Sunday, January 9, 2011

Kanak-Kanak Perempuan Korban Pertama Banjir Di Kelantan

Gayah Hassan, 35, dan suaminya Kamaruzaman Ismail, 41, disamping mayat anak mereka, Siti Aisyah, 10, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Peringat yang lemas ketika bermain bersama rakan berhampiran rumahnya yang ditenggelami air di Kampung Belukar Limbat, Kota Bharu, semalam.

Seorang kanak-kanak perempuan menjadi mangsa pertama banjir yang sedang berlaku di Kelantan apabila dia lemas ketika bermain air di kawasan rumahnya di Kampung Belukar Limbat dekat Kota Bharu, pagi semalam.

Ibu mangsa, Gayah Hassan, 35, hanya mampu melihat Siti Aisyah Kamarulzaman, 10, anak ketiga daripada lima beradik itu terkapai-kapai sebelum tenggelam dan dibawa arus. "Setiap tahun kawasan rumah saya akan ditenggelami air.

Anak-anak memang dah biasa main air termasuklah Siti Aisyah. Saya benarkan mereka bermain tetapi betul-betul di hadapan rumah, kira-kira tiga meter dari rumah. "Ketika kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, saya memang ada memerhatikan Siti Aisyah dan adik beradik dia yang lain main air, tetapi tak sangka ada kawasan yang airnya dalam menyebabkan Siti Aisyah lemas," katanya di Bilik Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) di Kota Bharu.

Siti Aisyah adalah murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Peringat.

Menurut Gayah, selepas melihat anaknya lemas, dia cuba menyelamatkan anaknya bagaimanapun arus deras dan air sedalam satu meter menyebabkannya gagal berbuat demikian.

Pegawai Bomba Kanan II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Hasmadi Jusoh berkata, pihaknya menemui mayat kanak-kanak tersebut pada jam 1.30 petang yang tersangkut di dasar tali air kira-kira dua meter dari tempat mangsa dilaporkan lemas.

No comments: