Showing posts with label Payudara. Show all posts
Showing posts with label Payudara. Show all posts

Monday, October 18, 2010

LELAKI DISERANG KANSER PAYUDARA ALAMI IMPLIKASI LEBIH TERUK BERBANDING WANITA

Golongan lelaki di negara ini diingatkan supaya tidak memandang remeh penyakit kanser payudara kerana mereka juga berisiko diserang penyakit itu bahkan implikasinya lebih teruk berbanding wanita.

Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payudara Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Nik Munirah Nik Mahdi berkata kanser payudara yang menyerang golongan lelaki adalah lebih berbahaya kerana sel kanser itu lebih agresif berbanding sel kanser yang menyerang golongan wanita.

"Beranggapan kanser payudara hanya menyerang wanita menyebabkan ramai lelaki yang masih memandang remeh perkara ini sedangkan mereka juga sebenarnya berisiko diserang penyakit yang sama.

"Mengikut kajian Majlis Kanser Nasional, dari 1999 hingga 2006 bagi negeri ini, seramai enam lelaki telah meninggal dunia akibat penyakit itu bahkan kebanyakan kanser payudara yang menyerang lelaki kesannya jauh lebih buruk kerana kanser berkenaan akan menular kepada organ lain dengan cepat sehingga membawa kematian," katanya.

Beliau menyatakannya selepas majlis pelancaran laman blog bagi Pusat Sumber Kanser Payudara oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USM Prof Emeritus Datuk Dr M.Zawawi Ismail semalam.

Selain itu, katanya, pada tahun lalu satu lagi kematian dicatatkan di negeri ini membabitkan lelaki menghidap penyakit kanser payudara.

Justeru, katanya, sebagaimana wanita, lelaki juga perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengesan keganjilan seumpama benjolan terutama di puting payudara atau pembesaran sebelah payudara secara tiba-tiba.

Dr Nik Munirah yang juga Pakar Radiologi berkata lelaki di Kelantan bertuah kerana mempunyai tempat khas untuk membuat rujukan mengenai penyakit itu iaitu dengan mengunjungi Pusat Sumber Kanser Payudara di HUSM.

Katanya pusat sumber itu yang dilancarkan pada Februari lalu diwujudkan untuk kedua-dua golongan iaitu wanita dan lelaki.

"Pusat Sumber Kanser Payudara adalah untuk semua golongan, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan mahupun kaunseling mengenai penyakit itu boleh hadir pada bila-bila masa waktu bekerja," katanya.

Katanya sehingga kini pusat berkenaan mendapat sambutan memberangsangkan tetapi masih ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan pusat berkenaan yang bersifat mesra pesakit.

Pusat sumber berkenaan yang dapat dimanfaatkan pesakit kanser payudara dan keluarga pesakit di seluruh Pantai Timur dan Semenanjung Malaysia itu selain membantu memberi rawatan dan penjagaan selepas pembedahan, ia juga dilengkapi dengan beberapa unit komputer dengan kemudahan capaian jalur lebar untuk kemudahan pesakit mencari maklumat tentang kanser itu.

Selain itu turut disediakan mini perpustakaan yang memuatkan buku ilmuan mengenai kanser payudara.

Dr Nik Munirah berkata maklumat lanjut mengenai pusat sumber berkenaan boleh dilayari melalui blog http://ps1husm.blogspot.com.

PEMBUNUH UTAMA WANITA AKTIF DI PEDALAMAN KELANTAN

Kanser payudara, pembunuh utama golongan wanita kini dikenal pasti aktif menyerang golongan itu yang tinggal di kawasan pedalaman Kelantan.

Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Datuk Dr Zaidun Kamari (gambar kiri) mberkata statistik mencatatkan hampir 70 peratus kes barah payudara menyerang wanita di luar bandar atau pedalaman negeri itu.

"Meskipun begitu ramai belum menyedari kepentingan untuk mendapatkan rawatan segera di hospital kerana takut terhadap pelbagai risiko dan stigma negatif yang diterima daripada individu yang tidak berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laman Blog Bagi Pusat Sumber Kanser Payudara, semalam.

Katanya ada pada kalangan penghidap hanya menerima rawatan separuh jalan kerana terpengaruh dengan kepercayaan karut apabila mengetahui harus menjalani prosedur pengambilan sampel air tulang belakang.

"Mereka terlalu takut sebagai contohnya apabila doktor mahu mengambil air tulang belakang atau mengambil darah untuk pemeriksaan, mereka risau akan lumpuh bahkan ada yang beranggapan tindakan itu akan menyebabkan mereka menjadi seorang individu yang bodoh, selain itu sikap gemar menemui bomoh juga menjadi satu faktor," katanya.

Beliau berkata perkara tersebut merupakan antara cabaran kepada pihak hospital dan pakar perubatan menyebabkan pihaknya kini mencari beberapa inisiatif baru untuk mengenal pasti wanita penghidap kanser payudara.

Antara inisiatif berkenaan ialah mendapatkan kerjasama imam dan penghulu kampung di seluruh Kelantan yang dilihat memainkan peranan penting termasuk sebagai 'pembuat keputusan' dalam sesebuah komuniti, katanya.

"Sebenarnya kanser payudara ini jumlahnya adalah banyak tetapi kebanyakannya tidak dilaporkan terutama di kawasan luar bandar dan untuk sampaikan maklumat ke luar bandar adalah menjadi satu cabaran buat kita.

"Justeru kita akan pergi kepada penghulu kampung, imam-imam masjid dan juga pergi dari rumah ke rumah di pedalaman untuk mencari dan mengenal pasti golongan wanita yang berisiko ini agar dapat diberi maklumat dan bantuan awal untuk menyelamatkan nyawa mereka," katanya.