Showing posts with label Ibrahim Ali. Show all posts
Showing posts with label Ibrahim Ali. Show all posts

Monday, October 23, 2017

BN Atau HARAPAN - PAS Tiada Peluang Di Kelantan


PAS tidak ada peluang di Kelantan.

Harapan PAS untuk kekalkan kerajaan yang sedia akan berkecai kerana akan berlaku tsunami politik di ngeri berkenaan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali meramalkan tsunami politik tidak mustahil bakal melanda Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ibrahim menjelaskan, berdasarkan senario semasa pemerintahan Kelantan,  ia sudah bertapak lama dan kini tiada impak atau perubahan besar ditunjukkan.

Keadaan itu katanya mungkin mendatangkan rasa cemuh kepada rakyat.

"Tok guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun dah tak ada dan orang pun dah mula bercakap sejak PAS memerintah selama lebih suku abad, tak ada apa (di Kelantan).
"Pendapatan kerajaan negeri tak bertambah, asyik tebang balak saja. Pekerjaan kurang, rakyat Kelantan ramai berhijrah ke luar," katanya.

Beliau mengatakannya pada sidang media selepas program ramah mersa dan agihan sumbangan kepada penduduk di Kampun Hutan Chengal Tendong, Pasir Mas, semalam.

"Kalau rakyat rimas sekarang, saya tidak tolak kemungkinan mereka akan balik pada BN. Begitu juga dengan (peluang) HARAPAN, tapi bukan pada PAS, " tegasnya yang berkecimpung dengan politik Kelantan sejak 1974.


Di sebalik itu sejarah membuktikan PAS cukup kuat di Kelantan namun akhirnya tumbang dalam PRU kelima yang diadakan pada 1978.

"Itulah tsunami politik yang boleh berlaku pada bila-bila masa jika rakyat mahukannya.

"Begitulah pada 1990 apabila BN tumbang di Kelantan," katanya merujuk kepada detik PAS kembali mentadbir negeri itu.

Beliau yang dikenali sebagai ‘Tok Him’ berkata tsunami itu kemungkinan berlaku  selepas negeri itu diperintah PAS sejak 27 tahun lalu.

Bagi beliau, tsunami berkenaan hanya akan berpihak sama ada kepada BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN).

Walaupun tsunami dijangka berlaku kali ini, bekas timbalan menteri itu menegaskan, PAS tidak akan mendapat manfaat daripadanya.

Ibrahim adalah bekas anggota UMNO  yang pernah menjadi wakil rakyat bagi Pasir Mas pada PRU ke-12 lalu.

Ibrahim bertanding menggunakan tiket PAS ketika menyertai pilihan raya pada 2008. Ia berikutan pendiriannya yang tidak merestui cara kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau kemudian menubuhkan PERKASA.


Ibrahim gagal mempertahankan kerusi Pasir Mas pada PRU ke-13 lalu selepas kecundang kepada Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan majoriti 8,047 undi.

Mengambil kira sejarah politik di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Ibrahim menegaskan BN pula sudah lama tidak mentadbir Kelantan, dan harus diingat rakyat juga pernah selesa dengan parti berkenaan.

"Dulu BN pernah menang di Kelantan dan memerintah hampir 18 tahun. Rakyat tahu keupayaan parti BN.

Untuk rekod PAS berjaya merampas Kelantan pada PRU ke-8 dengan bantuan Parti Semangat 46 yang diketuai Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ibrahim sendiri adalah salah seorang pemimpin utama parti berkenaan.

Menurut Ibrahim semua perkembangan politik Kelantan yang disebutnya itu berlaku ketika beliau terlibat dalam politik.

Sementara itu mengulas pengamatan melalui faktor atas kertas, Ibrahim berkata, kemungkinan besar wujudnya pertandingan tiga penjuru pada PRU ke-14 dan ia bakal menguntungkan BN.

"Saya bagi contoh mudah. Sekarang ini BN ada lima parlimen iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Ketereh dan Machang.

"Di Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin kalah 200 undi sebelum ini.

Maknanya kalau tiga penjuru nanti, undi PAS akan pergi pada HARAPAN dan BN akan menang," katanya sambil menyifatkan PAS mungkin hanya berjaya mempertahankan beberapa kawasan yang memang kubu kuat mereka saja.

(Sumber- Malaysiakini - Tajuk asal – ‘Tok Him ramal tsunami landa Kelantan lagi’)

Tuesday, May 2, 2017

Sukar Bagi UMNO-BN Rampas Semula Kelantan Daripada PAS


Sekalipun ‘cakap-cakap tidak puas hati’ terhadap kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS sedang menular, namun bagi bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, UMNO-BN tidak mampu merampas negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ibrahim yang pernah menang kerusi berkenaan atas tiket UMNO dan juga sebagai calon BEBAS tetapi melalui sokongan PAS, berkata, meskipun rakyat semakin gelisah dengan tindak tanduk pentadbiran PAS, namun mereka telah sebati dengan PAS serta menolak UMNO.

"Rata-rata cakap tak puas hati dengan PAS tetapi orang Kelantan majoriti yang juga atas pagar terutama yang merantau dari Kuala Lumpur balik tetap mengundi PAS, sebab mereka pemikiran tak nak UMNO, tak terima kepimpinan UMNO.

"Jadi, walaupun keadaan (tak puas hati) ini wujud di Kelantan, rakyat tak senang hati dengan PAS di kelantan, tetapi tidak mudah untuk UMNO untuk merampasnya dari PAS," kata Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat PERKASA, Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa sebelum ini berkata UMNO Kelantan tidak perlu berada dalam kedudukan selesa walaupun terdapat pihak membayangkan BN mempunyai peluang cerah untuk kembali mentadbir negeri itu.

Beliau berkata, UMNO Kelantan sepatutnya perlu membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya ke-14 yang mesti diadakan sebelum pertengahan tahun depan.

Selain Annuar, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah turut membayangkan BN mempunyai peluang paling cerah untuk menamatkan penguasaan 27 tahun kerajaan PAS Kelantan.

Presiden PERKASA itu berkata, rakyat Kelantan adalah unik di mana mereka tidak pernah kisah dengan kegagalan pentadbiran PAS dalam membangunkan negeri itu khususnya ekonomi.

“Rakyat ada satu sifat ulat dalam batu pun boleh hidup, cakaplah soal pembangunan, cakap apa pun mereka undi PAS," kata Ibrahim.

Bagi sesetengah penganalisis dengan ketiadaan bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang telah berkhidmat sebagai menteri besar Kelantan selama 23 tahun, pilihan raya akan datang adalah peluang terbaik bagi UMNO merampas semula negeri itu.

Ibrahim pada awal tahun ini mendedahkan dirinya akan bertanding sekali lagi di kerusi Parlimen Pasir Mas dalam PRU14.

Beliau juga mengumumkan jika ada tawaran daripada mana-mana parti, beliau sedia mempertimbangkannya.

Wednesday, November 23, 2016

Hubungan Akrab Ibrahim Ali, Dr Mahathir Sudah Berakhir?


Siapa tidak kenal dengan Datuk Ibrahim Ali?

Ibrahim pernah tiga kali jadi Ahli Parlimen Pasir Mas iaitu menang pada 1986 atas tiket UMNO, 1990 atas tiket Parti Melayu Semangat 46 (S-46) dan 2008 atas tiket PAS.

Keahliannya dalam parti ialah menyertai  BERJASA antara 1978 hingga 1981, kemudian UMNO sehingga 1988, S-46 antara 1988 hingga 1991, kembali kepada UMNO antara 1991 dan 2003,  kemudian BEBAS sejak 2003 hingga sekarang.

Beliau bagaimanapun bertanding sebagai calon PAS di Parlimen Pasir Mas pada 2008.

Ibrahim memilih jalan politik untuk kepentingannya pada setiap pilihan raya. Kerana itu dia pernah bertanding atas tiket BERJASA, atas tiket UMNO dan juga atas tiket PAS.

Ibrahim akan berubah warna mengikut keadaan.

Bagaimanapun, sejak lebih dua dekad lalu, walaupun Ibrahim tidak khusus kepada satu-satu parti politik, dia dilihat sebagai penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri 22 tahun itu menjadi ‘pelindung kepada Ibrahim’, terutamanya dalam soal membabitkan kedudukan ekonomi beliau.

