Showing posts with label Jambatan. Show all posts
Showing posts with label Jambatan. Show all posts

Sunday, December 26, 2010

Atasi Segera Masalah Penduduk Kuala Renggil

Bertarung nyawa!

Lebih 20 keluarga Orang Asli di Kampung Kuala Renggil, Lojing, tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa menggadai nyawa setiap kali melalui titian buluh yang dibina sendiri selepas jambatan gantung di kawasan berkenaan runtuh, lima tahun lalu.

Tinjauan Berita Harian di kampung berkenaan mendapati, penduduk menyatakan kegusaran masing-masing dengan kekukuhan titian buluh itu terutama ketika hujan lebat dan aliran arus deras sungai di Sungai Hulu Brooke.

Penduduk bimbang berlaku kejadian tidak diingini termasuk dihanyutkan arus deras apabila ditakdirkan titian buluh itu runtuh secara tiba-tiba sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jiwa.

Penduduk, Riang Ujang, 35, berkata masalah perhubungan bagi penduduk di kampung pedalaman dekat Pos Brooke Lama itu sentiasa menjadi isu yang tidak berkesudahan.

Beliau juga bimbang dengan keselamatan ahli keluarga terutama kanak-kanak yang kerap menggunakan titian buluh untuk menyeberang sungai berkenaan terutama pada musim hujan.

“Kita terpaksa membina sendiri titian buluh itu bagi mengelakkan masalah terputus hubungan ke kawasan seberang berikutan jambatan gantung yang pernah dibina Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) runtuh selepas dihanyutkan arus deras lima tahun lalu.

“Kami sudah tak sanggup mengharungi sungai setiap hari, sebab itu kami mengadakan gotong-royong membina jambatan buluh bagi kemudahan penduduk berulang alik dari kampung itu ke Pos Brooke setiap hari,” katanya.

Kasim Malu, 52, berkata kebanyakan kampung yang menjadi penempatan asal masyarakat Orang Asli di kawasan itu masih ketinggalan daripada menikmati arus kemajuan terutama jalan perhubungan yang selesa.

“Kebanyakan kampung terbabit masih menggunakan jalan yang digunakan lori balak, penduduk tidak mempunyai pilihan lain memandangkan mereka tidak mempunyai jalan perhubungan yang selesa," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap kerajaan segera mengambil perhatian serius untuk meningkatkan taraf hidup penduduk Orang Asli terutama di luar bandar dengan menyediakan jalan perhubungan yang selesa.

Thursday, August 5, 2010

MANA JAMBATAN PENGKALAN CINA?

“Jambatan sepanjang 300 meter ini dijangka siap tahun ini, 2010, namun sehingga kini tiada tanda yang ia akan siap kerana hanya terdapat beberapa batang besi dan kerangka di tebing sungai, malah segala peralatan untuk tujuan pembinaan sudah dibawa pulang. - Pengerusi JKKK Persekutuan, Abdul Halim Omar

“Kami amat mengharapkan agar Kerajaan Negeri segera menyiapkan jambatan ini demi kepentingan hampir 4,000 penduduk di sini,”

Kira-kira 300 penduduk membabitkan lima kampung dekat Mukim Pengkalan Cina di Bachok, mengadakan bantahan secara aman mendesak Kerajaan Negeri menyiapkan jambatan Pengkalan Cina yang menghubungkan bandar Bachok bagi kemudahan penduduk kampung.

Seorang penduduk, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan, Abdul Halim Omar mendakwa jambatan itu adalah janji Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Umum 2008, namun sehingga kini ia masih tidak dapat berfungsi.

“Jambatan sepanjang 300 meter ini dijangka siap tahun ini, 2010, namun sehingga kini tiada tanda yang ia akan siap kerana hanya terdapat beberapa batang besi dan kerangka di tebing sungai, malah segala peralatan untuk tujuan pembinaan sudah dibawa pulang.

“Kami amat mengharapkan agar Kerajaan Negeri segera menyiapkan jambatan ini demi kepentingan hampir 4,000 penduduk di sini,” katanya ketika ditemui pada demonstrasi aman yang diadakan berhampiran jambatan berkenaan di sini, kelmarin.

Menurutnya, jambatan yang dipercayai bernilai RM2.5 juta begitu penting buat mereka bagi mengelak kejadian tidak diingini sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

“Sungai ini sudah beberapa kali meragut nyawa penduduk di sini, dahulunya ia dibina menggunakan tong dram, yang diikat kayu di atasnya seperti rakit, namun kerana bimbang keselamatan penduduk Kerajaan Negeri cuba membinanya kembali dalam bentuk yang lebih sempurna, tetapi sehinga kini belum mempunyai tanda untuk siap,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini bekas Ahli Parlimen Bachok ketika itu, Senator Datuk Dr Awang Adek meluluskan peruntukan RM250,000 untuk pembinaan jambatan berkenaan, namun disekat Kerajaan Negeri.

Seorang lagi penduduk, Ali Mahmood berkata, sekiranya Kerajaan Negeri tidak mampu membina jambatan berkenaan serahkan kepada kerajaan pusat demi menjaga kepentingan penduduk tanpa mengira fahaman politik.

Menurutnya, apa yang diharapkan kini ia mampu diselesaikan segera, kerana sudah agak lama penduduk mukim berkenaan menanti tanpa sebarang jaminan.

“Sampai bila kami perlu menggunakan laluan yang agak jauh untuk ke bandar sedangkan jika pembinaan jambatan siap seperti di jadualkan, kami tidak perlu bersusah payah lagi,” katanya.

Manakala Pengerusi JKKP Tanjung Pauh, Azman Mohamad, merasa amat dukacita janji yang dibuat Kerajaan Negeri.

“Saya agak terkilan kerana kemudahan untuk pelajar di sekolah melalui jambatan itu terpaksa berulang-alik di kampung lain sedangkan sekiranya melalui jambatan itu lebih dekat,” katanya.