Showing posts with label Raja Ahmad. Show all posts
Showing posts with label Raja Ahmad. Show all posts

Thursday, August 5, 2010

CADANGAN PEMIMPIN FAM LEPAS JAWATAN DI NEGERI TIDAK PRAKTIKAL

Cadangan bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar agar anggota jawatankuasa FAM yang terpilih dalam kongres tahunan minggu lalu melepaskan jawatan di peringkat negeri, dianggap sebagai tidak praktikal.

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata ini kerana jika semua pemimpin itu melepaskan jawatan, mereka sudah tidak mempunyai kuasa untuk mengundi dan tidak boleh membawa permasalahan di negeri yang dipimpin.

"Ada pro dan kontra atas cadangan itu tetapi perlu fikirkan secara mendalam kerana yang lebih penting kita mahu memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah di setiap persatuan negeri untuk dibincang.

"Jika kita lepas jawatan, kita sudah tidak ambil tahu dan tidak tahu permasalahan yang berlaku di negeri dan apa lagi yang mahu dibahas dalam kongres," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, semalam.

Pada Selasa Raja Ahmad Zainuddin ketika memberikan cadangan itu berpendapat dengan cara itu mereka akan dapat memberikan lebih masa dan komitmen untuk menyempurnakan azam bekerja keras dalam memajukan sukan tersebut dan menjadikannya sebagai agenda nasional.

Ini kerana kata Raja Ahmad Zainuddin hampir kesemua yang terpilih dalam pemilihan minggu lalu mempunyai jawatan yang disandang di peringkat negeri dan tidak mahu jawatan tersebut mempengaruhi keputusan yang dibuat di peringkat nasional.

Hanya Presiden FAM Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Naib Presiden FAM Datuk Subahan Kamal dan Datuk Afandi Hamzah tidak mempunyai jawatan di peringkat negeri.

Wednesday, November 5, 2008

RAJA AHMAD BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN?

UMNO Bahagian Larut tiba-tiba menjadi perhatian ramai Ahad lalu apabila ia menolak pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainudin yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat untuk bertanding jawatan ketua bahagian itu.

Ketua UMNO Bahagian Larut Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata keputusan itu diambil kerana Hamzah yang juga anggota Parlimen Larut baru menjadi anggota bahagian itu pada April lalu.

Sedangkan pekeliling UMNO mengesahkan hanya anggota yang membayar yuran dan berdaftar sebelum 31 Dis 2007 digunakan untuk mesyuarat kali ini.

"Mesyuarat bahagian yang diadakan kelmarin secara konsensus menolak pencalonan beliau...ini soal keadilan, prinsip," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bahagian itu Ahad lalu.

Raja Ahmad yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah berkata mesyuarat itu memutuskan untuk memohon penangguhan bagi persidangan perwakilan bahagian itu yang dijadualkan pada Ahad depan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Sebelum UMNO Bahagian Larut mematuhi dan bertolak ansur untuk menerima Hamzah bertanding di Parlimen Larut pada pilihan raya umum lalu.

Alasan kukuh penolakan Hamzah ialah dia baru bertukar keahlian pada 3 April lalu sedangkan mengikut pekeliling, mereka yang menjadi ahli dan membayar yuran sebelum 31 Disember 2007 sahaja layak bermesyuarat.

Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.

Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, 21 September lalu.

"Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor," katanya.

Bagaimanapun, hari ini (4 November 2008) Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan Hamzah Zainuddin boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO.

Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih.

Agendadaily memetik Tengku Adnan berkata demikian kepada sebagai mengulas keputusan Bahagian Larut batalkan pencalonan Hamzah.

Menurut Tengku Adnan Ketua UMNO bahagian itu, Raja Ahmad Zainuddin boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November 2009
Jawapan ini semakin pening sebenarnya.

Mana satu mahu dipakai – sama ada pekeliling UMNO mengesahkan hanya anggota yang membayar yuran dan berdaftar sebelum 31 Dis 2007 atau berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO iaitu seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih?

Memanglah Perkara 6.3 yang dibaca dengan 6.3.8 itu membenarkan Hamzah bertanding tetapi bagaimana dengan Pekeliling mengenai pembayaran yuran berkenaan?

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata UMNO Perak menyerahkan kepada MT dan Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan Timbalan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan berhubung isu itu.

Perkara itu telah dibincangkan oleh UMNO Perak yang memutuskan untuk menyerahkan perkara itu kepada MT untuk diputuskan.

Pada mesyuarat Umno Bahagian Larut kali ini, Raja Ahmad menghadapi saingan Timbalannya, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selama dan Hamzah yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Ipoh Barat pada mesyuarat bahagian itu, 19 Oktober lalu.

Pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Larut yang berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos lalu, Raja Ahmad mendapat 28 pencalonan, Daud (33) dan Hamzah (22) untuk melayakkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu.

Bahagian berkenaan mempunyai 97 cawangan tetapi pencalonan daripada 14 cawangan telah ditolak kerana mengadakan mesyuarat tanpa pengetahuan bahagian.
Menjadi tanggungjawab Ibu Pejabat menyelesaikan kemelut di Larut ketika ini secara sebaik-baiknya kerana pertikaian dua ‘gajah’ ini boleh melarat kepada perkara-perkara lain yang akan merugikan UMNO!