Showing posts with label Mahkamah. Show all posts
Showing posts with label Mahkamah. Show all posts

Monday, July 25, 2016

Ayam RM30 Seekor - Penjual, Pemborong Atau KPDNKK Yang Bersalah?


‘Take it or leave  it’. Cakap orang putih sikit...

Demikian isu penjualan ayam di Kelantan sehingga menjadi RM30 seekor pada musim perayaan baru-baru ini. Pembeli atau pengguna tiada pilihan!

Sepanjang perayaan Aidilfitri lepas, harga ayam di negeri Kelantan  dilaporkan dijual secara terus kepada pengguna tanpa ditimbang berbanding harga kawalan RM7.90 sekilogram.

Kenapa mereka berani berbuat demikian?

Notis terhadap peniaga boleh dikeluarkan. Saman juga boleh dikeluarkan.

Tetapi bagaimana dengan kawalan dan penguatkuasaan? Musim perayaan dengan sendirinya akan menyebabkan kenaikan permintaan.

Perbuatan itu dikesan dalam pemeriksaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan di pasar berkenaan baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Abdul  Ghani Harun berkata pada 9 Julai lalu hasil pemeriksaan itu mendapati ada peniaga meletakkan tanda harga RM8 bagi sekilogram ayam namun menjualnya dengan harga RM12 sekilogram.

"KPDNKK Kelantan mengesan kebanyakan peniaga menaikkan harga ayam sejak Khamis lepas dan kita menerima 16 aduan dari seluruh negeri berhubung kes berkenaan," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

Justeru, katanya, pihaknya mengeluarkan 17 notis tunjuk sebab kepada peniaga ayam di pasar tersebut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata peniaga yang diberikan notis diminta memberi  jawapan dalam tempoh dua minggu berhubung kesalahan yang dilakukan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan mahkamah.

Kerana permintaan tinggi, jika harga dinaikkan, pengguna tetapp membelinya.

Namun di mana keberkesanan penguatkusaan selain jaminan bekalan mencukupi?

Benarkah apa yang disebut oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan bahawa bekalan mencukupi untuk musim perayaan?

KPDNKK menyenaraikan 21 jenis barangan termasuk ayam dengan harga RM7.90 sekilogram di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri berkuat kuasa dari 16 Jun hingga 6 Julai ini, namun harga tetap naik, kenapa?

Siasatan oleh KPDNKK sendiri  mendapati peniaga mendakwa terpaksa menaikkan harga ayam kerana dibeli dengan harga yang tinggi daripada pemborong.

Kesemua  cawangan KPDNKK termasuk di Pasir Mas, Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah turut diarah supaya menjalankan pemeriksaan harga ayam.

Apakah pemborong menjadi ‘punca masalah’? Apa tindakan KPDNKK terhadap mereka.

Kemudian kelmarin (24 Julai 2016), Ab Ghani  berkata seramai 24 peniaga ayam di Kelantan akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu pada 12 September depan.

Mereka diheret ke mahkamah  atas kesalahan mencatut iaitu mengenakan harga ayam yang melampau pada perayaan Aidilfitri ini. Kes berkenaan dikesan hasil pemeriksaan harian selama dua minggu bermula 9 Julai dan berakhir semalam.

"Peniaga yang terbabit kebanyakannya di Pasar Siti Khadijah selain beberapa pasar lain termasuk Pasar Chabang Tiga Pengkalan Chepa. Mereka bukan hanya mengenakan harga yang melampau tetapi juga bersikap biadap kepada pelanggan," katanya.


Ab Ghani berkata peniaga berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata harga ayam di negeri ini telah kembali normal dengan harga jualan sekitar RM8 sekilogram.

Beliau berkata terdapat 207 ladang ternakan ayam telah dikenal pasti, selain 80 premis pemprosesan ayam dan 756 peruncit yang beroperasi di negeri ini.

"Kita akan buat pemantauan berterusan bagi mengenal pasti senario semasa pasaran ayam di negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ab Ghani berkata bermula 1 Jan hingga 23 Julai lepas, sejumlah 465 kes membabitkan pelbagai kesalahan dikesan dengan nilai kompaun berjumlah RM62,000.

Dalam isu ini, jangan menuding jari kepada penjual dan pemborong sahaja.

Pemantauan dan penguatkuasaan bagaimana?

KPDNKK yang mengatakan bekalan mencukupi dan menjadi barangan terkawal, kenapa boleh berlaku?

Apakah ada apa-apa ketirisan?

Wednesday, September 15, 2010

SUSPEK BUNUH USTAZAH, ANAK DIHADAP KE MAHKAMAH HARI INI

Polis merungkai kes pembunuhan seorang ustazah dan anaknya di rumah mereka di Port Dickson pada 2 September lalu yang dipercayai dilakukan oleh jiran mereka.

Jirannya itu seorang lelaki berumur 34 tahun dikatakan membunuh dan menyamun Norliza Ishak, 35 dan anak lelakinya Amirul Ayman Mohd Yusof, 10, bagi mendapatkan wang untuk melangsaikan hutangnya.

Suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh.

Anggota polis mengangkat mayat Norliza Ishak dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof yang ditemui mati dipercayai dibunuh penjenayah yang memasuki rumah mereka di sebuah flat di Jalan Sutera Lama di Port Dickson, Negeri Sembilan, 2 September lalu.

"Jiran mereka dipercayai mempunyai masalah kewangan selepas tidak mendapat kontrak pemasangan paip gas sejak beberapa lama. Hasil samun terhadap mangsa telah digunakan untuk membayar pembayaran suspek yang tertunggak seperti pembayaran rumah, kereta dan sebagainya," kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh.

Antara barangan yang disamun suspek ialah dua utas rantai tangan, seutas rantai leher serta loket, wang tunai, komputer bimbit, alat permainan milik anak mangsa dan tiga telefon bimbit.

Suspek kemudiannya ditahan di rumah neneknya di Port Dickson pada 5 Sept lalu.

Osman berkata, lelaki tersebut memang mengenali mangsa kerana dia tinggal bersebelahan dengan rumah mangsa.

"Lelaki terbabit dikatakan telah memperdaya mangsa kononnya rumahnya terkunci dan mahu memasuki rumahnya melalui dapur mangsa. Mangsa kemudiannya membenarkan lelaki itu masuk ke dalam rumahnya.

"Sebaik sahaja masuk, lelaki terbabit telah menghentak mangsa dengan sikunya dan anak mangsa yang melihat kejadian itu telah menjerit yang turut didengar oleh jiran mangsa yang lain tetapi tidak diendahkan," katanya.

Osman berkata, kedua-dua anak beranak itu kemudian ditutup kepala mereka dengan kain sebelum dihumban ke dalam bilik air.

Kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia kerana tidak dapat bernafas.

Polis turut mendapati kesan kecederaan pada kemaluan mangsa.

Mayat kedua anak beranak itu ditemui oleh rakan Norliza yang datang ke rumahnya pada keesokan hari selepas kejadian.

Suami mangsa ketika kejadian sedang berada di luar negara.