Wednesday, May 18, 2016

Sektor Perkhidmatan Dijangka Kekal Penyumbang Terbesar KDNK Kelantan


Sektor perkhidmatan dijangka kekal menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kelantan menerusi banci ekonominya tahun ini.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kelantan, Shafizaermawaty Shafei berkata berdasarkan penerbitan KDNK Kelantan 2010-2014, sektor tersebut menyumbang sebanyak 65.4 peratus kepada KDNK negeri pada tahun 2014.

"Sektor perkhidmatan dijangka terus menjadi penyumbang aktiviti ekonomi yang terbesar kepada KDNK Kelantan pada tahun ini disusuli sektor pertanian," katanya kepada pemberita pada majlis Sesi Interaktif Statistik Bersama Responden di Kompleks Kraftangan Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Shafizaermawaty berkata sektor perkhidmatan didominasi oleh sektor kerajaan, perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta hotel dan penginapan.

Katanya banci ekonomi 2016 Kelantan akan turut memberi fokus kepada bidang pertanian dan agro makanan yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Daripada data yang dikumpulkan setakat ini, Kelantan mencatatkan jumlah usahawan tani tertinggi tidak berdaftar dengan SSM iaitu seramai 1,704. Kebanyakannya beroperasi di pedalaman dengan liputan pasaran sekitar kampung berdekatan," katanya.

Shafizaermawaty berkata banci ekonomi Kelantan pada tahun ini membabitkan 31,000 responden terdiri daripada syarikat perniagaan dan usahawan berdaftar dalam sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

Beliau berkata jabatan akan menggunakan seramai 1,200 Pekerja Sambilan Harian (PSH) untuk membantu pegawai dan anggota tetap melaksanakan bancian tersebut.

Katanya pada tahun ini, hampir 70 peratus atau 1,500 daripada 2,000 borang bancian yang diposkan dikembalikan ke Jabatan Perangkaan Kelantan disebabkan masalah alamat pemilik syarikat.

"Ini satu cabaran juga bagi kami untuk mengumpul data dalam jangka masa yang ditetapkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap responden dapat memberi kerjasama sepenuhnya untuk membekalkan data supaya perancangan yang dibuat kerajaan memberi manfaat kepada semua.

No comments: