Showing posts with label RUU 355. Show all posts
Showing posts with label RUU 355. Show all posts

Tuesday, October 18, 2016

RUU 355 Sepatutnya Di Persembahkan Kepada Majlis Raja-Raja Terlebih Dahulu?



Keliru atau mengelirukan?

Apakah benar seperti dikatakan oleh ahli politik veteran bahawa untuk meminda Akta Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta 355 (RUU 355), parlimen bukanlah tempatnya?

Semalam, (17 Oktober 2015), Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan sama ada pindaan Akta 355 yang akan dibentang oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengikut cara yang betul.

Tengku Razaleigh berhujah, pindaan rang undang-undang 355 yang dicadangkan Presiden PAS itu perlu dibentangkan pada Majlis Raja-raja sebelum di bawa ke parlimen.

Bukan dipersembahkan hanya selepas ia diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara?

Perkara berkaitan rang undang-undang tersebut juga sepatutnya dibincangkan di peringkat negeri serta mendapat perkenan Majlis Raja-raja terlebih dulu.

"Tak layak bawa (usul berkenaan) masuk parlimen. Isunya ialah, parlimen bukan tempatnya. Ia patut dibawa ke peringkat negeri. Kalau tak, ia tak berpelembagaan (tidak mengikut kehendak perlembagaan) kerana (persoalan) agama ialah hak raja.

"Kalau hak raja, mesti dibawa ke peringkat negeri, runding dengan majlis agama Islam negeri dan raja sendiri.

"Ia mesti dibentang pada Majlis Raja-raja. Kalau dapat perkenan Majlis Raja-raja baru boleh dibawa ke peringkat ini (parlimen)," kata Tengku Razaleigh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat semalam.

Apakah pendapat ini mempunyai asas atau sekadar lontaran idea semata-mata?


Rang undang-undang persendirian yang akan dibawa anggota parlimen Marang yang juga Presiden PAS itu dijangka dibentangkan dalam tempoh terdekat berdasarkan kedudukan usul itu pada aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Hari pertama sidang parlimenbermula semalam berakhir tanpa kemunculan rang undang-undang persendirian yang mahu dibawa Presiden PAS itu.

Perbahasan semalam  ditangguhkan ketika bacaan kedua Rang Undang-undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2016 yang diletakkan pada turutan kedua kertas peraturan mesyuarat. Perbahanan mengenainya akan disambung hari ini.

Usul dibawa Hadi bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) berada di kedudukan keempat susunan aturan mesyuarat.

Keadaan itu dilihat akan mengurangkan peluang usul itu untuk dibahaskan pada beberapa hari akan datang. Malah diramalkan ada kemungkinan ia dikemudiankan oleh rang undang-undang dan usul daripada pihak kerajaan

Mingu depan perbahasan akan tertumpu kepada isu belanjawan 2017 selepas ia dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat ini.

Rang undang-undang berkenaan dibawa untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang juga dikenali sebagai Akta 355, bagi memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah.

Selain DAP beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah menyatakan bantahan mereka terhadap usul berkenaan. Perdana Menteri bagaimanapun belum menjelaskan pendiriannya mengenai usul ini.

Beberapa pemimpin parti dalam BN mendakwa gabungan itu sudah mencapai persetujuan bersama berhubung usul berkenaan namun jelas butiran lanjut mengenainya masih kabur.

Apapun, kelmarin seorang pemimpin Pemuda Gerakan menggesa ahli parlimen UMNO supaya tidak menyokong pindaan syariah kontroversi di Parlimen demi negara.


Naib Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong berkata undi ahli parlimen UMNO adalah penting dalam usaha PAS untuk meminda undang-undang persekutuan bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

"Di bawah komposisi semasa di Parlimen, PAS tidak akan berjaya tanpa sokongan UMNO. Oleh itu saya berharap ahli parlimen UMNO juga tidak berkompromi dengan mengorbankan dan tidak menegakkan kesucian perlembagaan kita.

"Ini bukan tentang Islam, ia adalah mengenai negara ini. Malaysia tidak akan sama lagi," kata Yong dalam satu kenyataan malam kelmarin.

Yong mengingatkan ahli parlimen bahawa tugas mereka adalah untuk melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah jelas bahawa Rang Undang-Undang Hadi akan menyebabkan keadaan huru-hara dalam sistem undang-undang kita,” tegasnya.

MCA kelmarin mengesahkan akan memastikan rang undang-RUU meminda Akta 355 tidak akan dibahaskan di Parlimen walaupun telah disenaraikan sebagai perkara keempat dalam kertas aturan mesyuarat.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, bagaimanapun  tidak mendedahkan sama ada sebarang langkah melambatkan 'RUU Hudud' itu adalah keputusan konsensus 13 parti komponen BN seperti yang diputuskan pada yang mesyuarat pra-majlis kelmarin.


"Ia adalah sangat jelas bahawa BN membuat keputusan konsensus RUU undang-undang kerajaan akan mendahului RUU persendirian. Kami akan memastikan RUU tersebut tidak akan dapat dibahaskan kerana kita tahu RUU kerajaan mesti didahulukan di Parlimen," ujar beliau.

Pendirian MCA yang ditegaskan semalam selari dengan hasrat DAP yang menolak pindaan Akta 355 untuk memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Razaleigh yang melihat berlaku kekeliruan dalam usaha pembentangan Akta 355 sama ada ia wajar dibawa ke peringkat negeri, berunding dengan majlis agama Islam negeri atau dibentangkan dahlu kepada Majlis Raja-raja berjanji akan memohon penjelasan sama ada RUU ini layak dibawa masuk ke Parlimen atau sebaliknya.