Bukan rahsia lagi, semua orang tahu terutamanya penduduk di Pasir Mas dan Kelantan.

Namun kini apakah hubungan rapat antara Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berakhir?

Bagaimana kedudukan Dr Mahathir sebagai penaung PERKASA?

Nampak gayanya hubungan itu mungkin akan tamat serta merta dan Ibrahim boleh membawa haluan sendiri mendekati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.



Kalaupun Ibrahim ‘berlembut’ dalam kenyataannya hari ini atau mungkin juga lebih keras, hubungan akrab itu tidak mungkin akan terbentuk semula seperti sebelum ini.

Apalagi Ibrahim kini dilihat menyokong kuat Perdan Menteri. Sudah pasti pemimpin dan penyokong UMNO akan bertepuk tangan kerana PERKASA kini di pihak mereka.

Strategi mereka memecahkan kem Ibrahim Ali daripada Dr Mahathir kini berjaya.

Najib pasti tahu bagaimana mahu ‘memujuk Ibrahim’. Caranya mungkin seperti bagaimana Dr Mahathir lakukan terhadap Ibrahim sebelum ini.

Semua orang tahu apa yang Ibrahim dapat daripada Dr Mahathir dana pa yang Dr Mahathir tolong beliau.

Kini hubungan rapat itu sudah berakhir semuanya gara-gara Presiden PERKASA itu  menegaskan menentang DAP pada ucapan dasarnya ketika Persidangan Agung Tahunan Ke-7 PERKASA 2016 di Stadium Mini Titiwangsa.

Selain itu benarkah bekas Perdana Menteri itu penaung PERKASA? Aatau ia hanya digembar-gemburkan oleh Ibrahim semata-mata untuk orang Melayu menyokong pergerakannya?

Semalam Dr Mahathir menafikan secara rasmi pernah menjadi penaung PERKASA.

Kenyataan Ibrahim pada 20 November 2016 lalu, bahawa NGO itu tidak memusuhi kaum Cina sebaliknya menentang DAP hanya kerana sikap parti itu yang cauvanis pastinya mengguris hati Dr Mahathir yang selama ini dilihat sebagai ‘pelindung Ibrahim dalam banyak perkara’.

Kerana itulah mungkin Dr Mahathir sanggup berkata bahawa beliau malu menyebut bahawa Presiden PERKASA itu adalah kawannya.

Malah secara terang Dr Mahathir menegaskan Ibrahim enggan menyertai BERSATU kerana parti Dr Mahathir, Parti Pribumi Nersatu Malaysia (PPBM) berkawan dengan DAP.

Ibrahim sebelum ini mendakwa bahawa DAP adalah "jahat", tetapi jika dibandingkan DAP dengan MCA, siapa sebenarnya lebih jahat.

“Saya perlu tegaskan di sini, anti-DAP bukannya anti-Cina. Saya tentang DAP bukan kerana DAP dipimpin oleh keturunan Cina. Saya menentang DAP kerana sikap, pendirian dan kerenah DAP yang cauvanis.

“Saya harap Malaysia faham dan jelas akan hal ini. Saya hormati keturunan Cina kerana mereka ralyat Malaysia yang sah, kerana mereka memiliki hak-hak yang sah dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak pernah anti-Cina,” tegas Ibrahim.



Ibrahim berkata antara sebab lain beliau dan PERKASA menolak DAP kerana parti itu menentang usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 (RUU355).

Dengan  tindakan DAP itu menunjukkan seolah-olah memberi gambaran DAP berhak menentukan perjalanan hal ehwal orang Islam di negara ini.

“Saya tentang DAP habis-habisan misalnya bangkangan DAP dan senada dengannya kepada RUU355 memberikan gambaran seolah-olah DAP berhak menentukan perjalanan hal ehwal orang Islam di Malaysia.

“Tapi, bila ada keturunan Cina mempersoalkan azan yang kuat di masjid atau surau, umat Islam membuat laporan polis mengenainya DAP dan senada dengannya hanya berpeluk tubuh dan diam seribu bahasa,” katanya.

Sebaliknya Dr Mahathir mempertahankan DAP bahawa parti itu secara terbuka mengisytiharkan bahawa mereka menghormati perlembagaan, kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi negara dan sebagainya.

Adakah MCA atau MIC pernah melakukan perkara yang sama, soal Dr Mahathir.

Pada  satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya semalam, Dr Mahathir berkata keputusan Ibrahim untuk meletakkan 50 calon bebas mewakili kumpulan pendesak Melayu itu pada pilihan raya umum akan datang bermakna bahawa Ibrahim bekerja untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 “Dia bekerja untuk Datuk Seri Najib. Sebab dia tau kalau lebih daripada pertandingan satu lawan satu, Najib akan menang. Jadi dia berusaha supaya Najib menang

“Dia pura-pura berjuang untuk orang Melayu, tak boleh cakap dengan DAP. Tapi dia sanggup bekerja dengan Najib, dia sanggup sokong orang yang curi duit,” kata Mahathir.

Ibrahim pada Ahad lalu mengumumkan PERKASA merancang untuk meletakkan 50 calon pada pilihan raya umum akan datang, termasuk dirinya.

PERKASA  tidak akan menggunakan platform parti politik sebaliknya hanya bergerak sebagai NGO kerana mahu bertindak di luar radar politik tempatan.


Ibrahim akan mengadakan sidang akhbar hari ini  untuk menjawab ulasan Dr Mahathir itu.

Saturday, October 29, 2011

Parlimen Pasir Mas – PAS Akan “Keluar Tahi Hijau…”

Hanifa Pemimpin PAS Kelantan bukan jenis ingat sejarah dan ‘mudah lupa’ jika diambil kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad apabila mengatakan ‘Ibrahim Ali akan tewas pada PRU 13’.

Dengan bongkak mereka mengatakan PAS akan menang dan permainan psikologi ini tidak sedikit pun membimbangkan Datuk Ibrahim Ali.

Yang Dipertua PAS Pasir Mas Hanipa Ahmad semalam berkata Ibrahim akan tumpas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti di parlimen Pasir Mas.

Mengulas kenyataan Hanipa, Ibrahim berkata PAS makin bongkak, takabur dan mana mereka tahu siapa memang siapa kalah.

“PAS ini dah ganti Tuhan ke?” Tanya Ibrahim melalui smsnya semalam.

Bagi Ibrahim, PAS memang jenis mudah lupa berdasarkan dua fakta ini:

1. Pada Pilihanraya Umum 2004, PAS kata mereka akan menang besar tetapi Tuhan tidak mengizinkan. Mereka tinggal nyawa ikan dengan tinggal dua kerusi DUN sahaja, dan

2. Pada PRU 2008, PAS tidak dapat membaca tsunami politik akan berlaku. Kalau mereka dapat membacanya pasti PAS tidak akan memberikan laluan kepadanya.


Hakikatnya, menurut Ibrahim, pemimpin PAS ini kepala besar tetapi otak kurang dan lebih jijik bersifat takbur. “Sifat takbur bukan sifat pemimpin Islam,” tegas Ibrahim.

Hanifa menegaskan semalam, jentera pilihan raya PAS kawasan tidak gentar walau siapa pun calon yang bertanding dari Barisan Nasional bagi Parlimen Pasir Mas.

Beliau menyatakan keyakinannya kerana pada asalnya kawasan Parlimen Pasir Mas adalah ‘kubu’ PAS.

“Kita yakin kali ini kalau kita berhadapan dengan BN walau siapa pun calon BN, kita yakin insya Allah kita akan menang, Sekarang ini kita berkemungkinan besar dalam PRU-13 akan berhadapan dengan Datuk Ibrahim Ali yang akan menggunakan ‘dacing’. Itu kemungkinan besar.

“Jadi kita sudah bersip sedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Kita telah membuat persiapan rapi, kita menguatkan jentera Dun masing-masing, di samping menguatkan jentera pilihan raya kawasan dengan mengadakan siri kursus tertentu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Dividen Ladang Rakyat Kawasan Parlimen Pasir Mas di pejabat PAS kawasan di Pasir Mas kelmarin.

Hanipa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata parlimen Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum lalu ditandingi Ibrahim Ali dengan menggunakan tiket PAS dan itu kira ‘selesai’.

Bagi Ibrahim, beliau banyak membantu PAS pada dua pilihan raya umum kerana pada 2004 beliau bertanding Bebas dan atas tiket PAS pula pada 2008.

Katanya beliau bertanding tidak takut kalah dan jika bertanding satu lawan satu dengannya, “PAS Keluar Tahi Hijau…”

Beliau menasihatkan pemimpin PAS jangan terlalu takbur, bongkak dan angkuh dan ‘sama-sama kita tenguk siapa akan terbujur”, katanya

Wednesday, August 25, 2010

PERKASA, IBRAHIM ALI, PRU 13: SATU MITOS

Oleh Zaini Hassan (Utusan Malaysia)

SAHABAT blogger saya, Rocky‘s Bru menulis dalam entri terbarunya mengenai kemungkinan kemunculan kuasa ketiga dalam PRU ke-13, yang bakal berlaku sekitar setahun setengah ke dua tahun lagi.

Kuasa itu ialah Parti Peribumi Perkasa Negara atau istilah yang sering kita dengar sekarang iaitu Perkasa. Persoalannya, benarkah Perkasa akan menjadi sebuah parti politik?

Apakah benar-benar ia akan menjadi satu kuasa - selepas kuasa BN, kuasa pakatan pembangkang dan Perkasa? Siapakah yang akan memimpinnya kelak? Ibrahim Alikah?

Namun, seperti kata Rocky kita tidak boleh menolak kemungkinan itu. Dengan keahlian seramai 200,000 sekarang -- ia besar, gedebe (bahasa orang Kelantan bererti ganas) dan bagi sesetengah pihak, ia jahat.

Orang Cina amat membenci Perkasa ini. Pemuda UMNO, melalui ketuanya pun dikatakan membencinya. Hakikatnya, orang Melayu, terutamanya yang tidak meminati UMNO, Pas dan PKR, sekarang sedikit demi sedikit menyertai dan menyokong pertubuhan itu.

Bermula sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas nama memperjuangkan hak-hak bangsa Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu, sedikit demi sedikit nafsunya boleh menjadi lebih besar. Ia, akhirnya mungkin mahu terbabit secara langsung dalam aktiviti siasah.

Benarkah orang Melayu berminat dengan Perkasa. Dalam Cuit yang terdahulu saya ada menulis ‘NGO semakin garang, parti Melayu semakin...’ yang memperlihatkan orang Melayu mahukan suara yang lebih lantang dalam menyuarakan hak mereka. Mungkin kerana itulah dalam setahun jagung penubuhannya, Perkasa telah berjaya mengumpulkan seramai itu keahliannya.

Dalam tulisan itu (Cuit 11 Ogos) saya menulis sebab-sebab orang muda mulai berubah angin kepada NGO: ‘‘NGO - Pertubuhan Bukan Kerajaan atau ada yang menyebut No Gaji Organisation mula mengambil alih peranan sayap muda yang lesu.

Pertumbuhan mereka kini merata. Rata-ratanya atas nama orang Melayu, mereka mula mengambil alih peranan parti politik tertentu.

‘‘NGO kini sedang diperhatikan oleh banyak pihak. Orang-orang Melayu pun mula tertarik dengan mereka. Yang tidak suka PKR masuk NGO, yang tidak suka Pas dan DAP pun masuk NGO dan yang keluar dari UMNO dan pemudanya yang berhemah pun khabarnya menyertai NGO.

‘‘Mereka ini bukan tidak suka parti pemerintah, tapi tidak sukakan parti pembangkang. Mereka ini mahukan suara yang lebih lantang, dan gerak- geri yang lebih kelihatan.”

Menurut Rocky pula, kebanyakan ahli-ahli Perkasa terdiri daripada ahli UMNO dan banyak juga terdiri daripada Melayu cerdik-cerdik, berasal dari bandar, yang tidak berhasrat menyertai UMNO (dan sudah tentu tidak percayakah Anwar Ibrahim dan PKR/Pas yang diterajuinya). Tambah lagi, penglibatan Dr. Mahathir Mohamad dengan Perkasa telah menarik penyertaan yang banyak, terutamanya dari kaum muda Melayu.

