Sunday, January 9, 2011

Awang Adek - Murid Miskin Diberi Pertimbangan Dapatkan Bantuan

Murid miskin di Kelantan, yang gagal mendapatkan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada pengagihan wang ihsan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pihak sekolah, Persatuan Ibubapa Guru (PIBG), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jawatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) perlu bekerjasama mengenainya.

“Permohonan mereka hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hamper 1Malaysia kepada 117 penduduk miskin di Dewan Haji Hussin, Perupuk di Bachok, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan pengerusi-pengerusi PIBG di Pasir Puteh bahawa senarai nama murid yang layak mendapat bantuan RMT di sekolah-sekolah telah dipotong sehingga melebihi 50 peratus dan ini menimbulkan keresahan di kalangan ibu bapa miskin terutama ketika menghadapi musim tengkujuh.

Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata pihaknya akan memberi keutamaan jika menerima permohonan daripada pihak terbabit dan pihaknya mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi membiayainya.

Mengenai banjir, beliau berkata Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan sedang menyemak senarai nama mangsa banjir yang tidak dapat berpindah ke pusat-pusat pemindahan untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan beban mereka dalam tempoh musim tengkujuh.

Mereka layak menerima bantuan walaupun harta benda dan rumah masih selamat didiami tetapi keadaan banjir menyukarkan mereka melakukan kerja merkipun untuk ke bandar mendapatkan bantuan.

“Dengan syarat kampung mereka diisytiharkan banjir oleh pihak kerajaan,” kata Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Beliau memberi jaminan mereka akan menerima bantuan itu secepat mungkin apabila pihak JPP siap memprosesnya.

No comments: