Showing posts with label Mati. Show all posts
Showing posts with label Mati. Show all posts

Wednesday, December 29, 2010

SIAPA PULA YANG FITNAHKAN NIK AZIZ MATI...

"Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya,” kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu marah betul. Siapa pula yang menyebarkan berita kononnya beliau meninggal dunia?

Berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi.

Segala-galanya mungkin bermula daripada berita Utusan Malaysia bertajuk “Nik Abdul Aziz Nik Mat antara tiga terbunuh dalam nahas jalan raya”.

Menurut berita itu, “seorang pekerja kilang bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat serta kakak dan anak saudaranya terbunuh selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori penghantaran cepat di Kilometer 15, Jalan Bentong-Raub, dekat Lurah Bilut, semalam. Nik Abdul Aziz, 27, dari Bandar Baru Bangi, Selangor; kakaknya, Nik Hasmah, 29, dan anak Nik Hasmah, Mohd. Adib Daniel Amizan, lima tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas pada 2.20 pagi tadi
.”

Lihat laporan Utusan Online di bawah:

Beberapa blog ada mengulas mengenai ‘Nik Aziz mati” tetapi tidak pula mengatakan atau mengesahkan Musyridul Am PAS itu mati.

Pisau. Net menyebut: “Menurut sumber, berita ini sudah tersebardan ramai penyokong PAS berguling dan menghantuk kepala meratapi kematian Nik Aziz Nik Mat,namun setelah menyedari yang mati adalah orang lain,mereka kembali bersemangat untuk memaki hamun kepada yang menyampaikan berita ini. Pisau sendiri terkejut ,kerana pada mula nya menyangkakan Mursyid maksum PAS ini sudah meninggal,tetapi Allah masih panjangkan umurnya agar beliau lebih banyak berkesempatan bertaubat dan bermuhasabah tentang dirinya yang terlalu banyak membuat kesilapan.

Blog The Sense, Credibility and Accountability pula mengulas: “Memang patutlah Pok Nik menuntut perMOHONan MAAF daripada pihak yang diDAKWAnya memFITNAH kononnya dia telah meninggal dunia.. HAIRAN jugaklah - tak keluar pun dalam berita BERNAMA, RTM, TV3, Utusan, Metro, Berita Harian, HARAKAH atau Malaysiakini, TIBA-TIBA aje Pok Nik mengatakan ada pihak yang menyebarkan BERITA fitnah sedemikian RUPA terhadapnya.. Siapalah punya KERJA agaknya ye? Gembira sangat ke PIHAK tersebut kalau Pok Nik sudah TIADA? Sedangkan semua TAHU yang HIDUP pasti akan MATI, yang PATAH, pasti akan TUMBUH dan yang HILANG, pasti akan berGANTI.. Itu sudah LUMRAH.. Kalau diTAKDIRkan Pok Nik sudah TIADA pun, pasti akan ada pengGANTInya yang mungkin 2X5 sepertinya? Itukan semuanya ketentuan Ilahi?”

Blog hhalem pula berkata: “Sebenarnya orang yang meninggal kemalangan jalanraya serupa namanya dengan Tok Guru yang pertama kali dilaporkan oleh bloger yang memetik dari Bernama...” Saya berdoa Tok Guru PANJANG UMUR dan mudahan MELAYU BERSATU SEMULA

The Flying Kick pula berkata “Sememangnya berita kematian NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT bukannya berita baru. Ini berita tahun 2009 atau lebih tepat lagi pada 26 Ogos 2009. NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 15, Jalan Bentong-Raub, dekat Lurah Bilut bersama-sama kakak dan anak saudaranya selepas kereta yang mereka naiki, bertembung dengan sebuah lori penghantaran cepat.”

Amat jelas, tiada siapa pun yang mengatakan Nik Aziz mati hanya Menteri Besar Kelantan itu sahaja yang terasa entah apa-apa.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10, di Kota Bharu semalam, beliau mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya.

Nik Aziz minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata, beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik.

Ada juga blog mengatakan Nik Aziz ini jenis takut mati kerana itu marah apabila ada orang mengatakan dia sudah mati.

Wallahualam - entah, siapa yang benar!

hambali1

Nik Aziz Mahu Mereka Yang Memfitnahnya Mohon Maaf

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya.

"Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya," kata Mursyidul Am PAS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10, di Kota Bharu, semalam.

Sebelum ini, berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi. Menteri besar itu minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik.

