkenaan, yang pada mulanya dijadualkan memulakan sesi pembelajaran esok," katanya.

Katanya, TABIKA itu akan dibuka semula hanya apabila air sudah surut.

Tuesday, January 4, 2011

Lima Daripada Sembilan Sekolah Yang Ditutup Akibat Banjir Dibuka Esok

Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, Nor Ain Razi, 11, (kanan) dan Nur Shahira Yusof, 11, membaca notis dikeluarkan pihak sekolah yang memberitahu sesi persekolahan hanya akan bermula esok untuk memudahkan kerja mencuci bilik darjah yang ditenggelami air akibat banjir di Pekan Rantau Panjang, semalam.
Lima daripada sembilan sekolah yang ditutup akibat banjir sejak Ahad lalu akan dibuka semula mulai esok (Rabu), kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Hussain Awang.

Katanya, ini berikutan keadaan banjir keseluruhan di negeri ini pulih dan paras air di Sungai Kelantan dan Sungai Golok semakin surut.

"Lima buah sekolah itu semuanya terletak di Rantau Panjang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Rantau Panjang 1, SK Rantau Panjang, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Khay Boon, dan SK Lubok Setol.

"Sekolah Kebangsaan Bihai di Gua Musang terpaksa mengambil masa untuk dibuka berikutan jalan menunju ke sekolah itu tidak boleh dilalui kerana tanah runtuh dan jambatan di situ turut rosak...manakala tiga buah sekolah di Tumpat masih digenangi air," katanya di Kota B haru, hari ini.

Beliau berkata ketika ini kerja-kerja membersihkan bangunan sekolah di Rantau Panjang itu sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan pihak persatuan ibu bapa dan guru.

Beliau berkata, SK Bendang Pak Yong, SK Simpangan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurul Huda masih ditutup kerana air yang melimpahi tebing sungai di kawasan sekolah berkenaan masih belum surut sepenuhnya.

Mengenai kedudukan sekolah di kawasan perkampungan Orang Asli SK Bihai, Gua Musang itu, Hussain berkata kerja-kerja membaiki kerosakan jalan yang menghubungkan ke sekolah itu sedang dijalankan.

"Jika kerja-kerja pembaikian itu berjalan lancar adalah dijangkakan sekolah berkenaan akan dapat dibuka minggu depan," katanya.

Banjir Di Kelantan Pulih Sepenuhnya

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenarkan pulang tengah hari semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Roslee Mamat berkata dua pusat pemindahan di daerah Rantau Panjang ditutup pada 1 tengah hari.

"Cuaca di Kelantan hari ini cerah tanpa hujan menyebabkan air di beberapa kawasan perkampungan mulai surut dan mangsa dibenarkan pulang tengah hari semalam.

"Kesemua 406 mangsa dari 124 keluarga yang berada di pusat pemindahan pada sebelah pagi tadi dibenarkan pulang secara berperingkat," katanya/

Beliau berkata sehingga petang semalam, kesemua laluan di daerah Rantau Panjang dan Tumpat dibuka semua kepada semua kenderaan.

Monday, January 3, 2011

Lapan Sekolah Tidak Dapat Memulakan Sesi Persekolahan Kerana Banjir

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mengumumkan lapan buah sekolah di seluruh negeri ini belum dapat memulakan sesi persekolahan hari ini (Isnin) disebabkan banjir.

Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang berkata lima sekolah terbabit adalah di daerah Rantau Panjang, dua di Tumpat dan sebuah di Gua Musang.

Sekolah-sekolah di Rantau Panjang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang; Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang; SK Sri Rantau Panjang I; Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Kay Boon dan SK Lubok Setol.

Di Tumpat, sekolah terlibat adalah SK Bendang Pak Yong dan SK Simpangan. Sebuah sekolah di Gua Musang adalah SK Bihai iaitu sekolah bagi pelajar Orang Asli.

Hussain berkata keputusan menangguhkan sesi persekolahan itu dibuat kerana bangunan sekolah terbabit digenangi air atau jalan menuju ke sekolah di tenggelami air menyebabkan terputus hubungan.

"Ini adalah hasil lawatan saya semasa meninjau kawasan sekolah yang terlibat dengan bencana banjir petang tadi," katanya semalam.

Beliau berkata SK Bihai di Gua Musang terpaksa ditutup kerana tanah runtuh dan jambatan kayu di situ rosak, manakala SK Lubok Setol kerana jalan ke sekolah itu ditenggelami air menyebabkan hubungan terputus.