Seperti juga pendapat Rocky, Perkasa sepatutnya hanya wujud sebagai satu kumpulan pendesak tetapi dalam suasana politik Malaysia yang memuncak sekarang, Perkasa boleh menjadi satu kuasa yang tidak boleh diketepikan peranannya dalam pilihan raya umum kelak.

Persoalannya dengan siapa Perkasa akan bertaut? Dengan UMNOkah, atau dengan Paskah? Inilah persoalannya yang akan wujud sekiranya benar ia akan menjadi parti politik.

Perlu diingat kuasa 200,000 (dan semakin meningkat) tidak boleh dipandang enteng sama sekali oleh gergasi UMNO, Pas, malah pakatan pembangkang lain.

Bijak sungguh Ibrahim Ali. Kini beliau sudah mempunyai bargaining power (kuasa tawar menawar) di dalam tangan beliau. Tidak sia-sia Tok Him menjerit sana, menjerit sini. Kini Perkasa bakal menjadi kuasa ketiga terpenting dalam persaingan politik negara ini.

Apakah Tok Him juga bercita-cita menjadi Perdana Menteri? Hahaha, janganlah gelojoh macam Pak Sheikh kita tu, nanti tersungkur cepat.

Apakah Ibrahim Ali diletakkan situ hanya sementara sahaja? Seorang tokoh lain yang lebih kredibel, berketrampilan akan dibawa masuk? Mungkinkah Tun Dr. Mahathir akan kembali? Ku Li? Atau, Musa Hitam? Mungkinkah perancangan awalnya begitu. Allahualam.

Namun, tidak mustahil itu semua boleh berlaku. Semua orang tahu Ibrahim juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Ku Li, putera raja Kelantan yang dalam hati kecilnya masih menyimpan impian untuk menjadi Perdana Menteri satu masa nanti.

Mungkin juga itu perancangan awalnya, satu `grand design’ yang dibentuk bagi menyelamatkan parti Melayu sekiranya sesuatu berlaku kepada UMNO kelak? Ini semua ialah satu andaian yang dalam suasana masa kini - tidak boleh ditolak ke tepi sama sekali.

Saintis politik dan penganalisis politik pun membuat kajian dan ramalan seumpama ini. Orang Melayu harus mempunyai plan B bagi menyelamatkan bangsa itu daripada terus hanyut sekiranya sesuatu terjadi kepada UMNO kelak.

Menurut Rocky, walaupun rancangan itu akan memecahkan lagi kuasa Melayu tetapi sekurang-kurangnya mereka akan sedar mengenai keperluan untuk bersatu kembali demi survival bangsa itu.

Kini kuasa penentu di tangan penerajunya. Seorang bekas exco Pemuda UMNO - seorang doktor perubatan -- yang meninggalkan sayap itu pernah memberitahu saya dengan bangganya: ‘‘Saya kini bergerak aktif dalam Perkasa.”

Benar kata Rocky, apa yang kita katakan ini hanyalah satu mimpi. Tetapi kata beliau lagi: ‘‘Saya memikirkannya hari ini, jika Perkasa menjadi parti politik dan tidak semena-mena bergabung dengan PKR, DAP dan Pas dalam Pakatan Rakyat, maka kemungkinan - berakhirnya BN - akan menjadi, begitu real.

‘‘Najib Razak UMNO/BN harus mempunyai rancangan strategi semula yang serius untuk difikirkan, sebelum Perkasa membuat keputusan BESAR itu.”

Sekali lagi Tok Him, kini kuasa di tangan anda. Anda (mungkin) bakal survive buat kesekian kalinya. Hebat-hebat...

Thursday, February 26, 2009

IBRAHIM? TAK PAYAHLAH...

Mudahnya memaafkan.

Kalau beginilah, baik duduk luar UMNO dan hentam UMNOI betul-betul. Nampak memang anti-UMNO habis.

Lepas itu hentam pembangkang habis-habis, nampak hero UMNO.

Kalau diterima UMNO, akan dapat tempat. Setidak-tidaknya kalau tidak jadi Menteri, boleh berceramah dengan orang penting UMNO.

Kita lihat bagaimana orang yang pernah menyumpah dan mencaci UMNO hari ini menjadi Menteri.

Benar pendapat Pemuda Umno Gua Musang apabila menolak cadangan supaya Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, diundang menyertai semula Umno, sebaliknya pergerakan itu mahu beliau kekal sebagai anggota Bebas.

Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Bazlan Baharuddin, berkata, pengalaman lepas apabila Ibrahim menentang calon Barisan Nasional pada satu pilihan raya kecil pada 2005 menunjukkan beliau sanggup menentang pucuk pimpinan Umno.

"Kalau dia akur dengan keputusan Presiden dan Timbalan Presiden sebelum ini,dia tidak bertanding sebagai calon bebas menentang calon BN," katanya.

Bazlan berharap pucuk pimpinan Umno tidak mudah tertarik dengan cadangan mana-mana pihak supaya Ibrahim menyertai semula Umno sebaliknya mereka perlu belajar daripada kesilapan lampau.

Kijang hairan kenapa si Alwi – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri – tiba-tiba sahaja berkata UMNO sedia terima Ibrahim.

Pada 23 Februari lalu, Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Alwi Che Ahmad berkata Umno Kelantan sedia menerima Ibrahim sekiranya Anggota Parlimen Pasir Mas itu mahu kembali kepada parti itu.

Alwi berkata kini terpulang kepada satu-satunya Anggota Parlimen Bebas itu sama ada mahu bersama-sama Barisan Nasional (BN) selepas gesaan PAS supaya Ibrahim meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya seumur hidup dalam UMNO kerana bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-11, Mei 2004.

Beliau bagaimanapun tewas kepada calon Pas, Ismail Noh.

Peranan Ibrahim pada pilihan raya lalu jelas menentang BN kerana di Pasir Mas, calon-calon BN pada kerusi Parlimen Pasir Mas dan tiga kerusi DUN – Tendong, Pengkalan Pasir dan Chetok – kalah kerana peranan Ibrahim.

Malah pada pemilihan UMNO Bahagian pun, Ibrahim dikatakan memainkan peranannya dengan menaja bekas ADUN Tendong, Fauzi Mohamad, yang pada pilihan raya umum lalu adalah calon BN yang kalah di Tendong, untuk menentang Hanafi Mamat.

Ia bukan rahsia kerana Fauzi adalah bekas anak buah Ibrahim. Semua orang Tendong tahu dan semua orang Pasir Mas tahu.

Setidak-tidaknya Alwi tanya dan tinjau pendapat orang Pasir Mas dulu jangan pakai hentam saja.

Perangai Alwi tidak ubah bosnya, Tan Sri Annuar Musa – melakukan perbuatan lebih kurang sama apabila mengumumkan calon Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum 2008. Akhirnya calon diumumkan tidak muncul dan calon yang diketengahkan sebagai ganti tidak sesuai.

Dengan peranan Ibrahim, seluruh Pasir Mas lingkup walaupun Hanafi berusaha memenuhi semua manifesto pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.

Jelas dalam isu Ibrahim ini, walaupun orang luar melihat Ibrahim kuat tetapi ia ‘naik semula’ kerana PAS.

Tanpa jentera PAS atau dengan mengharapkan jenteranya sahaja, Ibrahim tidak mungkin jadi wakil rakyat.

Dan dengan kenyataan Ibrahim bahawa beliau tidak minat pun masuk UMNO, lupakan Ibrahim kerana kelak ia akan jadi ‘liabiliti’ kepada UMNO Kelantan.

Tuesday, October 21, 2008

DULU PUJI, KINI KEJI

Nasib sikatak besar - Ibrahim Ali!

Ada blog yang sedang hangat berkempen agar Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen (Bebas) Pasir Mas.

Pagi ini buka sahaja blog msomelayu.blogspot.com, tempampang rencana ‘Asah golok, parang dan kelewang’ yang membicarakan agar ahli parlimen berkenaan meletakkan jawatan.

