Showing posts with label Kalah. Show all posts
Showing posts with label Kalah. Show all posts

Friday, November 5, 2010

Nik Aziz Minta Penyokong PAS Tidak Kecewa

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta penyokong dan ahli PAS tidak kecewa berikutan kekalahan parti itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan Barisan Nasional (BN) mendapat majoriti lebih besar, semalam.

"Sebagai pejuang Islam, mereka tidak patut kecewa dengan keadaan itu yang dianggap sebagai suatu cabaran yang mesti dihadapi," kata Menteri Besar Kelantan itu ketika ditemui pada majlis pelancaran kutipan derma untuk membina bangunan tambahan Masjid Mukim Panji di Kota Bharu hari ini.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN, Ab Aziz Yusoff, memperoleh 5,324 undi mengalahkan calon PAS, Dr Zulkifli Mohamad, yang mendapat 4,134 undi.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, berkata faktor pembabitan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya BN akan dijadikan salah satu kajian dalam post mortem PAS.

Katanya, post mortem itu akan diadakan pada satu mesyuarat Ahad depan bagi mengkaji kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata, walaupun pihaknya telah menduga kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil itu tetapi kemenangan BN dengan memperoleh majoriti besar agak mengejutkan mereka.

Abdul Halim yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa menolak kemungkinan kelemahan dalam pelaksanaan strategi menyebabkan kekalahan PAS itu.

"Kalau mengikut kebiasaan tradisi pilihan raya di Kelantan, kita jangka kalau kalahpun 600 hingga 700(undi) saja, tapi ini sampai 1,000. Ini agak mengejutkan kita," katanya.

PAS bedah siasat gagal pertahan Galas

PAS akan melakukan bedah siasat terhadap kegagalan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada pilihan raya kecil yang diadakan semalam.

Biar pun begitu jentera pilihan raya PAS Kelantan berpuas hati dengan gerak kerja kempen yang dijalankan dan bantuan jentera dari luar serta rakan-rakan dari Pakatan Rakyat.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, kesungguhan ditunjukkan jentera kempen begitu memberangsangkan sekali sehingga ramai tenaga dari luar datang membantu.

“Namun kita juga mengesan ada penyokong di peringkat Unit Peti Undi (UPU) tidak keluar mengundi mungkin berpunca dari masalah tertentu.

“Kegagalan mereka keluar mengundi menyebabkan prestasi pilihan raya umum lalu gagal dipertahankan,” katanya.

Pada pilihan raya kecil semalam, calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff mendapat 5,324 undi, manakala calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed memperolehi 4,134 undi.

BN mendapat majoriti sebanyak 1,190 undi. Dan peratusan keluar mengundi sebanyak 83 peratus.

Keputusan rasmi pilihan raya tersebut diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun Galas, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid.

Abdul Fatah yang juga Adun Bukit Tuku berkata, faktor peningkatan ketara pengundi Orang Asal kepada BN kerana penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan mereka.
Katanya, penglibatan secara langsung agensi kerajaan terbabit dengan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asal menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.

“Biar apa pun PAS akan melakukan post mortem bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan undi pada pilihan raya kecil ini. Selain jentera kerajaan pusat kita perlu lihat ada faktor sampingan lain,” ujarnya

Harakah Online

Wednesday, September 15, 2010

KELANTAN KALAH 1-0 KEPADA N SEMBILAN

Juara bertahan musim lepas, Negeri Sembilan memulakan kempen Piala Malaysia musim 2010 dengan menundukkan Kelantan 1-0 pada perlawanan kumpulan A yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu malam semalam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Abdul Halim Zainal pada minit ke-73.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, Selangor PKNS menewaskan KL Plus 1-0 pada perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Dalam perlawanan kumpulan B pula, Pahang membelasah Terengganu 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dengan gol Pahang dijaringkan oleh Marzuki Yusof (minit ke-12), Mohd Fadzli Baharuddin (min ke-67) dan Mohd Faizol Hussain (min ke-82) manakala gol tunggal Terengganu dijaringkan oleh Abdul Rayjalil pada minit ke-75.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah terikat tanpa sebarang jaringan dengan Sabah.

Pada perlawanan Kumpulan C, Perak seri 2-2 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan di Stadium Perak, Ipoh.

Shahrizal Saad menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-16 sementara gol kedua dijaringkan oleh Shafudin Adli yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-78, manakala ATM memperoleh jaringan menerusi Mohd Saiful Mustafa pada minit ke-49 dan V. Jaganathan pada minit ke-67.

Sementara itu pada perlawanan kumpulan D, Juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor, membelasah pasukan kelab dari Terengganu, T-Team 3-1 dalam perlawanan di Stadium Shah Alam.

Gol-gol pasukan Red Giants dijaringkan oleh D. Surendran (minit ke-50), Rudie Ramli (min ke-79) dan R. Surendren (min ke-91), manakala gol saguhati T-Team hadir pada minit ke-93 menerusi Rosli Muda.

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis menumpaskan Felda United 3-2.

Gol-gol tuan rumah dijaringkan pada minit ke-49 menerusi Fatrurazi Rozi manakala Ahmad Fakri Saarani menjaringkan dua gol pada minit ke-52 dan minit ke-90.

Felda United memperolehi gol pada minit ke-85 menerusi Azrul Ahmad sementara gol kedua dijaringkan oleh G. Puaneswaran selang seminit kemudian.