Katanya sekolah-sekolah terbabit akan dapat memulakan sesi persekolahan sebaik sahaja banjir pulih dan jalan-jalan di kawasan terbabit siap dibaiki.

Banjir Merebak ke Tumpat Akibat Limpahan Sungai Golok

Banjir di Sungai Golok, Kelantan kini melebihi paras bahaya dan tinjauan mendapati penduduk Kampung Kedai Lama yang berdekatan mula berpindah dari situ 2 Dis. 2011. - Utusan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan menjangkakan daerah Tumpat bakal dilanda banjir dalam tempoh terdekat berikutan paras air di hulu Sungai Golok yang semakin surut.

Setiausahanya, Roslee Mamat berkata, limpahan air di hulu sungai tersebut telah mula turun ke kawasan muara dan akan menyebabkan kawasan rendah di Tumpat dinaiki air.

Beliau berkata, pihaknya sedang bersiap sedia untuk menghadapi keadaan tersebut tetapi menjangkakan ia tidak serius kerana berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi, taburan hujan tidak terlalu tinggi di negeri ini.

"Lazimnya air di hulu akan mula turun ke kawasan hilir dan disebabkan itu kita mula bersiap sedia untuk menghadapi banjir di Tumpat.

"Biar pun keadaan cuaca yang semakin baik, kita masih tetap berjaga-jaga selagi musim tengkujuh belum berakhir Mac ini dan berdasarkan sejarah lalu, negeri ini pernah dilanda banjir pada Januari dan Februari, malah ada juga tahun yang langsung tidak dilanda banjir. Jadi ini bukan satu fenomena yang pelik," katanya ditemui di pusat pemindahan banjir Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad di Rantau Panjang, semalam.

Beliau menjangka bencana banjir di negeri itu tidak seteruk seperti tahun sebelumnya berikutan keadaan cuaca yang diramal terus baik.

Mangsa banjir di Rantau Panjang Meningkat

Jumlah penduduk yang dipindahkan akibat banjir di pekan Rantau Panjang pagi semalam meningkat kepada 494 orang berbanding 280 orang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan berkata, tiga pusat pemindahan dibuka iaitu di Stesen Keretapi Malaysia Berhad (KTMB) Rantau Panjang, Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dan Sekolah Kebangsaan Cina Rantau Panjang untuk menampung peningkatan mangsa banjir berkenaan.

"Semua 494 mangsa daripada 130 keluarga itu dipindahkan secara berperingkat dari malam kelmarin sehingga pagi semalam. Paras air Sungai Golok ialah 10.13 meter iaitu melebihi paras bahaya 9 meter manakala paras air di tujuh lagi sungai utama adalah normal," katanya.

Jurucakap itu berkata, laluan di KM10 Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram dan KM11 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu turut dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan.

Tinjauan Bernama di pekan ini mendapati penduduk mulai sibuk membuat persiapan untuk berpindah dan beberapa keluarga yang tinggal berhampiran sungai telah mengambil langkah awal dengan berpindah ke rumah saudara mara.

Thursday, December 23, 2010

BELUM ADA KES TAUN DILAPORKAN DI KELANTAN

Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK) kelmarin menjelaskan setakat ini jabatan itu tidak menerima sebarang laporan mengenai kes taun di negeri ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Wan Mansor Hamzah berkata kes beberapa pesakit yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini yang mempunyai simptom seperti taun iaitu muntah dan cirit-birit kemungkinan kerana keracunan makanan dan tidak disahkan sebagai taun.

"Sehingga hari ini belum lagi ada kes taun diterima pihak kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas kebimbangan orang ramai mengenai kes taun yang diuarkan-uarkan di negeri ini.

Dr Wan Mansor bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya melaksanakan langkah pencegahan dengan menjaga kebersihan.

"Berhati-hati menggunakan air perigi (guna klorin) dan memastikan makanan sentiasa bersih bagi mengelak jangkitan penyakit taun...penyakit bawaan air pada musim tengkujuh ini".

Katanya klorin boleh didapati di JKK dan mana-mana klinik kesihatan daerah di seluruh negeri.

Beliau menasihatkan sesiapa yang mengalami simptom seperti demam, cirit- birit dan keletihan supaya segera mendapatkan rawatan di hospital.

Saturday, November 27, 2010

RELA SEDIA HADAPI BANJIR BESAR

Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mengarahkan 141,966 anggotanya di negeri ini supaya bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka melanda Kelantan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni berkata, kesemua anggota terbabit bersedia untuk digerakkan melalui Platun Bantuan Khidmat Rela (PBKR) bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Beliau berkata, pihaknya juga mungkin akan menggunakan khidmat pasukan Rela dari Terengganu dan Perak bagi membantu sekiranya keadaan memerlukan.

"Melalui PBKR, kita bukan sahaja akan menggerakkan anggota di negeri ini malah boleh menggunakan kekuatan lebih dua juta anggota di seluruh negara bagi menghulurkan bantuan.

"Misalnya di Kedah baru-baru ini, kita telah hantar ratusan anggota Rela bagi membantu mencuci rumah, dewan, masjid dan sebagainya. Pasukan kita bersedia 24 jam untuk bekerjasama dengan polis dan tentera menghadapi musim banjir," katanya selepas Majlis Pelancaran Kempen Penambahan Anggota Rela peringkat negeri ini sebuah hotel di Kota Bharu, semalam.

Hadir merasmikan majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong. Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Makhtar Mustapha dan Pemangku Pengarah Rela Negeri, Mohd. Rawi Mohamad.

Sebelum ini akhbar melaporkan, beberapa negeri di Pantai Timur termasuk bahagian Timur Johor serta Sabah dan Sarawak dijangka mengalami banjir besar berikutan peningkatan taburan hujan dengan sesetengah tempat diramal melebihi 40 peratus berbanding paras biasa.

Fenomena itu berlaku ekoran perubahan cuaca musim Monsun Timur Laut bermula awal bulan ini dan dijangka berterusan hingga awal Mac depan.

Zaidon berkata, platun pasukan itu berada di setiap daerah di negeri ini dan bersedia untuk digerakkan secara automatik sekiranya bencana itu melanda.

"Kalau daerah Tumpat misalnya dilanda banjir, kita akan hantar pasukan dari Pasir Mas dan Kuala Krai untuk membantu," katanya.

Dalam pada itu, Zaidon berkata, anggota Rela seramai 2.1 juta orang mempunyai tahap disiplin yang tinggi dengan bilangan yang dikenakan tindakan akibat masalah disiplin adalah amat terpencil.

"Kita akui ada yang dibuang dan digantung keahlian tetapi jumlahnya amat kecil sekali, setiap permohonan untuk masuk menjadi sebahagian anggota Rela kita tapis terlebih dahulu rekod mereka dengan polis," katanya.

Saturday, November 13, 2010

SEKOLAH DITUTUP KERANA BANJIR DIBUKA SEMULA HARI INI

Semua 13 sekolah di jajahan Pasir Mas dan Tumpat yang ditutup akibat banjir sejak tiga hari lalu akan dibuka semula esok, berikutan banjir di Kelantan pulih sepenuhnya sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Hussein Awang, berkata semua guru besar sekolah terbabit telah dimaklumkan mengenai perkara itu. Dalam kejadian banjir tiga hari lalu, 13 sekolah kebangsaan di sekitar Rantau Panjang dan Tumpat membabitkan lebih 7,000 murid yang terletak di kawasan pinggir Sungai Golok ditutup kerana kawasan sekolah terbabit ditenggelami air sedalam 0.5 hingga tiga meter.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang (I); SK Sri Rantau Panjang (II); SK Rantau Panjang; SK Lubok Setol; SK Kok Pauh, SK Rahmat; SK Gual Sitok, SK Gual Tok Deh; SMK Rantau Panjang; SRJKC Khay Boon; SK Bakong, SK Chenderong Batu dan SK Bendang Pak Yong.

Hussein berkata, kerja pembersihan kawasan dan bangunan sekolah sedang dilakukan oleh pihak sekolah dan petugas agensi penyelamat.

Sementara itu, Ketua Unit Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang Yusnizam Jusoh berkata pihaknya akan menjalankan operasi pembersihan sekolah yang ditenggelami banjir.

Katanya, langkah itu amalan biasa pasukannya yang ditugaskan bukan sahaja menolong kerja-kerja menyelamat semasa banjir tetapi juga selepas bencana itu.

Thursday, November 4, 2010

KEADAAN BANJIR DI RANTAU PANJANG TIDAK BERUBAH

Keadaan banjir di Rantau Panjang setakat 8 pagi ini tidak berubah dengan jumlah mangsa yang berada di tiga pusat pemindahan di sini kekal 475 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata kesemua mereka yang membabitkan 121 keluarga itu ditempatkan di stesen kereta api lama, Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dan Sekolah Kebangsaan Tok Deh.

