Monday, May 2, 2016

Jabatan Perhutanan Kelantan Rampas Dua Tan Balak Haram



Jabatan Perhutanan Kelantan merampas dua tan metrik kayu jenis keruing dan nilam bernilai RM10,000 yang disyaki hasil pembalakan haram oleh penduduk tempatan di Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Machang.

Pengarahnya Zahari Ibrahim berkata, dalam serbuan 4 petang Ahad, pihaknya menemukan kayu-kayan berkenaan yang telah siap dibelah dalam pelbagai saiz dan dipercayai akan dijual kepada syarikat perumahan tertentu.

"Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan dalam serbuan tersebut kerana suspek dipercayai sudah mengesan lebih awal kedatangan pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan.

Katanya, kegiatan menebang dan membelah balak itu dilakukan oleh penduduk pada waktu cuti Hari Pekerja semalam dan mereka disyaki sengaja melakukan pada hari berkenaan kerana menyangkakan kakitangan Jabatan Perhutanan Kelantan turut bercuti.

"Kegiatan terbabit dikesan hasil maklumat orang ramai yang percaya kumpulan pembalak haram yang menceroboh hutan simpan ini membekalkan kayu kepada syarikat kontrak perumahan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu hari ini.

Zahari berkata serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Unit Operasi dan Penguat kuasa yang diketuai Penolong Pengarah unit berkenaan Bakar Rapaee dan Pegawai Selia Hutan Tengku Rahimi Tengku Mat.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun.


"Jabatan Perhutanan Kelantan amat berterima kasih kepada pihak yang menyalurkan maklumat mengenai kegiatan terbabit kerana mereka ini boleh menyebabkan spesies kayu hutan yang bernilai tinggi pupus," katanya.

Bernama

No comments: