Showing posts with label Tanah. Show all posts
Showing posts with label Tanah. Show all posts

Monday, July 25, 2016

Umno Kelantan Beli Tanah 2.27 Hektar Bina 50 Rumah Kekal


Badan Perhubungan UMNO Kelantan membeli tanah seluas 2.27 hektar di Mukim Manjor, Kuala Krai bernilai RM420,550 bagi membina kira-kira 50 Rumah Kekal Baharu (RKB) untuk mangsa banjir di jajahan tersebut.

Pengerusinya,  Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia bagi menyelesaikan pembinaan rumah kepada mangsa banjir yang masih belum mendapat kediaman yang dijanjikan kerajaan Persekutuan selepas rumah mereka musnah dalam kejadian banjir besar pada 2014.

"Ini merupakan fasa akhir pembinaan rumah (yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan Persekutuan). Pembinaannya akan dilaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan sebuah rumah dianggarkan bernilai RM65,000.

"Setakat ini, kerja-kerja tapak sedang giat dilaksanakan di kawasan itu manakala kerja pembinaan rumah dijangka dimulakan pada hujung Oktober," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO Kelantan di Kota Bharu,  Ahad malam.

Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kunci rumah kekal kepada 31 keluarga mangsa banjir di Jajahan Kuala Krai.

Susulan banjir besar itu, kerajaan pusat memikul tanggungjawab membina 1,141 rumah untuk penduduk terjejas dengan lebih 800 daripadanya telah siap.

Saturday, January 19, 2013

Kenapa PAS Bagi Tanah Kepada DAP?


Kerajaan PAS Kelantan membisu kenapa tanah balak dijual kepada DAP?

Benarkah ia memang dibuat atas dasar komersil atau perniagaan, bukan kerana politik? Kenapa PAS Bagi Tanah Kepada DAP?

Baca ulasan lanjut yang Kijang petik daripada MyKMU.net yang diterbitkan pada 9 Januari 2013:


"Sehingga saat ini rakyat Kelantan masih bingung dan tercari-cari apa rasionalnya sehingga mendorong Kerajaan PAS Kelantan meluluskan pemilikan tanah pajakan seluas 10,526 ekar di Gua Musang kepada pemimpin Cina DAP dari Perak.

Rakyat pribumi sendiri masih dibelenggu masalah hak milik tanah sekalipun sudah berpuluh tahun membanting tulang meneroka kawasan berkenaan demi sesuap nasi, alih-alih Cina DAP dari luar pula yang sakan meraih laba keuntungan sehingga tahun 2092.

Untuk baki selama 79 tahun lagi dari sekarang hak milik pajakan tanah tersebut terus menjadi milik Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koh Ham dan sepupunya Nga Kor Min melalui syarikat swasta Upaya Padu sdn Bhd yang baru mereka ambil alih baru-baru ini.

Soalnya kenapa dan apa jasa pemimpin DAP Perak itu kepada negeri ini sehinggakan keutamaan pajakan tanah yang luas mata memandang itu hanya dinikmati oleh mereka?

Sedangkan sekelumit manfaat daripada mereka untuk menambah baik taraf kehidupan rakyat marhaen negeri ini langsung tak kelihatan.

Padahal bukannya tidak ada syarikat berwibawa dan individu usahawan berkaliber yang terdiri daripada anak Melayu Kelantan yang jika diberi peluang seperti itu tentu sahaja akan memanfaatkannya demi kebaikan negeri dan anak watan sendiri. Kedua-dua pemimpin DAP Perak itu pula bukannya memiliki latar belakang sebagai usahawan genuine yang berjaya, sebaliknya sekadar pemimpin politik.

Kalau pun PAS begitu terhutang budi mahu membalas jasa dek kerana sokongan DAP kepada perlantikan pemimpin PAS Perak, Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak tidak berapa lama dulu, bukan begini caranya. Cukup-cukuplah beribu ekar tanah di Perak diluluskan hak milik tanah 999 tanah di sana kepada Cina-Cina DAP, buat apa lagi di beri habuan tanah pajakan berpuluh tahun di Kelantan untuk memuaskan nafsu serakah pemimpin DAP pula.

Dengan keluasan 10,526 ekar tanah di Kelantan itu yang hampir menyamai luas Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya, sekiranya Kerajaan PAS Kelantan mengikut kaedah penganugerahan hak milik tanah mengikut acuan FELDA bermakna sekitar 1,000 buah keluarga bakal beroleh manfaat berupa tanah seluas 10 ekar tiap-tiap keluarga.

Tapi disebabkan kepentingan politik dan dikaburi puncak kuasa yang tidak pasti, akhirnya tanah yang merupakan amanah rakyat itu hanya memberi manfaat kepada beberapa kerat politikus dan kroni pemimpin DAP dalam syarikat itu sahaja.

Lebih menyakitkan hati rakyat bila mana hasil bumi Kelantan berupa kayu kayan balak yang nilainya berjuta-juta ringgit terus mengalir ke tangan orang lain. Bagaikan mengulangi sejarah air mata rakyat di awal dekad 1960-an dan 1970-an dulu di mana hasil bumi negeri di lebih 300,000 ekar tanah menjadi habuan sebuah syarikat milik Cina Singapura juga melalui kaedah pajakan tanah.

Patutlah lebih 90% para peneroka FELDA di serata tanah rancangan seluruh negara begitu alergik dengan PAS, tentunya berkait rapat dengan kebimbangan yang hak milik tanah mereka bakal tergadai atau dipajak kepada Cina DAP atau Cina Singapura seandainya PAS diberi muka memijak sesuka hati wilayah yang mereka pertahankan.

Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh sahaja mengugut rakyat dengan ancaman tindakan undang-undang dan saman misalnya dalam usaha untuk menutup kebenaran, namun rakyat tidaklah bodoh untuk terus berdiam diri membiarkan saja harta benda negeri dan hasil buminya terus mengalir ke tangan DAP. Dari Timur ke Barat, dari Utara ke Selatan Kelantan di setiap jajahan negeri ini ada sahaja suara-suara anak Kelantan yang bangkit menuntut jawapan konkrit.

Kenapa, mengapa dan untuk apa tanah Kelantan dibiarkan menjadi milik DAP? Rakyat Kelantan menanti jawapan hari demi hari, namun yang ada cuma jawapan bersimpang siur daripada Kerajaan Negeri yang terus berbelit sambil menegakkan benang yang basah.

Jika beginilah gaya PAS memerintah negeri, sikit-sikit pajak tanah, sikit-sikit tebang balak yang sebahagian besar hasilnya hanya menguntungkan segelintir manusia haprak sahaja, usahlah menangis tak berlagu bila PRU 13 tiba kelak rakyat bangkit membuang PAS jauh terperosok ke dalam longkang.

Thursday, October 21, 2010

30,000 HEKTAR TANAH RAKYAT DIRAMPAS OLEH PAS

Penduduk Orang Asli menunjukkan tanah yang mereka usaha selama ini dirampas kerajaan negeri dan diserah kepada syarikat swasta luar Kelantan untuk ladang rakyat.

Sokongan terhadap PAS diibaratkan 'menang sorak kampung tergadai', apabila ada kepemimpinan parti itu semakin rakus merampas tanah rakyat, membabitkan keluasan lebih 30,000 hektar di Hulu Kelantan sejak memerintah 20 tahun lalu.

Malah, janji Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, untuk membenarkan rakyat meneroka tanah kerajaan bagi tujuan pertanian ketika mula memegang tampuk pemerintahan pada 1990 kerana menganggap tanah itu tanah Tuhan, kini semakin dilupakan.

Timbalan Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah, berkata mengikut laporan diterima setakat ini, sudah berpuluh syarikat luar Kelantan diberi kelulusan membangunkan tanah terbabit dan ada banyak lagi menunggu masa untuk berbuat demikian.

Beliau mendakwa, kebanyakan tanah yang dirampas itu sudah diusahakan rakyat dengan pelbagai tanaman, termasuk di perkampungan Orang Asli tanpa membayar sebarang pampasan.

“Kalau nak diikutkan janji Nik Aziz ketika mula menerajui Kelantan selepas pilihan raya umum 1990, akan selesai semua hak milik namun lain pula yang berlaku apabila tanah berkenaan dirampas untuk diserahkan kepada syarikat luar.

“Faktor rampas tanah itu memberi tekanan hebat kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas untuk menolak PAS kerana bimbang lebih banyak tanah penduduk dirampas selepas ini,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Nozula yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, berkata rakyat mula memihak kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil itu kerana tidak tahan kerenah pemimpin PAS yang mempunyai kepentingan diri terutama membabitkan pengambilan tanah.

Beliau berkata, boleh dikatakan kebanyakan penduduk yang bergantung kepada punca hasil tanaman hilang pendapatan kerana tanah mereka dirampas tanpa terlebih dulu mendengar rayuan penduduk.

“Kebanyakan tanah sudah dibayar deposit untuk geran hak milik, namun tidak memprosesnya disebabkan lebih mengutamakan syarikat luar dengan menyediakan pajakan selama 99 tahun,” katanya.

“Apa yang kita khuatir, sejak kebelakangan ini banyak kawasan tadahan air bukit yang menjadi keperluan penduduk termasuk perkampungan Orang Asli tercemar kerana kegiatan pembukaan tanah hutan serta pembalakan tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata, masalah utama ialah membabitkan penduduk Orang Asli kerana mereka bukan saja dihimpit hakisan ekoran kegiatan pembukaan tanah syarikat perladangan tetapi air tadahan bukit turut tercemar.

“Ini bukan cerita dongeng, malah perkara benar berlaku di merata tempat di kawasan ini menyebabkan pengundi DUN Galas sudah merasa bosan dengan janji pemimpin PAS yang dilihat tidak mengotakan apa yang dijanjikan berkaitan dengan isu tanah,” katanya.