Pada asasnya beliau tidak menentang pindaan RUU itu cuma mahukan penjelasan mengenainya.

"Saya rasa semua orang nak tahu. Bukan sahaja dalam kalangan ahli-ahli parlimen, tetapi rakyat sendiri kerana perkara ini berkaitan dengan agama,” katanya.

Menurut beliau, agama adalah hak negeri dan berada di bawah naungan raja-raja di negeri masing-masing.

Persoalannya, jika Tengku Razaeligh keliru mengenainya, kepada siapa penjelasan akan diminta?

Kenapa selepas sudah jauh begini RUU 355 ini diperkatakan dan hampir dibentangkan di Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh baru menimbulkan perkara soal perlu dibawa kepada Raja-Raja atau pihak di negeri?

Tengku Razaleigh sahaja yang keliru atau Presiden PAS dan kerajaan Barisan Nasional, khususnya UMNO  yang membenarkan Hadi membawa usul pada Mei lalu juga keliru?

Apakah dengan kenyataan Tengku Razaleigh ini akan membawa kepada UMNO dan BN meminta RUU 355 'untuk diundurkan'  dan ditangguhkan?



Friday, July 29, 2016

RUU 355 - PAS Hairan MPM Ambil Pendirian Bercanggahan Amat Ketara


Oleh DATUK TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah meneliti kenyataan yang telah dibuat oleh Ketua Biro Undang-Undang dan Perlembagaan , Majlis Perundingan Melayu (MPM),Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman pada 25 Julai 2016 bertajuk “MPM- Usah Dibelakangkan Punca Kuasa”.

2. PAS tidak bersetuju dengan pandangan MPM bahawa Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 diluluskan oleh Parlimen mengikut *Perkara 76A, Perlembagaan Persekutuan* .

Perkara 76A adalah peruntukan yang bertajuk *”Kuasa Parlimen untuk memperluaskan kuasa perundangan Negeri”* di mana Parlimen boleh membuat undang-undang untuk membenarkan Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang mengenai perkara yang tersenarai dalam Senarai Persekutuan .

3. Kami berpandangan Parlimen meluluskan Akta 355 pada tahun 1965 dengan mengambil *punca kuasa* daripada *Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan*. Secara khususnya bahagian yang relevan adalah *Butiran 1* iaitu:

_”…..keanggotaan , susunan dan tatacara mahkamah syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam Dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, *tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan ;…. “*

4. Berdasarkan peruntukan di atas dan selaras dengan kedudukan Akta 355 sebagai *Akta Persekutuan*, maka tiada tempat lain melainkan Parlimen sahaja yang boleh membuat sebarang pindaan kepadanya .

*Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat (Standing Order) Dewan Rakyat* jelas memperuntukkan kaedah sesuatu RUU dikemukakan untuk meminda sesuatu undang-undang yang sedia ada bolehlah dibuat sama ada melalui *tindakan pihak Kerajaan* mahupun melalui *Rang Undang-undang daripada Ahli Bukan Kerajaan* (Peraturan 49) .

Daripada blog OhSedapnya
5. Oleh itu usul yang dikemukakan oleh *YB. Marang* yang bertujuan untuk meminda Akta 355 dan diizinkan oleh Speaker untuk dibentangkan ke Dewan Rakyat pada *26 Mei 2016* adalah *mengikut dan menepati Peraturan 49* tadi serta peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan dengannya. Dengan itu RUU tersebut adalah mengikut peraturan dan *bukanlah suatu yang tidak berperlembagaan (unconstitutional)* seperti yang didakwa oleh MPM.

6. Adalah juga jelas berdasarkan Peraturan Majlis Mesyuarat ini, *TIDAKLAH DISYARATKAN* Usul untuk *membawa RUU* (termasuk Akta 355) oleh *Ahli Bukan Kerajaan memerlukan perkenan daripada Sultan ataupun Majlis Agama* seperti yang didakwa oleh MPM.

7. Sukalah juga ditarik perhatian bahawa langkah meminda Akta 355 adalah bertujuan *memperkasakan lnstitusi Mahkamah Syariah* di semua negeri­ negeri di seluruh negara dengan *mempertingkatkan Bidangkuasa Jenayah* daripada yang sedia ada ke tahap yang lebih sesuai dengan perkembangan semasa . Langkah ini juga selaras dengan *Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung* semasa

*lstiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas* pada *7 Mac 2016* yang lalu yang amat wajar dipatuhi, iaitu:

_”Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama­-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini. *Beta berharap langkah-langkah ke arah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah dapat disegerakan* ….”

8. PAS agak hairan kenapa dalam suasana majoriti umat Islam secara peribadi mahupun organisasi menyokong hasrat meminda Akta 355 dengan tujuannya yang amat jelas ini, MPM mengambil pendirian yang amat ketara bercanggahan dengannya .

 Sepatutnya MPM menjadi antara ejen bagi memperjelaskan perkara ini dalam masyarakat terutamanya orang-orang Melayu.

9. Oleh itu PAS menyeru MPM dan semua pihak yang merasa berkepentingan dengan cadangan Pindaan Akta 355 ini supaya membuat kajian terperinci mengenainya.

PAS juga sedia berdialog dan mengadakan konsultasi dengan mana-mana pihak dalam hal ini demi mencapai persefahaman positif di samping mengelakkan polemik di kalangan masyarakat yang merugikan semua pihak.

Bertarikh: 26 Julai, 2016.