Showing posts with label Felda. Show all posts
Showing posts with label Felda. Show all posts

Tuesday, November 2, 2010

FELDA KALAH KERANA PEGUAM, FIRMA GUAMAN

Tunggu masanya.

Felda berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam dan firma guaman yang menyebabkan ia terpaksa membayar sejumlah wang yang besar kepada peneroka di Kemahang 3, disamping menjejaskan imej Felda.

Pada 26 Ogos lepas, Felda diperintah membayar ganti rugi RM11 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah Kelantan selepas agensi tersebut gagal dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan.

Ia gara-gara peguam yang sepatutnya mewakili Felda dalam kes tuntutan 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Kelantan di Mahkamah Tinggi Kota Baharu yang bukannya menarik diri daripada kes berkenaan, sebaliknya telah berhenti kerja di firma guaman yang dilantik agensi itu semasa perbicaraan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata peguam berkenaan juga tidak mencatatkan tarikh perbicaraan kes itu dalam diari firma guaman tersebut sebelum berhenti berkhidmat.

"Di Mahkamah Tinggi Kota Baharu, peguam Felda tidak hadir dan kes dijalankan dengan memanggil saksi-saksi, seterusnya penghakiman direkodkan.

"Jika benar ada notis seminggu peguam menarik diri, sudah tentu Felda akan minta supaya penangguhan dibuat, dalam hal ini saya rasakan mungkin Felda tidak tahu peguam berkenaan menarik diri, sebab itu pada hari mahkamah bersidang wakil Felda juga tidak hadir," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu etika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di pada hari Isnin.

Mohamed Nazri berkata sekiranya peguam yang mewakili Felda hadir, sudah pasti Felda dapat membela diri dan akan membuktikan tidak terdapat sebarang penipuan bagaimana buah kelapa sawit digredkan dan perahan minyaknya.

Sehubungan itu, Mohamed Nazri berkata Felda berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap firma guaman berkenaan kerana menyebabkan ia terpaksa membayar sejumlah wang yang besar kepada peneroka disamping menjejaskan imej Felda.

Pada 26 Ogos lepas, Felda diperintah membayar ganti rugi RM11 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah Kelantan selepas agensi tersebut gagal dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Mohamed Nazri berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu pula tidak menunjukkan Felda telah melakukan penipuan dalam aktiviti perahan minyak dan penggredan buah kelapa sawit peneroka berkenaan.

"Rayuan berkenaan ditolak kerana Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman yang dibuat Felda. Dengan keputusan tersebut, bermakna penghakiman di Mahkamah Tinggi Kota Baharu terpakai," katanya.

Friday, August 27, 2010

FELDA DIARAH BAYAR PENEROKA KEMAHANG 3 RM11j

Daripada Malaysiakini

Setelah lebih sepuluh tahun, akhirnya 354 peneroka Felda Kemahang Tiga dari Kelantan mendapat khabar gembira apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Felda membayar mereka RM11 juta kerana menipu peneroka berkenaan berhubung gred buah kelapa sawit.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan Felda yang mencabar keputusan yang dibuat oleh panel lain, mahkamah itu yang sebelum ini mengketepikan rayuan berkenaan.

Lebih 150 peneroka hadir pada perbicaraan yang penuh sesak ini manakala ratusan lagi berhimpun di luar menantikan penghakiman. Kebanyakan mereka mengagahi perjalanan lebih sembilan jam dari Kelantan untuk mencari keadilan.

Dengan penghakiman hari ini, setiap peneroka itu dijangka menerima RM25,000 hingga RM30,000 setiap seorang.

Keputusan hari ini mempunyai implikasi besar ke atas Felda dan kerajaan kerana ia akan menyaksikan lebih banyak saman difailkan dan mengugat kepercayaan sebelum ini bahawa penubuhan agensi kerajaan itu oleh perdana menteri kedua, Tun abdul Razak Hussein bagi meningkatkan kebajikan masyarakat bumiputera dengan menaikkan taraf hidup mereka sebenarnya mempunyai kepincangan.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan Felda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan Felda membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Baharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka-peneroka itu.

Panel hakim, yang turut terdiri Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.

Menurut Alauddin, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana mahkamah hari ini tidak mempunyai jurisdiksi untuk mengkaji keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

"Justeru, rayuan itu ditolak."

Mahkamah juga memerintahkan Felda membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Mahkamah Tinggi Kota Baharu memerintahkan Felda membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka-peneroka itu setelah peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar, dan mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka.

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul.

