Tuesday, February 11, 2014

Umno Kelantan Tumpu Isu Kos Sara Hidup Dan Agama - Mustapa Mohamed

Gambar Hiasan...Mustafa dengan penyokong UMNO Kelantan.
Umno Kelantan akan memperkasa jentera penerangannya bagi memantapkan usaha memberi penjelasan kepada rakyat terutama berhubung isu agama dan peningkatan kos sara hidup.

Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perkara itu akan dilakukan pada kadar segera memandangkan kaedah sekarang dilihat kurang memberi kesan terutama dalam kalangan generasi muda.

"Anak-anak muda ini mahu melihat kelainan dalam penerangan iaitu perlunya lebih inovatif dalam menyalurkan maklumat dan bukannya secara konservatif lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Umno Kelantan, di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Menurut Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, isu seperti hudud, tahaluf siyasi dan kenaikan kos sara hidup perlu diutamakan oleh jentera penerangan Umno Kelantan bagi mengelak daripada terus dimanipulasi oleh parti pembangkang.

Beliau juga mahu pemimpin dan anggota Umno itu berganding bahu membantu kerajaan pusat memberi penjelasan mengenai isu berbangkit, bukan menyerahkan tugas berkenaan kepada agensi kerajaan semata-mata.

Mengenai muzakarah itu, Mustapa berkata beliau gembira dengan sambutan yang diterima kerana membuktikan semangat anggota Umno untuk menyaksikan Kelantan kembali ditadbir oleh Barisan Nasional suatu hari nanti masih kental.

No comments: