Sunday, September 13, 2015

Bantuan Wang Ihsan Mangsa Banjir ‘Di Kelate Dah Nok Habih’…

Kesemua baki 27,315 keluarga mangsa banjir di negeri Kelantan yang belum menerima bantuan wang ihsan RM500 bagi setiap keluarga dijangka menerima bantuan itu selewat-lewatnya 23 Sept ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sejak banjir melanda negeri ini pada Disember tahun lepas, Kerajaan Persekutuan telah selesai mengagihkan bantuan itu kepada 144,638 keluarga daripada 171,953 keluarga yang layak menerima bantuan berkenaan.

"Mereka yang belum menerima bantuan tersebut adalah mangsa banjir yang nama mereka tercicir daripada senarai penerima bagi fasa pertama atau rumah mereka terkepung akibat laluan terputus akibat banjir yang dikira layak untuk menerima bantuan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Wang Ihsan Bencana Banjir Jajahan Tumpat Fasa II di Tumpat hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Kerajaan Persekutuan amat prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir dan berharap dengan bantuan wang ihsan itu dapat meringankan beban perbelanjaan mereka.

Mengenai pembinaan rumah kekal baharu kepada mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana alam itu, Mustapa berkata Kerajaan Persekutuan akan menggunakan tanah milik agensinya serta membeli tanah milik individu untuk dijadikan tapak pembinaan rumah kepada mangsa banjir.

Beliau berkata tanah milik kerajaan persekutuan itu terletak di jajahan Kuala Krai iaitu di Kuala Nal berkeluasan 3.2 hektar, Sungai Durian (5.2 hektar), dan Manjor (1.6 hektar) yang akan dibina sebanyak 214 unit rumah.

"Kerajaan Persekutuan akan membeli tanah milik individu dalam jajahan Kuala Krai iaitu di Kampung Peria (2.4 hektar) dan Kampung Stong (5.68 hektar) untuk pembinaan 190 unit rumah," katanya.

Beliau berkata kerajaan persekutuan melalui kerjasama dengan kerajaan negeri dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan membina 100 unit rumah di kawasan seluas 12 hektar di Telekong, Kuala Krai.

Kerajaan Persekutuan juga akan menaik taraf 400 unit rumah transit yang dibina pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dan NGO kepada rumah kekal, jelas Mustapa.

Beliau berkata kelewatan untuk menyiapkan pembinaan 1,827 rumah kekal baharu kepada mangsa banjir disebabkan kerajaan negeri gagal menyediakan tanah yang diperlukan sebagai tapak rumah kepada mangsa yang tidak memiliki tanah sendiri.
Pada majlis itu, sebanyak 3,000 mangsa banjir di jajahan Tumpat menerima bantuan wang ihsan fasa II.

No comments: