Showing posts with label Norzula. Show all posts
Showing posts with label Norzula. Show all posts

Monday, November 8, 2010

KERAJAAN PAS DISKRIMINASI PENEROKA FELCRA

Sikap diskriminasi kerajaan PAS Kelantan dalam memberi kelulusan tanah di Panggung Lalat, Gua Musang, telah mendatangkan kesan yang buruk kepada peneroka Felcra di kawasan itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan diberitahu hari ini.

Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) berkata, beliau kesal sikap kerajaan negeri yang lambat menyelesaikan isu pemilikan kepada peneroka Felcra di kawasan itu sehingga tanah berkenaan dirampas oleh kerajaan negeri untuk dimajukan bagi projek Ladang Rakyat.

"Peneroka Felcra di Panggung Lalat telah memohon kepada Pejabat Tanah sejak 1989 namun sehingga kini Pejabat Tanah tidak memberikan sebarang penyelesaian dan tanah pula dirampas atas hasil usaha peneroka yang menanam getah di sana.

"Secara umumnya, Felcra membantu bangunkan kawasan pertanian, melalui persetujuan kerajaan negeri, dengan mencari rakyat Kelantan yang miskin dijadikan peneroka. Peneroka usahakan tanah serta mengisi borang permohonan dan membayar deposit," katanya ketika membahaskan titah Sultan Muhamed Kelima.

Disebabkan faktor terlalu lama, Nozula mempersoalkan kenapa jabatan tanah yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, lambat meluluskan tanah peneroka berkenaan yang diusahakan oleh mereka sejak 21 tahun lalu.

Berikutan dakwaan Nozula itu, sidang dewan menjadi hangat apabila Wan Yusoff Wan Mustafa (PAS-Gual Ipoh) mencelah bahawa tanah yang mereka duduki itu adalah tanah "haram" kerana ianya milik kerajaan negeri dan bukannya Felcra.

Wan Yusoff menjelaskan terdapat peserta Felcra di Tanah Merah yang tidak dibayar hasil tanaman mereka oleh agensi itu.

Nozula berkata, Wan Yusoff memberi tafsiran yang silap kerana bahawa tanah yang diusahakan peneroka itu adalah haram kerana peserta Felcra Panggung Lalat telah membayar wang deposit permohonan untuk kelulusan tanah namun tiada penyelesaian diberi oleh Pejabat Tanah Gua Musang.

"Itu kenyataan bingung. Orang yang bertanyakan soalan itu tidak bingung tetapi kenyataan yang dibuatnya itu bingung," katanya.

Ini menyebabkan Wan Yusoff meminta Speaker Datuk Mohd Nasuruddin Daud menggesa Nozula supaya menarik balik kenyataannya itu.

Bagaimanapun Nozula meneruskan bahasnya bahawa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata kepada umum bahawa jika tanah itu dicangkul dengan sekali cangkul, maka ianya menjadi hak milik si pencangkul itu.

Justeru katanya, tiada asas bagi sesiapa menuduh peneroka Felcra Panggung Lalat mengusahakan tanaman mereka di tanah secara haram kerana mereka mengusahakannya sendiri sekaligus tanah itu menjadi milik mereka.

Thursday, October 21, 2010

30,000 HEKTAR TANAH RAKYAT DIRAMPAS OLEH PAS

Penduduk Orang Asli menunjukkan tanah yang mereka usaha selama ini dirampas kerajaan negeri dan diserah kepada syarikat swasta luar Kelantan untuk ladang rakyat.

Sokongan terhadap PAS diibaratkan 'menang sorak kampung tergadai', apabila ada kepemimpinan parti itu semakin rakus merampas tanah rakyat, membabitkan keluasan lebih 30,000 hektar di Hulu Kelantan sejak memerintah 20 tahun lalu.

Malah, janji Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, untuk membenarkan rakyat meneroka tanah kerajaan bagi tujuan pertanian ketika mula memegang tampuk pemerintahan pada 1990 kerana menganggap tanah itu tanah Tuhan, kini semakin dilupakan.

Timbalan Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah, berkata mengikut laporan diterima setakat ini, sudah berpuluh syarikat luar Kelantan diberi kelulusan membangunkan tanah terbabit dan ada banyak lagi menunggu masa untuk berbuat demikian.

Beliau mendakwa, kebanyakan tanah yang dirampas itu sudah diusahakan rakyat dengan pelbagai tanaman, termasuk di perkampungan Orang Asli tanpa membayar sebarang pampasan.

“Kalau nak diikutkan janji Nik Aziz ketika mula menerajui Kelantan selepas pilihan raya umum 1990, akan selesai semua hak milik namun lain pula yang berlaku apabila tanah berkenaan dirampas untuk diserahkan kepada syarikat luar.

“Faktor rampas tanah itu memberi tekanan hebat kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas untuk menolak PAS kerana bimbang lebih banyak tanah penduduk dirampas selepas ini,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Nozula yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, berkata rakyat mula memihak kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil itu kerana tidak tahan kerenah pemimpin PAS yang mempunyai kepentingan diri terutama membabitkan pengambilan tanah.

Beliau berkata, boleh dikatakan kebanyakan penduduk yang bergantung kepada punca hasil tanaman hilang pendapatan kerana tanah mereka dirampas tanpa terlebih dulu mendengar rayuan penduduk.

“Kebanyakan tanah sudah dibayar deposit untuk geran hak milik, namun tidak memprosesnya disebabkan lebih mengutamakan syarikat luar dengan menyediakan pajakan selama 99 tahun,” katanya.

“Apa yang kita khuatir, sejak kebelakangan ini banyak kawasan tadahan air bukit yang menjadi keperluan penduduk termasuk perkampungan Orang Asli tercemar kerana kegiatan pembukaan tanah hutan serta pembalakan tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata, masalah utama ialah membabitkan penduduk Orang Asli kerana mereka bukan saja dihimpit hakisan ekoran kegiatan pembukaan tanah syarikat perladangan tetapi air tadahan bukit turut tercemar.

“Ini bukan cerita dongeng, malah perkara benar berlaku di merata tempat di kawasan ini menyebabkan pengundi DUN Galas sudah merasa bosan dengan janji pemimpin PAS yang dilihat tidak mengotakan apa yang dijanjikan berkaitan dengan isu tanah,” katanya.