| Abdul Fattah...Berehat dan menunaikan solat |
Tuesday, April 18, 2017
Bantahan Arahan 'Rehat Maghrib' - Zaid Mahu Bantu BN Tawan Kelantan?
Thursday, January 13, 2011
Kebersihan Pasar Siti Khadijah Perlu Dipertingkatkan
Kalau cakap peniaga Kelantan di Pasar Khatijah Kota Bharu tidak amalkan kebersihan nanti órang Kelantan’marah.Bukan semua, kata mereka. Mungkin sebahagian
sahaja.Tetapi kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Kelmarin (Selasa 11 Januari 2011), Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zurina Abdul Samad meminta pihak berkuasa tempatan meningkatkan tahap kebersihan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu selaras dengan kedudukannya sebagai ikon pelancongan utama negeri ini.
Katanya, keunikan pasar tersebut yang dikuasai majoriti peniaga wanita menjadi tarikan utama pelancong tetapi kebersihannya masih kurang memuaskan.
"Status Pasar Siti Khadijah sebagai ikon negeri akan terjejas sekiranya tahap kebersihan tidak diambil berat. Tinjauan yang saya lakukan mendapati kebersihan di kawasan pasar itu kurang dijaga dan pihak yang bertanggungjawab seharusnya meningkatkan usaha menangani keadaan itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Tourism Kelantan bersama pemain industri pelancongan negeri ini di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu.
Katanya, pihaknya sedia berbincang bagi menjalankan penstrukturan semula keadaan dalam pasar itu bagi memudahkan penjagaan kebersihan oleh peniaga dan pihak berkuasa tempatan.
"Kami sedia mengemukakan idea kepada pihak berkenaan bagi menaik taraf dan menstruktur semula bahagian dalaman tanpa menghilangkan konsep asal Pasar Siti Khadijah.
''Tourism Malaysia sebagai badan yang bertanggungjawab mempromosikan industri pelancongan negara perlukan sokongan banyak pihak bagi memastikan infrastruktur dan fasiliti yang ada dapat memenuhi kehendak pelancong," katanya.
Zurina berkata, usaha penambahbaikan serupa juga perlu dilakukan ke atas lokasi lain seperti kawasan rekreasi di pantai dan air terjun yang didapati terbiar.
Pada masa sama katanya, keunikan negeri ini yang kaya dengan kesenian warisan, makanan tradisional dan keindahan alam semula jadi terus menjadi faktor utama kemasukan pengunjung ke sini.
Beliau berkata, ini terbukti apabila jumlah penginap hotel pada tahun lalu merekodkan peningkatan sebanyak 10.7 peratus iaitu seramai 638,000 orang bagi tempoh Januari hingga September 2010 berbanding 576,000 orang bagi tempoh sama pada 2009.
Jelas beliau, pihaknya sudah merangka beberapa aktiviti seperti Malaysia Domestic Tourism Fair (MDTF), Promosi Homestay dan Kelantan Explorace bagi merancakkan lagi perkembangan sektor pelancongan tahun ini.
"Kami juga berharap sokongan yang diberikan pejabat Kementerian Pelancongan dan Pusat Penerangan Pelancongan negeri serta agensi kerajaan lain dapat diteruskan dengan lebih erat lagi," katanya.
Pada majlis itu, Zurina turut menyampaikan cenderamata penghargaan kepada keluarga aktivis budaya dan pelancongan negeri, allahyarham Mustafa Ibrahim, yang diterima anaknya Fakrul Anuar, 41.
Mustafa yang dipilih sebagai Pemandu Pelancong Terbaik 2010 meninggal dunia pada usia 62 tahun, 23 Disember lalu akibat kanser paru-paru setelah puluhan tahun bergiat aktif dalam industri berkenaan.
Friday, August 13, 2010
DINAR, DIRHAM KELANTAN - ALTERNATIF KEPADA RINGGIT?
Kerajaan Pas Kelantan hari ini melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham Kelantan yang digunakan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mata wang syariah tersebut boleh digunakan di kira-kira
1,000 buah kedai dan restoran di sekitar bandar ini untuk transaksi perniagaan.
Beliau berkata, penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada Ringgit Malaysia (RM) tidak bertentangan dengan undang-undang dan ia dirangka mengikut peruntukan peraturan yang disediakan oleh Bank Negara.
"Mata wang syariah ini hanya pilihan kepada orang ramai untuk menggunakannya, tetapi ia juga untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Islam mempunyai mata wang sendiri untuk perdagangan.
"Sejarah juga membuktikan bahawa dinar emas dan dirham perak tidak akan terjejas dengan inflasi sehingga menjejaskan ekonomi negara.
"Sebagai contoh, pada zaman Rasulullah SAW, harga seekor ayam kira-kira RM13, lebih kurang harga seekor ayam pada masa sekarang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan mata wang syariah, dinar dan dirham di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd., Prof. Dr. Umar Ibrahim Vadillo; Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Nik Abdul Aziz berkata, sebagai simbolik pelancaran mata wang syariah itu, gaji CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) akan dibayar dengan menggunakan emas dinar.
"Buat masa sekarang kita belum ada perancangan untuk membayar gaji kakitangan awam dengan mata wang syariah tetapi saya amat bersetuju sekiranya usaha ke arah itu dibuat sekarang.
"Bermula tahun ini, orang ramai boleh membayar zakat dengan dinar emas dan dirham perak, sebelum ini kita tidak ada kesempatan kerana ia belum dilaksanakan lagi," katanya.
Sementara itu, Husam berkata, pengeluaran dinar dan dirham Kelantan mengikut standard piawai yang ditetapkan oleh Pengeluar Syiling Dunia Islam (Wolrd Islamic Mint).
"Dalam Islam standard telah dibuat oleh Saidina Umar iaitu satu dinar emas 22 karat iaitu 4.5 gram kenapa 22 karat bukannya 24 karat sebab ia wang yang digunakan setiap hari untuk tahan lasak dia akan tambah logam lain tetapi berat masih 4.5 gram, bagi dirham pula tujuh dirham bersamaan dengan satu dinar.
"Pengeluaran kita sebanyak RM2 juta sebelum ini telah habis dan kita akan mencetak setiap hari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.