Pada 19 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan enggan membenarkan Felda untuk merayu dan mengarahkannya supaya membayar pampasan kerana menipu 354 peneroka sejak 1995.

Panel tiga orang hakim ketika itu diketuai oleh Tun Zaki Azmi yang sebulat suara enggan membenarkan Felda membuat rayuan.

"Mahkamah puas hati bahawa tiada mana-mana bahagian dalam undang-undang bagi perkara ini disemak semula oleh mahkamah ini. Kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan," kata Zaki dalam penghakiman lisannya.

Dua lagi panel hakim tersebut ialah Datuk Gopal Ram dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Peneroka menamakan Felda, pengurus tanah rancangan tersebut, Ibrahim Ismail (telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defenden.

Mereka diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusoff.

Thursday, July 8, 2010

PENEROKA, GENERASI KEDUA FELDA BANTAH SUARA KEADILAN

"Kalau Felda bankrap mana mungkin peneroka diberikan wang sara hidup RM1,000 sebulan, anak-anak berjaya ke universiti turut diberikan sumbangan, begitu juga kami peneroka turut diberikan insentif hari raya pada setiap tahun" - Timbalan Pengerusi Felda Chiku Tiga, Aziz Abdullah

Kira-kira 400 peneroka dan generasi kedua Felda seluruh Kelantan mengadakan demonstrasi secara aman menyelar tindakan akhbar Suara Keadilan yang melaporkan Felda bankrap baru-baru ini di Pejabat Felda Wilayah Gua Musang, semalam.

Biar pun telah beberapa hari kenyataan dikeluarkan di akhbar terbabit, namun rasa marah mereka masih membara sehinggakan mereka meminta supaya pihak pengurusan Felda meneruskan tindakan menyaman akhbar terbabit yang didakwa mengeluarkan laporan yang tidak benar serta bakal menjejaskan nama baik Felda di mata dunia dan juga kredibiliti agensi itu yang telah wujud sekian lama membantu golongan miskin.

Timbalan Pengerusi Felda Chiku Tiga, Aziz Abdullah berkata beliau benar-benar kecewa serta marah dengan dakwaan Suara Keadilan yang dianggap cuba mengganggu gugat Felda serta menganggapnya mainan politik pembangkang.

"Banyak manfaat telah diberikan Felda, malahan ia kini telah maju dan dunia sendiri telah mengakui kejayaan Felda. Pendapatan diperoleh sepanjang saya berada di Felda begitu membanggakan, kalau Felda bankrap mana mungkin peneroka diberikan wang sara hidup RM1,000 sebulan, anak-anak berjaya ke universiti turut diberikan sumbangan, begitu juga kami peneroka turut diberikan insentif hari raya pada setiap tahun," katanya kepada pemberita di Gua Musang semalam..

Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Felda akan meneruskan tindakan saman sebanyak RM200 juta terhadap akhbar milik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan dan beberapa pemimpin parti itu kerana memfitnah organisasi itu sebagai bankrap setelah tempoh seminggu yang diberikan kepada Suara Keadilan untuk memohon maaf tamat hari ini.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan Khamis lalu memberitahu, permit penerbitan Suara Keadilan tidak akan diperbaharui sehingga kementerian menerima penjelasan yang memuaskan berhubung penyiaran beberapa artikel termasuk yang terbaru bertajuk "Felda Bankrap".

Felda juga telah memfailkan saman berjumlah RM200 juta ekoran penyiaran artikel yang didakwa bersifat fitnah tersebut.

Seorang lagi peneroka, Che Omar Che Mat, 58, berkata beliau merasa tersinggung dengan kenyataan terbabit kerana sekiranya Felda bankrap, MRSM Felda untuk anak-anak peneroka tidak dapat dibina, insentif kepada peneroka juga tidak dapat diberikan.

"Jadi sahlah kenyataan dikeluarkan mempunyai maksud menjatuhkan Felda. Sekiranya pihak pengurusan ingin menyaman Suara Keadilan, sebagai peneroka yang telah banyak menerima manfaat, saya mengalu-alukan hasrat itu," katanya.

Generasi kedua Felda, Addni Abdul Rahman,27, berkata beliau kecewa dengan sikap parti politik yang cuba mempermainkan organisasi Felda yang banyak memainkan peranan membantu generasi kedua sepertinya.

Menurutnya sektor pendidikan, sosial dan kebajikan peneroka tidak pernah terabai, segalanya dijaga elok oleh Felda.

"Saya tidak menjangkakan akan memperoleh sekiranya tinggal di luar Felda, segalanya terjaga, kalau bankrap, Felda tidak akan membantu pendidikan anak peneroka dengan menyediakan tuisyen," katanya.