Beliau juga menyifatkan spekulasi mengenai kesihatan seseorang pemimpin terutama pemimpin politik adalah perkara biasa.

Thursday, November 11, 2010

BAPA TUJUH ANAK DIHUKUM MATI

Mahkamah Tinggi Kota Bharu , semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang bapa kepada tujuh anak selepas didapati bersalah mengedar 68.72 gram dadah jenis methamphetamine kira-kira tiga tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Marzuki Ismail, 42, selepas berpuas hati terhadap kes dikemukakan pihak pendakwaan tanpa sebarang keraguan munasabah. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rehan Mohd Aris.

Mengikut pertuduhan, Marzuki bersama seorang lelaki yang sudah meninggal dunia, didakwa mengedar 68.72 gram dadah bersamaan 3,940 pil methamphetamine kira-kira jam 11 pagi di sebelah sebuah restoran tomyam dekat Jalan Pasir Mas-Salor, pada 16 Mac 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Sebaik hukuman itu dijatuhkan, tertuduh yang juga seorang peniaga, hanya menundukkan kepala sejurus mendengar keputusan mahkamah, manakala beberapa wanita dipercayai ahli keluarga terdekat yang berada di galeri awam kelihatan menangis teresak-esak.

Sebelum itu, Marzuki menerusi peguam bela dilantik mahkamah, Tara Singh, merayu kepada mahkamah agar mengetepikan hukuman terbabit dengan alasan anak guamnya itu mempunyai dua isteri dengan salah seorang daripadanya sudah meninggal dunia, mempunyai tujuh anak di bawah tanggungannya.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, mahkamah tidak mempunyai cara lain untuk menggantikan hukuman atas kesalahan dilakukan tertuduh, melainkan digantung sampai mati.

“Pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata dan dalam kes yang melibatkan dadah, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa kesalahan dilakukan oleh tertuduh adalah serius dan turut mengambil kira kepentingan awam melangkaui kepentingan peribadi,” hujahnya.

Wednesday, October 13, 2010

MATI MENGEJUT, BUKAN AKIBAT PERGADUHAN

Jenazah Allahyarham Che Karma ditutup dengan bendera Kelantan sambil dipangku oleh rakannya di pekarangan tempat letak kereta, Stadium Shah Alam, semalam. - Gambar ihsan/blog ruang bicara faisa.

Polis mengesahkan kematian seorang penyokong bola sepak pasukan Kelantan selepas menyaksikan perlawanan menentang Selangor malam tadi di Stadium Shah Alam, sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, mangsa Che Karma Sulaiman, 39, dari Bachok, Kelantan meninggal dunia sebaik tiba di tempat letak kereta selepas menonton perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

"Mangsa sebenarnya mengadu sakit dada kepada rakan-rakannya ketika menonton perlawanan itu, dan telah diberikan rawatan oleh pasukan paramedik, namun sebaik tamat perlawanan, mangsa dikatakan semakin lemah dan terus meninggal dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pondok Polis Alam Jaya, di Ijok hari ini.

Sehubungan itu, beliau menolak desas-desus bahawa mangsa mati akibat pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan malam tadi.

Friday, October 1, 2010

LELAKI DITEMUI MATI DITETAK DI FELDA KEMAHANG


Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di kepala dipercayai ditetak dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Gubir, Bukit Panau, Tanah Merah, pagi semalam.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, ACP Mazlan Lazim berkata mayat lelaki berkenaan ditemui oleh seorang penduduk kampung itu yang dikatakan sedang dalam perjalanan bekerja di Felda Kemahang kira-kira pukul 9 pagi.

"Mengikut laporan yang diterima mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di ladang kelapa sawit dan getah itu.

"Pemeriksaan mendapati mangsa yang lengkap berpakaian itu berlumuran darah di kepalanya dan dipercayai telah ditetak," katanya di Kota Bharu semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan pihaknya di kawasan berhampiran juga menemui sebilah sabit berukuran 42 sentimeter berada kira-kira 1.7 meter dari tempat mangsa ditemui.

"Bagaimanapun identiti mangsa tidak dapat diketahui kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa," katanya.

Mazlan berkata pihaknya percaya lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an itu merupakan rakyat tempatan berbangsa Melayu dan telah mati hampir semalaman.

Katanya mayat telah dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat tampil membantu pihak polis menjalankan siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah di talian 09-9556122 atau Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di talian 09-7450999.