Memetik tulisan seseorang yang digelarkan Ustaz, MSO berkata: “Ustaz itu berani juga, dia mencabar kalau benar ahli Parlimen itu anak jantan letaklah jawatan dan bertanding semula dalam pilihan raya kecil, baru tahu dia ada sokongan ataupun tidak.

Menurut analisa ustaz berkenaan ahli Parlimen itu menang baru-baru ini bukan kerana kehebatannya tetapi kerana simpati para penyokong dan pengundi Pas. Kesimpulannya kalau kita menang kerana orang dan bukan kekuatan peribadi tak usah agahlah.”

Kijang tidak mahu campur hal orang dan persengketaan orang Pas dengan Ibrahim, persoalannya kenapakah Pas bersetuju memberikan kerusi itu kepada ‘katak besar’ ini setelah mengetahui dari awal sikap beliau suka melompat-lompat.

Orang pertama yang patut digerudi ialah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri. Beliaulah dikatakan membuat keputusan ‘menerima’ Ibrahim dan kerana bantuan kewangan Ibrahim pulak tu!

Yang menghairankan mudah sangat Pas berikan kerusi. Pada Kijang mesti ada sebab penting atau mustahak sangat.

Lalu teringatlah Kijang kepada cakap-cakap bahawa di Pasir Mas, Ibrahim taja tiga calon Pas pada pilihan raya berkenaan dan katanya hampir RM1 juta bagi setiap DUN.

Akibatnya bukan sahaja Ibrahim menang. Dua calon BN yang juga bekas wakil rakyat, Hanafi Mamat (Pengkalan Pasir) dan Fauzi Mohd (Tendong) bungkus. Satu lagi kerusi DUN memang milik Pas.

Ai...kalau pun marah, dah lupakah kepada ‘budi’ Ibrahim?

Apakah kerana mulut celupar dan Ibrahim ‘tidak gemar’ dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan mereka marah denganya?

Susah sangat nanti masuk UMNOlah, selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur nanti.

Untuk mengetahui lebih lanjut, Kijang petik sedikit lagi tulisan MSO:

Kenapa ustaz itu ikut marah lagi ialah kerana keceluparan mulut ahli Parlimen itu yang cakap lepas dan cakap bebas. Seperti juga Murai, ustaz itu sedih kerana dia palu dan godam Pas. Tidak mengenang langsung pada pengorbanan Pas yang memberi bulan kepadanya pada pilihan raya lalu. Kalau ustaz nak tahu perangai begitu orang Kelantan kata; buvi bunga dibalas tahi. Ustaz fikirlah sendiri macam mana perut pedal, hati, limpah dan hempedu orang seperti itu. Selain itu apa yang beliau marah ialah bila ahli Parlimen itu mempertahankan ISA. Katanya sikap itu mengecewakan orang Pas termasuk Tok Guru Nik Aziz sendiri. Tok Guru itu tentu kurang senang tindakan mempertahankan ISA sebab anaknya, Nik Adli pernah menjadi mangsa akta berkenaan. Murai tidak mahu tokok tambah dan cukuplah apa yang Murai katakan sebelum ini. Mengenai cabaran ustaz itu suruh ahli Parlimen itu lepas jawatan, Murai tidak setuju. Sebab kalau bila sudah letak jawatan dia tidak boleh bertanding lagi. Jadi niat untuk ajar ahli Parlimen itu tidak akan kesampaian. Cara paling baik ialah tunggu pilihan raya ke-13 nanti. Murai rasa pilihan raya ke-13 tidak akan sampai empat tahun. Paling lama pun 2010. Najib Razak tentu akan segerakan kerana nak dapatkan mandat baru. Kalau Najib lengah dan panjangkan ia akan menyusahkannya. Masa pilihan raya ke-13 nantilah kalau nak ajar ahli Parlimen itu. Pilihan raya nanti baru dia tahu langit tinggi atau rendah. Apakah pengaruhnya masih tersisa atau tidak! Cuma apa yang Murai harap orang Pas bersiap sedia sahajalah dari sekarang. Asak golok, parang dan kelewang untuk 'takel' ahli Parlimen itu. Jadikan pilihan raya ke-13 nanti sebagai kubur untuk menimbus segala kebobrokan dan kebusukan moral politiknya yang mencemarkan demokrasi negara ini.