Beliau berkata sejumlah 410 orang ditempatkan di stesen kereta api lama, iaitu penduduk Kampung Kedai Lama, Kedap dan Kampung Dangar.

Selain itu, 42 penduduk lagi dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi yang terdiri daripada penduduk Kampung Banggol Kulim dan Bandang Guchil manakala di Sekolah Kebangsaan Tok Deh pula seramai 23 orang yang terdiri daripada penduduk sekitar, katanya.

Jurucakap itu bagaimanapun menjangkakan jumlah itu akan beransur kurang mulai hari ini berikutan paras air Sungai Golok yang terus surut.

Bacaan paras air sungai itu pada pukul 8 pagi ini ialah 9.89 meter yang masih melebihi tahap bahaya 9 meter.

"Paras air Sungai Golok dijangka terus surut berikutan cuaca cerah tanpa hujan sejak dua hari lalu," kata jurucakap itu.

Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan melainkan satu laluan alternatif yang menghubungkan Rantau Panjang dan Jeli di Kampung Lalang Pepuyu yang ditutup kepada kenderaan ringan.

Keadaan yang baik itu juga membolehkan zon bebas cukai Rantau Panjang bakal beroperasi semula seperti biasa setelah kebanyakan premis ditutup sejak tiga hari lalu berikutan limpahan air sungai itu.

Tiada kemalangan jiwa akibat banjir dilaporkan sehingga kini dan cuaca di Kelantan pada pagi ini cerah.

Friday, October 15, 2010

15,861 PETUGAS HADAPI BANJIR DI KELANTAN

Kira-kira 15,860 petugas akan ditugaskan sebagai persediaan menghadapi musim banjir berikutan jumlah hujan yang masih belum turun dianggarkan sebanyak 40 peratus pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri (JKPBBN), Datuk Aiseri Alias (gambar kiri) berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir di negeri ini.

Katanya, daripada jumlah petugas terbabit, ia melibatkan seramai 200 petugas peringkat negeri, 1,533 petugas peringkat jajahan dan selebih petugas daripada agensi kerajaan.

Antara agensi kerajaan yang terbabit termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota tentera, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA3) dan pasukan Bomba dan Penyelamat negeri Kelantan.

“Bagi persiapan banjir tahun ini, kita menyediakan 1,533 petugas yang membabitkan seluruh jajahan. Mereka ini akan bertugas mengikut syif masing-masing.

“Jumlah itu tidak termasuk jumlah petugas bilik gerakan banjir mengikut agensi-agensi kerajaan dan di peringkat negeri pula kita ada lebih kurang 200 orang untuk bertugas di peringkat negeri, jadi kita ada lebih kurang 15,861 petugas yang terlibat dengan agensi-agensi,” katanya di pejabatnya di Kota Bharu, kelmarin.

Katanya, dari segi bekalan logistik pihaknya turut menyediakan kemudahan seperti ambulans, bot enjin, jaket keselamatan, kenderaan-kenderaan termasuk lampu suluh dan alat memasak dan sebagainya.

“Dari segi kenderaan kita menyediakan sebanyak 192 kenderaan yang melibatkan daripada tentera, PDRM, pasukan Bomba dan Penyelamat serta sebagainya.

“Kita menjangkakan jumlah pusat pemindahan sebanyak 813 itu akan dapat menampung jangkaan 105,490 orang mangsa banjir. Bilik gerakan kita akan dibuka apabila paras air sungai melebihi paras amaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, mereka yang tinggal di kawasan yang telah dilanda banjir pada masa-masa lepas supaya sentiasa mendengar nasihat daripada agensi kerajaan terutama melalui maklumat kaji cuaca, JPS, begitu juga melalui radio dan televisyen.

“Daripada pengalaman tahun lepas, banyak mangsa banjir telah bersedia awal hasil daripada gerakan kesedaran kita yang telah kita buat selama ini.

“Satu perkara yang penting semasa banjir ini kita perlu jaga kesihatan. Saya telah minta jabatan kesihatan untuk mengadakan unit-unit kesihatan terutama sekali bagi pusat-pusat yang ramai mangsa-mangsa yang berpindah.

“Ini kerana kita bimbang sekarang ini penyakit mudah berjangkit dan untuk mendapat rawatan di hospital tentunya memakan masa.

“Jadi perlu kita ada unit-unit khusus di tempat-tempat pemindahan banjir,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan atau maklumat mengenai banjir boleh melayari www.ebanjir.com.my.