Showing posts with label Pantai Timur. Show all posts
Showing posts with label Pantai Timur. Show all posts

Tuesday, January 4, 2011

Hujan Di Negeri Pantai Timur Sehingga Sabtu

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok sehingga Sabtu.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia kawasan yang terlibat di Kelantan ialah di daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai manakala di Terengganu pula melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dan di Pahang melibatkan daerah Kuantan.

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederahana yang kini berlaku di Sabah dijangka berlarutan hingga Jummat. Kawasan yang terlibat ialah di Kudat, Pitas, Kota Murudu, Ranau, Kota Belud, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.

Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing sungai, menurut kenyataan itu.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang kini berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga tiga dan lima meter yang kini berlaku di perairan Pahang, timur Johor, Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri), Tioman, Bunguran, Reef South dan Sulu juga dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu merbahaya kepada semua aktiviti perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, penangkapan ikan, perkhidmatan feri, bot kecil, aktiviti pantai, rekreasi dan sukan laut.

Wednesday, December 29, 2010

Amaran Hujan Lebat Di Kelantan, Terengganu, Pahang Dan Johor

Hujan sederhana kadangkala lebat yang turun di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka berterusan sehingga esok.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, kawasan yang terlibat di Kelantan ialah Jeli, Machang, Pasir Mas dan Tanah Merah, manakala Terengganu pula di kawasan Daerah Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu, sementara Pahang melibatkan Bentong, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran dan Raub, dan Johor pula di kawasan Mersing.

Hujan sederhana dan kadangkala lebat boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing-tebing sungai, kata kenyataan itu.

Sementara itu, angin kencang timur laut berkelajuan 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 5.5 meter dijangka berterusan di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Selatan Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-layang sehingga Isnin depan.

Menurut kenyataan itu, keadaan angin kencang dan laut bergelora tersebut berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Pada masa yang sama, angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Sarawak (Miri), Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat, Pedalaman dan Kudat), Utara Samui dan Palawan juga dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," menurut kenyataan itu.